[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Kerjasama, Kunci Keharmonian Rumah Tangga
Perkahwinan bukan tentang siapa betul, siapa menang. Ia tentang dua hati yang saling melengkapi, dua jiwa yang berusaha menjadi satu pasukan. Dalam Islam, suami dan isteri ada peranan yang berbeza, namun matlamatnya sama: membina keluarga yang penuh rahmah, mawaddah dan sakinah.
Suami bukanlah seorang diktator. Dia adalah pemimpin, yang memimpin dengan kasih sayang, bimbingan, dan sikap yang adil. Tugasnya bukan sekadar menafkahi keluarga, tetapi menjadi “imam” yang menuntun keluarga menuju redha Allah.
Isteri bukanlah pembantu. Dia adalah sahabat dan rakan seperjuangan. Dia penjaga rumah dan penguat jiwa keluarga. Peranannya tidak pasif, tapi aktif. Dia berperanan sebagai ummun wa rabbatul bayt, mendidik anak-anak, mendukung suami, dan menyemai cinta dalam segenap sudut rumah.
Kunci utamanya? Kerjasama. Misalnya, apabila suami sibuk bekerja di luar, isteri tidak mudah berkecil hati kerana kurangnya masa suami di rumah. Sebaliknya isteri menyokong usaha suami. Begitu juga apabila isteri penat dalam mengurus rumah dan anak-anak, suami menghulurkan tangan membantu. Suami isteri sebagai pemimpin rumah tangga perlu menjaga nilai-nilai ibadah dengan menerapkan kebersamaan dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT, misalnya solat berjemaah bersama, saling menegur dan memperbaiki diri, berdiskusi dengan makruf saat berselisih, saling bergurau senda sesuai masa dan batasnya, serta saling memaafkan saat terluka.
Sabda Rasulullah SAW:
”Sesungguhnya daripada orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya.“ (HR al-Tirmizi (2612))
Cinta boleh berawal dengan perasaan, namun ia kekal dengan tanggungjawab. Tatkala dua insan saling memikul beban bersama, beban tersebut akan menjadi ringan, dan cinta akan kian menjadi kukuh dengan mencintai kerana Allah SWT.
Sabda Nabi SAW:
“Tidak akan mendapat manisnya iman sehingga dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah,” (HR Bukhari)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat