BENARKAH KHILAFAH PRODUK POLITIK BUATAN MANUSIA?
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Pendahuluan
Umat Islam di Indonesia dikejutkan dengan kemunculan ribuan umat Islam dalam Aksi Bela Palestin di Jakarta, Ahad 26 Januari 2025 yang lalu. Selepas itu, puluhan ribu umat Islam lain serentak melakukan aksi yang sama di 22 kota di Indonesia pada Ahad 2 Februari 2025 yang lalu.
Seruan yang dilaungkan dalam aksi-aksi tersebut, iaitu “Hanya dengan jihad dan Khilafah kita bebaskan Palestin” telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada berbagai elemen masyarakat. Di antaranya, ada yang mengatakan bahawa Khilafah adalah produk politik buatan manusia, seperti demokrasi. Dengan kata lain, menurutnya Khilafah itu bukan ajaran Islam. Jadi tidak perlu memperjuangkannya atau ditegakkan. Bagaimanakah kita merespon terhadap kenyataan tersebut? Inilah persoalan yang akan dijawab dalam makalah ini.
Tiga Syarat Ajaran Islam
Kenyataan bahawa Khilafah adalah produk politik buatan manusia, dalam erti kata lain, ia bukan ajaran Islam, adalah satu pembohongan yang tidak sesuai dengan fakta. Hal ini kerana Khilafah telah benar-benar terbukti sebagai ajaran Islam, kerana telah memenuhi tiga syarat wajib agar suatu konsep layak disebut sebagai ajaran Islam, khususnya syariat Islam, iaitu;
Pertama, ada nas (teks) syariah yang menyebutkannya, baik nas al-Quran mahupun nas as-Sunnah. Syarat ini menjadi wajib kerana Islam itu adalah wahyu daripada Allah SWT. Maka dari itu, bukti bahawa sesuatu ajaran itu sebahagian daripada ajaran Islam, hendaklah dapat dibuktikan dengan bukti wahyu, baik melalui nas al-Quran mahupun nas as-Sunnah. Firman Allah SWT:
اِتَّبِعُوْا مَآ اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهٖٓ اَوْلِيَاۤءَۗ قَلِيْلًا مَّا تَذَكَّرُوْنَ
“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Ikutilah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya; Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadanya).” [TMQ Al-A’raf (7): 3]
Berdasarkan ayat tersebut, contohnya solat, terbukti sebagai ajaran Islam, kerana ada nas al-Quran yang memerintahkan umat Islam untuk melaksanakan solat, antara lain surat Al-Baqarah ayat ke-43:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.” [TMQ Al-Baqarah (2): 43].
Kedua, ada status hukumnya, iaitu dikategorikan sebagai salah satu daripada lima hukum (al-ahkām al-khamsah), atau ada hukum taklīfinya, adakah wajib/fardhu, sunnah, mubah, makruh, atau haram. Hal ini kerana nas-nas syariah baik al-Quran mahupun as-Sunnah, telah datang bukan sekadar dengan menyebut nama ajaran Islam, misalnya solat, shaum (puasa), haji, dan sebagainya, tetapi juga disertai dengan perintah syariah (al-awamir al-syar’iyyah) dan larangan syariah (al-nawahi al-syar’iyyah) yang terdapat pada suatu perbuatan yang diperintah atau yang dilarang. Pelbagai perintah syariah (al-awamir al-syar’iyyah) dan larangan syariah (al-nawahi al-syar’iyyah) inilah yang ada dalam ilmu Usul Fikh, disebut dengan istilah Khithāb Al-Syāri’ (firman atau seruan dari Allah sebagai Pembuat Hukum). (Muhammad Muhammad Ismail, Al-Fikr Al-Islami, hlm. 30).
Jika perintah syariah itu disertai qarinah jazim, iaitu petunjuk yang menunjukkan ketegasan perintah, maka hukum taklifinya adalah wajib atau fardhu. Jika qarinahnya ghairu jazim, iaitu tidak disertai petunjuk yang menunjukkan ketegasan perintah, maka hukum taklifinya adalah mandub (sunnah). Jika larangan syariah itu disertai qarinah jazim, iaitu petunjuk yang menunjukkan ketegasan larangan, maka hukum taklifinya adalah haram. Jika qarinahnya ghairu jazim, iaitu tidak disertai petunjuk yang menunjukkan ketegasan larangan, maka hukum taklifinya adalah makruh. Jika nas syariah yang ada menunjukkan kebolehan memilih (takhyir), iaitu boleh dilakukan dan boleh juga tidak dilakukan, maka hukum taklifinya adalah mubah. (Muhammad Muhammad Ismail, Al-Fikr Al-Islami, Bab Al-Ahkam Al-Khamsah, hlm. 31).
Sebagai contoh, terdapat perintah syariah untuk solat, dalam firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
”Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.” [TMQ Al-Baqarah (2): 43].
Perintah syariah untuk solat ini ternyata disertai qarinah jazim, iaitu petunjuk yang menunjukkan ketegasan perintah, maka hukum taklifi untuk solat adalah wajib atau fardhu. Petunjuk tersebut antara lain dalam firman Allah SWT yang menegaskan bahawa orang yang tidak solat di dunia, akan dimasukkan ke dalam neraka kelak di hari kiamat, sesuai firman Allah SWT:
مَا سَلَكَكُمْ فِيْ سَقَرَ ٤٢ قَالُوْا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّيْنَۙ ٤٣
“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat” [TMQ Al-Muddassir (74): 42-43].
Dengan demikian, selain adanya nas, syarat wajib bagi suatu ajaran Islam (syariah) ialah adanya hukum taklifinya, sama ada wajib/fardhu, sunnah, mubah, makruh, atau haram. Contohnya, dalam kitab-kitab fikh, para ulama telah menjelaskan tentang kewajipan solat, misalnya kitab Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah yang menjelaskan bahawa:
لِلصَّلَاةِ مَكَانَةٌ عَظِيمَةٌ فِي الْإِسْلَامِ. فَهِيَ آكَدُ الْفُرُوضِ بَعْدَ الشَّهَادَتَيْنِ وَأَفْضَلُهَا، وَأَحَدُ أَرْكَانِ الْإِسْلَامِ الْخَمْسَةِ
“Solat mempunyai kedudukan yang agung dalam Islam. Solat merupakan kefardhuan yang paling kuat dan paling afdhal selepas dua kalimat syahadat, dan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima.” (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 27/51).
Ketiga, ada amalannya, iaitu terbukti dalam sejarah umat Islam bahawa suatu konsep pernah dipraktikkan oleh umat Islam, khususnya oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat Nabi SAW, khususnya generasi Khulafa`ur Rasyidin. Dalilnya sabda Rasulullah SAW:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ، عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
“Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku, dan sunnah Khulafa`ur Rasyidin yang mendapat petunjuk (selepas aku), dan gigitlah oleh kalian sunnah-sunnah itu dengan gigi gerahammu.” (HR. Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, dan Ahmad).
Maka dari itu, syarat ketiga ini sifatnya relatif kepada generasi pasca Khulafa`ur Rasyidin, kerana boleh jadi ajaran Islam yang hakiki tidak lagi diamalkan oleh umat Islam, sama ada kerana telah ditinggalkan sepenuhnya oleh umat Islam, atau masih dipraktikkan tetapi menyimpang dari ketentuan syariah yang sebenarnya.
Jika kita menerapkan tiga syarat ajaran Islam di atas pada Khilafah, maka akan terbukti bahawa Khilafah itu benar-benar ajaran Islam, kerana:
Pertama, terdapat banyak teks (nas) yang menyebutkan kosa kata Khilafah, atau Khalifah, atau sinonimnya, iaitu Imamah atau Imam. Perkataan Khalifah contohnya terdapat dalam ayat surah Al-Baqarah ayat 30, yang berbunyi :
إِنِّى جَاعِلٌ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةً
“innī jā’ilun fil ardhi khalīfah”, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Ayat ini menurut Imam Al-Qurthubi, merupakan dalil wajibnya melantik seorang Khalifah. Imam Al-Qurthubi berkata:
هَذِهِ الْآيَةُ أَصْلٌ فِي نَصْبِ إِمَامٍ وَخَلِيفَةٍ يُسْمَعُ لَهُ وَيُطَاعُ، لِتَجْتَمِعَ بِهِ الْكَلِمَةُ، وَتُنَفَّذُ بِهِ أَحْكَامُ الْخَلِيفَةِ
“Ayat ini adalah dasar untuk melantik Imam atau Khalifah, yang wajib untuk didengari dan ditaati (perintahnya), agar kalimat kaum muslimin menjadi satu, dan agar hukum Islam yang diperintahkan oleh Khalifah dapat ditegakkan.” (Imam Al-Qurthubi, Al-Jāmi’ li Ahkāmil Qur`ān,1/264).
Terdapat banyak nas seperti ini, iaitu yang menyebut kosa kata khalifah, imam, dan segala derivatifnya. Misalnya yang dicantumkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitab Sahīh-nya, dalam Bab Kitābul Ahkām, juga oleh Imam Muslim, dalam kitab Sahih-nya, dalam Bab Kitābul Imārah. Dalam kitab-kitab hadis yang lain, seperti Musnad Imam Ahmad, Sunan Abu Dawud, dan lain-lain, juga banyak nas hadis yang menyebut kosa kata Khilafah. Sebagai contoh, sabda Rasulullah SAW:
تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا اللَّهُ إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ، فَتَكُونْ مَا شَاءَ اَللَّهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ، ثُمَّ تَكُونَ مُلكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَهَا ، ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيًّا فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ، ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ، ثُمَّ سَكَتَ
“Kenabian (Al-Nubuwwah) akan ada di tengah-tengah kalian selama Allah menghendakinya, maka Allah akan mengangkatnya jika Dia menghendakinya. Kemudian akan ada Khilāfah ‘Alā Minhāj Al-Nubuwwah (Khilafah dengan metode kenabian), maka akan terjadi apa yang dikehendaki Allah, kemudian Dia akan mengangkatnya jika Dia menghendakinya. Kemudian akan ada kekuasaan yang menggigit (Mulkan ‘Ādhan), dan akan terjadi apa yang dikehendaki Allah. Kemudian Dia akan mengangkatnya jika Allah menghendakinya. Kemudian akan ada kekuasaan diktator (Mulkan Jabriyyan), maka akan terjadi apa yang dikehendaki Allah, kemudian Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Lalu akan ada Khilāfah ‘Alā Minhāj Al-Nubuwwah (Khilafah dengan metode kenabian), lalu Rasulullah SAW diam.” (HR. Ahmad, Al-Musnad, no. 18.406; Al-Bazzar, Al-Musnad, no. 2796; Al-Baihaqi, Dalā`il Al-Nubuwwah, 6/491; hadits hasan). (Lihat: Syeikh Nasiruddin Al-Albani, Silsilah Al-Ahādīts Al-Shahīhah, 4/3094).
Contoh lain, sabda Nabi SAW:
يا ابنَ حَوَالَةَ ! إذا رأيتَ الخِلافةَ قد نَزَلَتِ الأرضَ المُقَدَّسَةَ ، فقد دَنَتِ الزلازلُ ، والبَلابلُ ، والأمورُ العِظامُ ، والساعةُ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ من الناسِ من يَدِي هذه مِن رأسِكَ
“Wahai Ibnu Hawalah, jika Engkau sudah melihat Khilafah yang muncul di bumi yang disucikan (Syam), maka sesungguhnya telah dekat gempa bumi, berbagai macam huru hara, dan perkara-perkara yang besar. Dan hari kiamat pada waktu itu lebih dekat kepada manusia daripada tanganku ini yang berada di kepalamu.” (HR. Abu Dawud, no. 2535; Ahmad, no. 2287; Al-Baihaqi, dalam Dala`il Al-Nubuwwah, 6/238, dinilai sebagai hadis sahih oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani, dalam kitabnya Sahih Abu Dawud, nombor hadis 2535).
Kedua, terdapat banyak penjelasan ulama mengenai status hukum menegakkan Khilafah (Imamah). Imam ‘Abdul Wahhāb Al-Sya`rānī (w. 973 H/1565 M), seorang ulama bermazhab Syafie, berkata:
اتَّفَقَ الْأَئِمَّةُ عَلَى أَنَّ الْإِمَامَةَ فَرْضٌ
“Para imam (yang empat) telah sepakat bahawa Imamah (Khilafah) itu fardhu hukumnya.” (‘Abdul Wahhāb Al-Sya`rānī, Al-Mīzān Al-Kubrā, 1/173).
Syeikh Wahbah Al-Zuhaili mengatakan:
تَرَى اْلأَكْثَرِيَّةُ السَّاحِقَةُ مِنْ عُلَمَاءِ اْلإِسْلاَمِ وَهُمْ أَهْلُ السُّنَةِ وَالْمُرْجِئَةُ وَالشِّيْعَةُ وَاْلمُعْتَزِلَةُ إِلاَّ نَفَراً مِنْهُمْ، وَاْلخَوَارِجُ مَا عَدَا النَّجْدَاتِ : ) أَنَّ اْلإِمَامَةَ أَمْرٌ وَاجِبٌ أَوْ فَرْضٌ مُحَتَّمٌ ).الفقه الإسلامي و أدلّته ج 8 ص 272
“Majoriti besar dari ulama Islam iaitu ulama Ahlus Sunnah, Murji’ah, Syi’ah, dan Mu’tazilah kecuali segelintir daripada mereka, dan Khawarij kecuali An-Najdat– berpendapat bahawa Imamah (Khilafah) adalah perkara yang wajib atau suatu kefardhuan yang pasti.” (Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al Islami wa Adillatuhu, Juz VIII, hlm. 272).
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah disebutkan bahawa:
( أَجْمَعَتِ اْلأُمَّةُ عَلىَ وُجُوْبِ عَقْدِ اْلإِمَامَةِ وَعَلىَ أَنَّ اْلأُمَّةَ يَجِبُ عَلَيْهَا اْلاِنْقِيَادُ لِإِمَامٍ عَادِلٍ يُقِيْمُ فِيْهِمْ أَحْكَامَ اللهِ وَيَسُوْسُهُمْ بِأَحْكَامِ الشَّرِيْعَةِ الَّتِيْ أَتىَ بِهَا رَسُوْلُ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَخْرُجْ عَنْ هَذَا اْلإِجْمَاعِ مَنْ يُعْتَدُّ بِخِلاَفِهِ ). الموسوعة الفقهية الكويتية ج 6 ص 217
“Telah sepakat umat Islam mengenai kewajipan akad Imamah (Khilafah) dan wajibnya umat mentaati Imam yang adil yang menegakkan hukum-hukum Allah di tengah mereka dan mengatur urusan mereka dengan hukum-hukum Syariah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dan tidak ada yang keluar dari Ijma’ ini orang yang dianggap pendapatnya ketika berbeza dengan Ijma’ tersebut.” (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, Juz VI hlm. 217).
Ketiga, dari segi amal, terbukti bahawa Khilafah telah diamalkan dalam sejarah umat Islam kurang lebih selama 1300 tahun, iaitu sejak Khalifah Abu Bakar Shiddiq (632 M) sebagai Khalifah pertama, hingga Khalifah terakhir dalam Khilāfah Uthmāniyyah (Ottoman) di Turki, iaitu Sultan Abdul Majid II (1924 M).
Kesimpulan
Kesimpulannya, Khilafah adalah benar-benar ajaran Islam, kerana terbukti ada nasnya, ada hukum taklifinya, dan ada amalnya. Tidak boleh mengatakan secara dusta bahawa Khilafah adalah produk politik buatan manusia seperti halnya demokrasi, yang memang sama sekali bukan ajaran Islam, kerana tidak memenuhi tiga syarat ajaran Islam di atas.
Mereka yang mengingkari wajibnya Khilafah, dengan pelbagai narasi dan hujah palsu, sebenarnya tidak sedang berkhidmat untuk Islam dan umat Islam, tetapi sedang berkhidmat kepada kaum kafir penjajah dan kepada iblis yang terkutuk. Mereka benar-benar jahat dan keji, dan semoga umat Islam terhindar dari kesesatan dan penyesatan yang mereka lakukan.
Wallāhu a’lam.
Nota: Artikel ini adalah pengembangan dari karya Pengarang dengan judul yang sama.
Sumber:
fissilmi-kaffah