SEDEKAH TERBAIK
Oleh: Yahya Abdurrahman
«خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى, وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ»
”Sebaik-baik sedekah adalah daripada sesiapa yang jelas kekayaannya. Dimulai daripada orang yang berada di bawah tanggunganmu.” (HR al-Bukhari no. 1426 dan 5356, Ahmad no. 9223, an-Nasai no. 2544, Ibnu Khuzaimah no. 2439, al-Bazar no. 7753 dan ath-Thabarani di dalam Mu’jam al-Awsâth no. 8731).
Hadis ini diriwayatkan dari jalur Abu Hurairah RA. Hadis ini juga diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam RA, Rasulullah SAW bersabda:
«خَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى, وَالْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى, وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ»
Sebaik-baik sedekah adalah daripada sesiapa yang jelas kekayaannya. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Dimulakan dengan orang yang menjadi tanggunganmu” (HR Muslim no. 1034, ad-Darimi no. 1693, Ahmad no. 15317, ath-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabîr no. 3120, ad-Daraquthni no. 3780).
Redaksi ini juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA oleh Imam Ahmad no. 10172 dan 10785, ad-Darimi no. 1693, an-Nasai no. 2534, al-Bazar no. 8357 dan Ibnu Hibban no. 4243.
Jabir bin Abdullah RA berkata: Ketika kami bersama Rasulullah SAW, datang seorang lelaki membawa sesuatu seperti telur berupa emas yang dia perolehi dalam peperangan (Ahmad berkata, di beberapa lombong adalah yang tepat). Lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, ambillah dariku sebagai sedekah. Demi Allah, aku tidak mempunyai harta yang lain.” Namun, beliau menolak. Lalu dia datang kepada beliau dari sebelah kiri dan mengatakan hal yang sama. Lalu dia datang kepada beliau dari hadapan dan mengatakan hal yang sama. Kemudian beliau bersabda, “Bawa ke mari!” dalam keadaan marah. Lalu beliau mencampakkan benda tersebut yang jika terkena, dia pasti akan mencederakannya. Kemudian beliau bersabda:
«يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ إِلَى مَالِهِ لَا يَمْلِكُ غَيْرَهُ فَيَتَصَدَّقُ بِهِ, ثُمَّ يَقْعُدُ يَتَكَفَّفُ النَّاسَ, إِنَّمَا الصَّدَقَةُ عَنْ ظَهْرِ غِنًى, خُذِ الَّذِي لَكَ لَا حَاجَةَ لَنَا بِهِ». فَأَخَذَ الرَّجُلُ مَالَهُ وَذَهَبَ
”Salah seorang di antara kalian bergantung pada hartanya. Dia tidak mempunyai apa-apa. Lalu harta itu dia sedekahkan. Kemudian dia duduk sambil meminta-minta kepada orang. Sesungguhnya sedekah itu hendaklah berasal dari orang yang berada. Ambillah milikmu. Kami tidak mempunyai keperluan dengan barang tersebut.” Kemudian lelaki itu mengambil kembali hartanya dan pergi.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Ad-Darimi (w. 255 H) no. 1700, Abu Dawud (w 275 H) no. 1674, Abdu bin Humaid (w. 249 H) di dalam Musnad Abdu bin Humaid no. 1121, Abu Ya’la (w. 307 H) no. 2084, Ibnu Hibban (w. 354 H) no. 3372, al-Baihaqi (w. 458 H) di dalam Sunan al-Kubrâ no. 7777, al-Hakim (w. 405 H) di dalam Al-Mustadrak no. 1507 (Dia berkata, “Ini adalah hadis sahih menurut syarat Muslim, tetapi beliau berdua tidak mengeluarkan hadis tersebut.”). Adz-Dzahabi di dalam At-Talkhîsh menyetujuinya.
Imam an-Nawawi (w. 676 H) di dalam Al-Minhâj Syarhu Shahîh Muslim bin al-Hajâj menjelaskan, “Maksudnya, sedekah yang afdhal ialah yang pelakunya, setelah bersedekah, dia tetap ada dan mencukupi bagi dirinya apa yang ditinggalkannya. Ukuran sedekah yang afdhal adalah sedekah yang setelahnya tetap mempertahankan al-ghinâ (kecukupan) yang dijadikan sandaran pelakunya atas kemaslahatan dan keperluannya. Ini ialah sedekah yang afdhal yang dinisbatkan kepada orang yang menyedekahkan seluruh hartanya. Sebab, sesiapa sahaja yang sedekahkan semua hartanya, pada galibnya dia akan menyesal atau kadangkala menyesal jika dia memerlukan dan berharap jika dia tidak sedekahkan semuanya. Ini berbeza dengan orang yang tetap meninggalkan setelahnya kecukupan maka dia tidak menyesal atas sedekahnya malah berasa gembira dengan sedekahnya.”
Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani (w. 852 H) juga menjelaskan, “Makna hadis tersebut: Sedekah yang afdhal ialah yang datang dari orang yang tidak memerlukan apa yang dia sedekahkan untuk dirinya atau untuk orang yang menjadi tanggungan nafkahnya. Al-Khathabi mengatakan, lafaz azh-zhahru diucapkan dalam percakapan ini sebagai pemuasan pembicaraan. Maknanya, sedekah yang afdhal itu adalah apa yang dikeluarkan oleh orang dari hartanya setelah dia memelihara harta dalam kadar yang mencukupi. Kerana itu, setelahnya Rasulullah SAW bersabda, ‘Mulailah dengan keluargamu’.”
Al-‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam an-Nizhâm al-Iqtishâdî fî al-Islâm (hlm. 197) menyatakan, “Al-Ghinâ adalah apa yang dipertahankan oleh seseorang untuk dirinya dan keluarganya, iaitu mempertahankan apa yang mencukupi keperluan asasi; iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal serta yang dianggap sebagai keperluan hidup yang mencukupi baginya, sebagaimana mengikut kehidupan normal baginya, iaitu apa yang mencukupi dirinya secara makruf di tengah masyarakat. Hal ini diukur mengikut keperluan biasa sambil mengekalkan taraf hidup biasa untuknya dan keluarganya dan seperti orang lain dalam masyarakatnya.”
Al-‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam an-Nizhâm al-Iqtishâdî fî al-Islâm (hlm. 197) menjelaskan: “Di antara hak tasharruf ialah infak (al-infâq). Infak harta adalah memberikan harta itu tanpa imbalan. Adapun dengan imbalan maka tidak disebut infak.”
Tasharruf harta dengan memindahkan kepemilikannya kepada orang lain tanpa imbalan itu adakalanya dengan memberikan harta itu kepada orang lain, membelanjakan harta itu untuk dirinya sendiri dan untuk orang yang menjadi tanggungan nafkahnya. Pelaksanaannya kadangkala dilakukan semasa dia hidup seperti hibah, hadiah, sedekah dan nafkah. Kadang-kadang setelah kematiannya seperti wasiat.
Islam melarang individu menghibahkan, menghadiahkan atau menyedekahkan harta kecuali dalam apa yang mempertahankan kecukupan (al-ghinâ) untuk diri dan keluarganya. Jika dia memberikan harta yang tidak mempertahankan kecukupan untuk dirinya dan keluarganya setelah hibah, hadiah atau sedekah maka itu di-fasakh seluruhnya.
Maksud dari larangan bersedekah daripada hadis tersebut, ialah orang fakir yang tidak terpenuhi keperluan asasnya, dia tidak boleh bersedekah dengan apa yang dharuuri untuk memenuhi keperluan asasnya. Sebab, sedekah itu tidak lain datangnya daripada orang yang kaya, iaitu daripada orang yang tidak memerlukan pertolongan orang lain dalam memenuhi keperluan asas. Adapun orang yang mempunyai harta melebihi daripada keperluan asasnya dan setelah keperluan asasnya dipenuhi, dia melihat bahawa dia mempunyai keperluan untuk memenuhi kepentingannya melebihi keperluan asas, iaitu memenuhi keperluan pelengkap, maka manduub bagi dirinya untuk mendahulukan orang fakir daripada dirinya, iaitu mengutamakan orang fakir daripada dirinya, walaupun dia memerlukan hartanya untuk memenuhi keperluan pelengkap.
WalLâh a’lam wa ahkam.
Sumber:
Alwaie