Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk Menghina Agama: Bagaimana Islam Mengaturnya?
Dunia media sosial digemparkan dengan sebuah video yang memaparkan Kaabah dihiasi dengan simbol-simbol golongan pelangi. Video tersebut dipercayai telah disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence/AI). Penyebaran video ini telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet.
Perkembangan pesat teknologi AI sememangnya memberikan kemudahan kepada para pencipta kandungan (content creator) untuk berinovasi. Namun, tanpa kawalan diri dan batasan yang jelas, kemudahan ini boleh mencetuskan penghasilan karya digital yang bersifat provokatif dan kontroversial. Kesannya, ia boleh mengundang konflik yang lebih besar dalam masyarakat secara meluas. Inilah cabaran besar yang perlu diberi perhatian segera serta dicari jalan penyelesaian yang terbaik.
Pedang Bermata Dua
Pada dasarnya, teknologi merupakan hasil perkembangan ilmu pengetahuan yang bersifat universal. Ia boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang. Namun begitu, hala tuju penggunaan teknologi sangat tergantung kepada cara pandang penggunanya. Ibarat pedang bermata dua, teknologi boleh digunakan untuk membina kebaikan, tetapi pada masa yang sama juga mampu menghancurkan.
Individu yang memiliki pola fikir sekular dan liberal cenderung menggunakan teknologi menurut hawa nafsu. Pola fikir ini tidak mengenal standard baik dan buruk, apatah lagi hukum halal dan haram. Selagi sesuatu itu dianggap bermanfaat—yang ukuran manfaatnya pula ditentukan oleh nafsu semata—maka apa sahaja dianggap sah untuk dilakukan. Tidak hairanlah dalam era kapitalisme ini, penyalahgunaan teknologi menjadi satu fenomena yang biasa. Teknologi AI juga tidak terkecuali; ia mudah disalahgunakan untuk menipu, memfitnah bahkan menghina agama. Motifnya jelas, keuntungan material, atau sekadar kepuasan peribadi. Lebih menyedihkan, negara kita masih belum mempunyai kerangka undang-undang yang khas untuk mengawal etika penggunaan teknologi AI.
Namun, bagi seorang Muslim, penggunaan teknologi sepatutnya berpaksikan kepada ajaran Islam. Sumber rujukan utama dalam memanfaatkan teknologi mestilah hukum Allah SWT. Seorang Muslim akan sentiasa memastikan bahawa apa yang digunakan adalah selari dengan batas halal dan haram, serta memberi kebaikan. Teknologi seharusnya menjadi alat bantu untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbanyakkan amal ibadah, bukan sebaliknya. Dalam masa yang sama, seorang Muslim sentiasa merasa bahawa diri diawasi Allah. Kesedaran ini merupakan bentuk kawalan dalaman yang paling berkesan dalam mencegah penyalahgunaan teknologi.
Maka, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa di negeri muslim untuk mendidik masyarakat dengan sudut pandang yang benar berdasarkan syariat. Malangnya, disebabkan negara berpegang kepada ideologi sekular kapitalisme, usaha ke arah ini menjadi amat sukar. Sekularisme secara asasnya menolak peranan agama dalam mengatur kehidupan. Namun, lihatlah bagaimana jenayah digital semakin berleluasa dengan pelbagai modus operandi. Akhirnya, rakyat terpaksa melindungi diri mereka sendiri kerana pemerintah lepas tangan dalam menangani isu ini.
Kemajuan Teknologi adalah Suatu Kepastian
Kemajuan teknologi merupakan suatu yang pasti. Islam sendiri sangat mendorong umatnya untuk menggunakan akal fikiran dalam berfikir secara mendalam serta berinovasi. Malah, Islam memberikan perhatian yang besar terhadap usaha menuntut ilmu serta pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, ayat 60 yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
Ibnu Katsir rahimahullah dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ini merupakan perintah kepada umat Islam untuk mempersiapkan diri dengan kekuatan dan pasukan yang mencukupi bagi menghadapi musuh. Kekuatan ini bukan hanya dari segi fizikal, tetapi turut merangkumi kekuatan ekonomi dan teknologi. Walaupun ayat ini turun dalam konteks persiapan perang dan jihad melawan musuh-musuh Islam, Ibnu Katsir menyatakan bahawa maknanya meliputi pelbagai aspek kekuatan termasuklah ketenteraan, ekonomi, dan teknologi.
Tidak hairanlah jika dalam sejarah peradaban Islam, ketika sistem Khilafah masih teguh berdiri, begitu ramai ilmuwan Muslim yang unggul dalam pelbagai bidang ilmu. Dorongan keimanan menjadikan mereka giat membangunkan teknologi demi memudahkan kehidupan seharian dan memperlancar pelaksanaan ibadah serta ketaatan kepada Allah SWT. Nama-nama besar dalam sejarah seperti Al-Khawarizmi, bapa algebra dan pencipta konsep angka sifar, bahkan merupakan salah seorang tokoh ilmuwan kegemaran Mark Zuckerberg yang merupakan tokoh berpengaruh dalam dunia teknologi digital dan media sosial masa kini.
Islam Menjaga Agama
Apabila Islam diterapkan oleh sesebuah negara, syariatnya sangat menitikberatkan usaha penjagaan pembangunan masyarakat. Syariat Islam telah menetapkan lapan matlamat utama yang mendasari pelaksanaan pelbagai hukum, iaitu:
- Pemeliharaan atas keturunan (al–muhafazhatu ‘ala an-nasl)
- Akal (al-muhafazhatu ‘ala al-‘aql)
- Kemuliaan (al-muhafazhatu ‘ala al-karamah
- Jiwa (al-muhafazhatu ‘ala an-nafs)
- Harta (al-muhafazhatu ‘ala al-mal)
- Agama (al-muhafazhatu ‘ala ad-din)
- Ketenteraman dan keselamatan (al-muhafazhatu ‘ala al-amn)
- Negara (al-muhafazhatu ‘ala ad-daulah).
Dalam aspek penjagaan agama, Islam mengharamkan sebarang bentuk penghinaan atau pelecehan terhadap agama tidak kira dalam bentuk media atau sarana apa pun. Negara Islam akan mengenakan hukuman yang tegas terhadap pelaku jenayah ini dan tidak akan membiarkan para penista agama berkeliaran bebas tanpa tindakan.
Tercatat dalam sejarah, Khalifah Umar bin al-Khattab RA pernah menjatuhkan hukuman mati terhadap individu yang menghina Nabi SAW. Manakala Sultan Abdul Hamid II dari Khilafah Uthmaniyah juga menunjukkan ketegasan luar biasa dalam menangani penghinaan terhadap Rasulullah SAW. Ketika Perancis merancang untuk mementaskan sebuah teater yang menghina Nabi SAW, beliau segera memanggil duta besar Perancis dan berkata dengan tegas: “Akulah Khalifah umat Islam, Abdul Hamid! Aku akan menghancurkan dunia di sekelilingmu jika kamu tidak menghentikan pertunjukan tersebut!”
Media untuk Kemuliaan Agama
Islam merupakan sebuah sistem kehidupan yang lengkap, terperinci, dan tersusun rapi. Islam tidak hanya menekankan penjagaan agama melalui individu yang dikawal oleh iman, tetapi juga memberi perhatian menyeluruh terhadap segala aspek yang berkaitan dengan penjagaan tersebut. Ini meliputi usaha pencegahan, penanganan terhadap pelanggaran, serta menutup setiap ruang yang boleh membawa kepada penyimpangan. Negara Islam (Khilafah) menjalankan semua usaha ini sebagai sebahagian daripada pelaksanaan hukum syariah yang telah diwajibkan oleh Allah Taala.
Dalam konteks strategi media, negara memainkan tiga peranan utama:
- Sebagai junnah (perisai) yang akan melindungi ideologi dan ajaran Islam daripada dijadikan bahan ejekan atau penghinaan.
- Sebagai penyaring yang menapis segala bentuk maklumat yang sampah dan tidak bermanfaat.
- Sebagai medium syiar dan penyebaran informasi Islam ke seluruh dunia baik dalam mahupun luar negara Islam.
Sesungguhnya, Khilafah menjadikan media massa sebagai pelayan ideologi.
Islam menjamin kebebasan masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti media, asalkan ianya tertakluk kepada garis panduan syariah. Kewujudan media swasta atau akaun individu diarahkan untuk menjadi sebahagian daripada pelaksanaan syariat Islam sebagai alat kawalan sosial menerusi dakwah serta seruan amar makruf nahi mungkar.
Seorang ulama dan mujtahid kontemporari, Syeikh Ziyad Ghazzal rahimahullah, telah menghuraikan pengurusan media massa dalam negara Khilafah melalui kitab beliau Masyrû’ Qânûn Wasâ’il al-I’lâm fî Dawlah al-Khilâfah (Rang Undang-Undang Media Massa dalam Negara Khilafah). Dalam kitab tersebut, beliau menjelaskan antaranya mengenai hak masyarakat umum, di mana setiap individu berhak untuk menyampaikan sesuatu kepada khalayak melalui pelbagai platform media.
Namun demikian, hak ini tertakluk kepada peraturan dan syarat yang telah ditetapkan. Jika hak tersebut disalahgunakan, contohnya dengan menyebarkan idea-idea sesat (batil) atau menyalahi syariat seperti menghina agama, maka pelakunya akan dikenakan tindakan tegas. Dalam hal ini, sebarang alasan termasuk atas nama “kebebasan bersuara” tidak akan diterima. Maka dengan itu, penggunaan teknologi maklumat akan sentiasa terkawal dan berjalan sihat dalam koridor hukum Islam.
Khatimah
Kebebasan bertingkah laku yang diagung-agungkan demokrasi terbukti telah melahirkan individu yang bertindak melampau. Demi keuntungan dan keseronokan, penghinaan terhadap agama seolah-olah menjadi sesuatu yang dibenarkan. Hanya Islam yang memiliki aturan yang lengkap dan sempurna untuk mewujudkan suasana yang sihat dan beradab dalam memanfaatkan penggunaan teknologi digital serta media massa. Wallahu’alam bissawab.
Sumber: https://muslimahnews.net/
#TeknologiAI #HinaAgama #WeNeedKhilafah #MediaMassa #EraDigital