HUKUM MEMBONGKAR AIB ORANG YANG MEMFITNAH KITA
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Membongkar aib seseorang itu tidak boleh, tetapi jika dalam keadaan kita difitnah oleh orang tersebut dan aib itu adalah kunci kepada apa sebenarnya berlaku, bolehkah kita membongkar aib tersebut? Contohnya, seorang pekerja syarikat yang telah dipecat kerana kes zina dan penyelewengan dana, dan pihak syarikat menutup aibnya. Tetapi bekas pekerja tersebut sebaliknya menyebarkan fitnah dan memutar belitkan fakta seolah-olah dia adalah mangsa yang dizalimi oleh syarikat, malah memprovokasi pekerja lain yang masih bekerja di situ. Adakah syarikat tersebut boleh membuka aibnya?
Jawapan:
Hukum menutup aib bagi seorang muslim yang melakukan maksiat, seperti berzina, minum arak, mencuri, rasuah, dan sebagainya ada dua kemungkinan hukum syarak;
Pertama, hukumnya mandub (sunnah) jika pelaku maksiatnya selama ini secara zahirnya dikenali sebagai orang yang berkelakuan baik dan tidak diketahui umum sebagai orang yang suka melakukan maksiat atau kerosakan di tengah masyarakat. Bagi orang seperti ini, kita disunnahkan untuk menutupi aib yang telah dilakukannya, menurut beberapa riwayat hadis Nabi SAW, antaranya:
مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Dan barangsiapa yang menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada Hari Kiamat.” (HR. Muslim, no. 2580).
Imam Nawawi memberikan syarah (penjelasan) hadis tersebut dengan berkata:
وَأَمَّا السِّتْرُ الْمَنْدُوْبُ إِلَيْهِ هُنَا فَالْمُرَادُ بِهِ اَلسِّتْرُ عَلىَ ذَوِي الْهَيْئَاتِ وَنَحْوِهِمْ مِمَّنْ لَيْسَ هُوَ مَعْرُوْفًا بِاْلأَذَىْ وَالْفَسَادِ
“Adapun menutup aib yang mandub (sunnah) di sini, yang dimaksud adalah menutup aib bagi orang yang yang berkelakuan baik dan seumpamanya yang tidak dikenali sebagai orang yang suka mengganggu (masyarakat) dan suka membuat kerosakan.” (Imam Nawawi, Syarah Al-Nawawī ‘Alā Muslim, 16/135).
Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW:
أَقِيْلُوْا ذَوِي الْهَيْئَاتِ عَثَرَاتِهِمْ إِلاَّ الْحُدُوْدَ.رواه أبو داود وصححه الألباني
“Maafkanlah kegelinciran dzawil hai’āt (orang yang berkelakuan baik), kecuali jika dia dikenakan hukuman hudūd.” (HR. Abu Dawud, no 4375, disahihkan oleh Syeikh Nashiruddin Al-Albani dalam kitabnya Ash-Shahihah, hlm. 638).
Kedua, bagi pelaku maksiat yang sudah diketahui buruk rekodnya (track record) dalam masyarakat, iaitu dikenali sebagai orang yang berkelakuan buruk seperti gemar melakukan maksiat atau kerosakan, maka yang dianjurkan (mandub/sunnah) sebenarnya ialah membongkar aib orang tersebut kepada masyarakat. Imam Nawawi berkata:
فَأَمَّا الْمَعْرُوْفُ بِذَلِكَ فَيُسْتَحَبُّ أَنْ لاَ يُسْتَرَ عَلَيْهِ
“Adapun bagi yang sudah diketahui dengan hal yang demikian itu (suka mengganggu (masyarakat) dan suka melakukan kerosakan), yang mustahab (sunnah) ialah tidak menutupi aib orang tersebut.” (Imam Nawawi, Syarah Al-Nawawi ‘Ala Muslim, 16/135).
Hal ini sesuai dengan sebuah hadis Nabi SAW, bahawa beliau pernah menyebutkan identiti seseorang di khalayak ramai, kerana orang itu adalah pelaku maksiat (iaitu berzina). Nabi SAW pernah memerintahkan seorang sahabat bernama Unais, untuk menemui dan merejam seorang perempuan yang dilaporkan berzina dengan seorang lelaki, yang telah mengaku berzina dengan perempuan itu di hadapan Nabi SAW. Nabi SAW bersabda kepada Unais:
وَاغْدُ ياَ أُنَيْسُ عَلىَ امْرَأَةِ هَذَا ، فَإنِ اعَتَرَفَتْ ، فَارْجُمْهَا
“Berangkatlah kamu wahai Unais untuk menemui perempuan ini (yang dilaporkan berzina), kemudian jika dia mengaku (melakukan zina) hendaklah kamu menjatuhkan hukuman rejam kepadanya.” (HR. Al-Bukhari, no. 6827).
Inilah penjelasan ringkas mengenai hukum syarak membuka aib yang dilakukan oleh seorang muslim. Kemudian jika kita cuba menerapkan hukum syarak ini terhadap kes yang ditanyakan, jawapannya ialah: jika selama ini pekerja yang diberhentikan itu diketahui berkelakuan baik, maka yang dianjurkan (disunnahkan) ialah menutup aibnya melakukan selingkuh dan menggelapkan dana syarikat.
Namun, sekiranya pekerja itu kemudian memfitnah syarikat, iaitu menuduh syarikat dengan suatu tuduhan yang tidak mengikut fakta sebenar, maka hukumnya boleh syarikat itu mendedahkan aibnya yang berselingkuh dan menggelapkan dana syarikat.
Mengapa boleh membuka aibnya? Kerana menutup aib itu hukumnya mandub (sunnah), bukan wajib. Inilah hukum asalnya, khususnya kepada orang yang selama ini diketahui berkelakuan baik. Namun, apabila orang itu kemudiannya memfitnah syarikat, bermakna dia sendiri telah mengubah rekod prestasinya yang baik sebelum ini. Pada mulanya, dia yang diketahui berkelakuan baik, tetapi kemudian berkelakuan buruk dengan memfitnah syarikat.
Oleh itu, hukum asal sebelum ini (anjuran untuk menutup aibnya) tidak lagi terpakai kepada orang tersebut, maka hukum yang lebih sesuai baginya selepas dia memfitnah syarikat, ialah hukumnya boleh bagi syarikat itu mendedahkan aibnya kepada umum. Firman Allah SWT:
وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” [TMQ Al-Syūrā (42): 40]. Wallāhu a’lam.
Sumber:
fissilmi-kaffah