MENCARI SOLUSI MASALAH HAJI
Oleh Nurul Ilmi
Haji Menyatukan Umat Islam
Bagi sesiapa yang sudah berpeluang menunaikan fardhu haji, pengalaman menunaikan ibadah ini merupakan momentum yang banyak menggugurkan air mata. Salah satunya tatkala lautan manusia mengucap talbiah tanpa henti di tanah suci. Pada saat itu, kain ihram menguasai pemandangan. Berjuta Muslim bergerak ke destinasi yang sama, mengharapkan pengampunan dan kembali ke tanah air tanpa dosa. Walaupun kita berbeza dalam perkara tertentu, tetap terzahir akidah yang satu. Tidak dianggap keterlaluan apabila ibadah haji sering menjadi harapan untuk menyatukan umat Islam di pelbagai benua dan belahan dunia. Tidak dapat dinafikan bahawa ibadah ini juga sering menjadi kekuatan kepada umat Islam ketika menempuh pelbagai ujian seperti konflik di Palestin, tekanan ekonomi dan politik, masalah sosial dan sebagainya.
Cabaran Ibadah Haji di Masa Kini
Zaman berubah, namun pelaksanaan ibadah haji masih berdepan pelbagai konflik yang tidak berkesudahan. Hari ini, proses menunggu giliran menunaikan ibadah haji memakan masa sehingga 148 tahun. Sistem kuota haji sememangnya wajar dilaksanakan kerana aspek keselamatan dan keselesaan jemaah sangat penting. Jemaah yang terlalu ramai memberi tekanan kepada infrastruktur tempat-tempat suci, risiko ancaman kebakaran dan rempuhan juga akan meningkat. Pada tahun 2024 dilaporkan sekurang-kurangnya 1300 jemaah meninggal dunia. Kebanyakannya berpunca daripada kesesakan melampau dan kepanasan. Oleh itu, pelaksanaan sistem kuota hendaklah dikendalikan dengan telus dengan memberikan keutamaan kepada jemaah yang berumur dan belum pernah menunaikan haji, bukan memberikan kelebihan kepada sesiapa yang sanggup membayar hatta dengan wang pinjaman.
Pada tahun 2024, Pakistan mengembalikan kuota hajinya kepada Saudi kerana kekurangan jemaah haji akibat kenaikan pembiayaan haji sebesar 70% daripada tahun sebelumnya. Untuk pertama kalinya dalam sejarah kerana pada kebiasaannya Pakistan meminta kuotanya dinaikkan. Di Malaysia, sebilangan umat Islam nekad mengambil pakej haji swasta kerana tidak sanggup untuk terus menunggu. Khidmat ejen swasta ini sangat berisiko kerana melibatkan kos yang mahal, malah wujud risiko penipuan atau pengurusan yang tidak cekap. Pada tahun 2022 sahaja, sebanyak 132 laporan polis diterima berkaitan kes penipuan pakej haji menggunakan visa furada sehingga melibatkan kerugian sebanyak RM5.67 juta.
Peranan Negara dalam Pengurusan Haji
Kerajaan Saudi merespon konflik haji 2024 dengan beberapa peraturan baru, antaranya larangan haji bagi kanak-kanak bawah 12 tahun dan wanita mengandung. Selain itu, keutamaan diberikan kepada sesiapa yang belum pernah melaksanakan ibadah haji, dan jemaah dikehendaki menyerahkan laporan perubatan masing-masing. Langkah ini mungkin boleh mengurangkan risiko musibah tetapi tidak menyelesaikan masalah haji yang utama, iaitu bagaimana setiap muslim boleh secepatnya menunaikan kewajipan haji.
Dalam hal ini peranan negara sangat kritikal. Negara yang dimaksudkan bukanlah kerajaan Arab Saudi, tetapi negara Khilafah yang menyatukan seluruh wilayah umat Islam. Penulis pernah menyaksikan situasi suami isteri yang dipisahkan muassasah kerana mereka memegang pasport berlain negara walhal situasi ini tidak sepatutnya terjadi. Begitu juga ketika hubungan diplomatik antara Saudi dan Qatar mengalami ketegangan (2017-2019), ramai terhalang untuk menunaikan haji. Akibat daripada konflik itu, sesetengah pekerja asing di Qatar dikehendaki mendaftar haji di negara asal, padahal tidak semuanya mempunyai pejabat pengurusan haji.
Hakikatnya, hanya Khilafah yang boleh membuang sempadan nation states sehingga tiada lagi masalah visa dan pemeriksaan pasport yang rumit, sekaligus boleh mengurangkan kos pengurusan, menjimatkan masa dan tenaga. Negara Khilafah tidak akan menguruskan haji seperti golongan korporat yang mengejar keuntungan. Pada hari ini, prosedur memohon visa haji yang cukup rumit boleh dipermudah apabila kita sanggup membuat bayaran yang lebih tinggi. Situasinya semakin parah ketika penguasa di negara umat Islam turut menganbil ‘manfaat’ dengan menyalahgunakan tabungan haji rakyatnya. Ibadah haji kini umpama pelancongan ibadah berskala mega dengan model pengelolaan kapitalis bernilai berbillion USD. Dilaporkan sepertiga pendapatan sektor swasta di Mekah dan Madinah bergantung kepada musim haji. Industri hospitaliti, ejen kembara, penerbangan, komunikasi, peruncitan turut menikmati limpahannya dan kerajaan Saudi mendapat kutipan cukai yang lumayan. Pelaksanaan haji menjadi pendapatan kedua terbesar setelah minyak, belum lagi diambil kira ibadah umrah yang berjalan sepanjang tahun.
Potensi ekonomi ibadah haji begitu ketara sehingga Saudi menjadikannya sebagai agenda reformasi ekonomi. Kerajaan Saudi membangunkan kemudahan beribadah bukan sekadar untuk melayani tetamu Allah tetapi mempelbagaikan ekonomi negaranya. Di bawah Visi 2030, Saudi mensasarkan menarik 30 juta jemaah umrah dalam setahun dan dua kali ganda jumlah jemaah haji demi merealisasi pendapatan 150 billion USD setahun ( lebih besar daripada GDP beberapa negara di dunia). Tidak hairanlah apabila banyak destinasi pelancongan dan pusat membeli-belah giat dipromosikan walaupun menambah cabaran logistik serta menyebabkan tumpuan ibadah terganggu, namun mendatangkan keuntungan bagi tuan rumah.
Sejarah Khilafah Berkhidmat kepada tetamu Allah
Daulah Khilafah sentiasa memberi perhatian kepada pelaksanaan haji. Daulah Khilafah pernah membangunkan saluran air minum yang bermula dari Iraq (ibu negara Khilafah Abbasiyyah) ke Mina dan Muzdalifah sehingga Mekah. Projek ini dilaksanakan dan dibiayai oleh Zubaidah isteri Khalifah Harun ar-Rasyid.
Khilafah Uthmaniyyah pada masa silam menggantikan dan memenuhi segala keperluan mana-mana jemaah yang kehilangan dompet ketika dalam perjalanan menunaikan ibadah. Khalifah Sultan Abdul Hamid 2 membangunkan jalan kereta api dari Istanbul, Damsyik hingga ke Madinah untuk memudahkan pergerakan jemaah.
Khilafah Islam mengerahkan segenap kemampuan agar rakyatnya menunaikan haji sebaik-baiknya, seterusnya menjadi sumber manusia yang bertaqwa, bersatu, dan mampu menghadapi setiap cabaran sebagai individu mahupun sebagai umat. Hal ini demikian kerana Khilafah ditegakkan untuk mengelola urusan umat di atas landasan akidah, iaitu demi mendapat redha Allah, bukan keuntungan duniawi. Paradigma ini dibina atas sabda Nabi SAW“Imam (Khalifah) adalah pengurus rakyat dan dia bertanggung jawab atas rakyat yang dia urus.” [HR Bukhari].
Dengan dilenyapkannya Khilafah pada 3 Mac 1924, urusan haji menjadi rumit, mahal, payah dan memudaratkan. Sudah masanya kita menegakkan semula Khilafah Islam, demi tegaknya semua rukun Islam dan umat kembali berwibawa. Penuhilah seruan yang mulia ini. Labbaikallahumma labbaik!
Rujukan :
Govt decides to return over 21,000 Hajj quota to Saudi Arabia
https://www.saudigazette.com.sa/article/636989