[Kisah Inspirasi] Pesanan Shilah bin Asyyam kepada Pemuda
Pada suatu hari, seorang pemuda dari Basrah datang kepada Shilah bin Asyyam dan berkata, “Wahai Abu asy-Shahba’, ajarkanlah kepadaku apa yang telah diajarkan Allah kepadamu.” Shilah kemudiannya tersenyum dan wajahnya berseri-seri. Beliau berkata, “Sesungguhnya engkau telah mengingatkanku wahai anak saudaraku kepada kenangan lama yang tidak aku lupakan, di mana ketika itu aku masih muda seperti kamu. Aku pergi menemui para sahabat Rasulullah SAW yang masih tinggal, lalu berkata kepada mereka, ‘Ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan Allah kepadamu.’ Mereka berkata, ‘Jadikanlah Al-Quran itu penjaga jiwamu dan taman hatimu. Dengarkan nasihat Al-Quran dan nasihatkan umat Islam dengan Al-Quran. Perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT semampu yang boleh.”
Pemuda itu berkata, “Berdoalah untukku. Semoga kamu dibalas dengan kebaikan.” Beliau menjawab, “Semoga Allah menjadikan kamu bersemangat untuk mencapai yang kekal (akhirat) dan menjadikan kamu zuhud terhadap yang fana (dunia), dan memberi kamu keyakinan sehingga jiwa menjadi tenang di dalamnya dan diperlukan dalam agama.” [Abdurrahman Ra’fat al-Basya, Jejak Perjuangan dan Keteladanan para Tabiin].
Hikmah
Sungguh, ini merupakan nasihat yang bagus untuk para pemuda hari ini. Keadaan mereka kini mudah dihakis oleh lingkaran sistem kapitalis sekular. Al-Quran dilalaikan sebagai pedoman hidup umat manusia. Sebenarnya Al-Quran adalah sumber hikmah, petunjuk dan ketenangan bagi umat Islam di seluruh dunia. Al-Quran adalah hikmah bagi sesiapa yang ingin mempelajarinya dan memahami maksud yang terkandung di dalamnya. Al-Quran adalah petunjuk hidup bagi mereka yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Al-Quran juga memberikan ketenangan kepada jiwa-jiwa yang mudah rapuh akibat kesusahan hidup.
Antara perkara yang membuatkan bangsa ini tenggelam ialah mereka meninggalkan al-Quran sebagai hukum-hukum dan peraturan dalam kehidupan. Pemuda Islam sibuk dan dibuai dengan keseronokan dunia dan jauh dari Islam. Oleh itu, untuk mengembalikan gelaran sebagai umat terbaik generasi abad ini adalah dengan membangunkan dan membimbing para pemuda agar kembali kepada jati diri sebagai hamba Allah SWT iaitu taat sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya. Wahai, para pemuda! Jadikan Al-Quran sebagai teman dalam kehidupan anda. Hidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW dengan mengikuti jalan yang ditunjukkannya.
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, “Rasulullah SAW membuat garisan dengan tangannya dan kemudian bersabda, ‘Ini adalah jalan Allah yang lurus.’ Baginda membuat garis-garis di kanan dan kirinya, lalu bersabda, ‘Ini adalah jalan-jalan yang bercerai-berai (sesat). Tiada satupun dari jalan-jalan ini, kecuali di dalamnya terdapat syaitan yang menyeru kepadanya.’Selanjutnya, Rasulullah SAW membacakan firman Allah Azza wa Jalla,“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” [TMQ al-An’aam (6): 153].
Sumber: muslimahnewsid