[Nota Ringkas Keluarga Muslim Ideal]
Membina Keluarga yang Berkah bermula dengan Perjanjian Agung
Pensyariatan pernikahan disebutkan dalam Al-Quran:
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.“ (TMQ An-Nuur [24]: 32)
Secara istilah, nikah adalah sebuah akad yang mengandungi dua dimensi utama, pertama akad (perjanjian) iaitu proses ijab qabul yang sah secara syarak sebagai bentuk komitmen yang diiktiraf oleh Allah dan masyarakat. Kedua, kehalalan hubungan suami isteri, yakni melalui akad, hubungan intim menjadi halal dan terhormat, mengangkat hubungan tersebut dari batas larangan kepada keberkatan.
Akad nikah dalam Islam bukan sekadar lafaz ijab dan qabul yang ringkas atau simbolik. Ia ialah kontrak suci, ikatan kerohanian yang menyatukan dua jiwa dan menjadi landasan hidup bersama yang menuntut hak serta tanggungjawab antara lelaki dan perempuan. Berbeza daripada pemahaman pernikahan dari sudut adat, akad nikah ini sarat makna di sisi syarak dan disaksikan bukan sahaja oleh manusia, bahkan oleh Allah SWT sendiri.
Al-Quran menegaskan hal ini dengan menyifatkan perkahwinan sebagai “mithāqan ghalīẓa” – satu perjanjian kukuh dan agung. Firman-Nya dalam Surah an-Nisa ayat 21:
“Dan bagaimana kamu tergamak mengambil kembali pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu sama lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telah mengambil perjanjian yang kuat (mithāqan ghalīẓa) daripada kamu?“
Istilah mithāqan ghalīẓa hanya disebut tiga kali dalam al-Quran, dan setiap kali ia muncul, ia merujuk kepada ikatan yang sangat berat di sisi Allah. termasuk janji para nabi dengan Allah dan ikatan kenabian. Dalam konteks perkahwinan, penggunaannya menunjukkan bahawa nikah bukan sekadar kontrak sosial, tetapi satu perjanjian spiritual yang setara dengan sumpah-sumpah agung dalam sejarah wahyu. Ia bukan ikatan yang boleh diputus sesuka hati, kerana ia dimeterai dengan kehormatan, kepercayaan dan tanggungjawab yang mendalam.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut tiga golongan yang akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah:
“Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya”. (HR al-Tirmizi (1655), al-Nasa’i (3218))
Baginda SAW juga berpesan kepada para pemuda:
“Wahai pemuda, sesiapa antara kamu yang mampu, maka berkahwinlah. Ia lebih membantu menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri. Jika belum mampu, maka berpuasalah; itu adalah pelindung baginya.”
(HR. Bukhari, no. 5065 dan Muslim, no. 1400)
Sebagai orang beriman, maka sewajarnya kita mempersiapkan diri dengan ilmu, niat yang bersih, dan sandaran kepada Allah agar akad pernikahan benar-benar menjadi permulaan membina syurga dunia yang berpanjangan hingga akhirat.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat