Lantang Mengkritik Islam Politik, tetapi Bisu Terhadap Kezaliman Amerika Syarikat
Tidak sedikit pihak yang mengkritik Islam politik, khususnya yang diketengahkan oleh Hizbut Tahrir (HT). Mereka menuduh Islam politik dan HT sebagai gerakan ekstremisme. Jika tuduhan ini datang daripada orang kafir, masih boleh diterima lagi. Masalahnya, terdapat juga dalam kalangan umat Islam sendiri yang menjadi pelakunya.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka sanggup menjadi alat kepada musuh Islam dalam usaha memerangi gerakan Islam politik, Hizbut Tahrir dan kumpulan-kumpulan yang mereka label sebagai ekstremis. Lebih menghairankan, orang-orang ini langsung tidak pernah menyuarakan penentangan terhadap ekstremisme dan keganasan rejim Zionis Yahudi. Mereka tidak mengutuk tindakan entiti penjajah Zionis yang memusnahkan Gaza, membunuh puluhan ribu rakyat Palestin dan mengusir ratusan ribu yang lain. Mereka juga tidak mengecam pemusnahan kem-kem pelarian di Tebing Barat, mahupun terhadap keganasan Amerika Syarikat di Somalia, Iraq, Afghanistan dan Yaman. Begitu juga terhadap kezaliman India di Kashmir, pembantaian umat Islam Rohingya di Myanmar, serta penindasan terhadap Muslim Uighur di Turkistan Timur dan wilayah-wilayah lain.
Sebaliknya, perhatian mereka hanya tertumpu kepada memerangi Hizbut Tahrir dan dakwahnya yang menyeru kepada penyatuan umat Islam di bawah panji Islam iaitu panji Khilafah!
Walaupun sebahagian daripada mereka merupakan anggota institusi Islam, namun penulisan dan ucapan mereka tidak mencerminkan nilai-nilai Islam. Pemikiran mereka tidak bersumberkan akidah Islam, bahkan dipengaruhi oleh fahaman nasionalisme sempit yang berusaha memecah-belahkan umat Islam kepada negara-negara kecil, dan tidak mengarah kepada penyatuan mereka dalam satu entiti iaitu Khilafah.
Pandangan mereka yang diterbitkan juga berbau cauvinisme nasionalis yang telah dikecam keras oleh Islam. Mereka membela sistem demokrasi kufur serta negara republik yang tidak menerapkan hukum Allah!
Mereka mengambil sudut pandang Barat terkait isu Palestin sebagai sebuah “konflik”, bukan sebagai tanah milik umat Islam yang diduduki oleh Zionis Yahudi. Anehnya, kelompok ini melihat Palestin hanya dari sudut isu kemanusiaan dan hak asasi manusia, tanpa mengambil kira akidah Islam. Mereka menyokong solusi lama yang dicadangkan Barat, iaitu penubuhan negara Palestin berdasarkan sempadan 4 Jun 1967. Seolah-olah tanah yang telah dirampas oleh entiti Zionis sebelum tarikh tersebut bukanlah tanah umat Islam!
Hakikatnya, bahkan Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump telah pun meninggalkan penyelesaian tersebut. Kini, Amerika Syarikat secara terbuka menyokong peluasan kuasa entiti Zionis Yahudi serta pengusiran penduduk Gaza. Namun begitu, pihak yang menuduh Hizbut Tahrir sebagai ekstremis langsung tidak memberikan reaksi terhadap perkara ini, apatah lagi mengutuk tindakan ekstrem Presiden Trump dalam menindas umat Islam di Palestin!
Sebaliknya, mereka justeru menuduh kumpulan-kumpulan Islam sebagai pihak yang hanya mengambil kesempatan untuk menuduh negara-negara Arab telah mengkhianati perjuangan Palestin. Sedangkan sesiapa sahaja yang masih waras pasti dapat melihat dengan jelas bahawa negara-negara Arab, begitu juga negara-negara lain yang majoriti penduduknya beragama Islam telah mengabaikan sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin!
Contoh Kes
Salah satu contoh kes ialah sebuah artikel yang mengandungi kritikan, malah cenderung kepada fitnah tanpa asas yang dilakukan oleh individu seperti ini dan telah disiarkan dalam akhbar antarabangsa berbahasa Arab, Al-Arab, yang diterbitkan di London, United Kingdom, beberapa ketika dahulu.
Artikel tersebut merupakan respons penulis terhadap masîrah (demonstrasi besar-besaran) yang menyeru kepada jihad dan khilafah sebagai penyelesaian tuntas bagi isu Palestin. Demonstrasi ini telah diadakan di lebih daripada 20 bandar di Indonesia sebelum ini.
Penulis artikel tersebut telah membuat tuduhan terhadap Hizbut Tahrir bermula dari tajuk sehingga ke seluruh perenggan dalam penulisannya. Namun, amat jelas bahawa dia tidak mempunyai pemahaman yang cukup mengenai Hizbut Tahrir. Akibatnya, terdapat banyak kesilapan dalam penulisannya. Berikut adalah lima daripadanya:
Pertama: Kesilapan pada tajuk utama: “Hizbut Tahrir Indonesia”.
Penulis seolah-olah tidak memahami bahawa Hizbut Tahrir merupakan sebuah parti yang ditujukan kepada seluruh umat Islam, bukan hanya di Indonesia. Atau mungkin, dia sengaja mengambil sudut pandang nasionalisme sempit dengan menganggap Hizbut Tahrir hanyalah parti tempatan.
Sedangkan Hizbut Tahrir merupakan parti politik yang berasaskan Islam, yang bertujuan untuk menyatukan umat Islam dalam satu entiti politik, iaitu Khilafah, yang telah diwajibkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Kedua: Kesilapan dalam kenyataan “Hizbut Tahrir bergantung kepada emosi masyarakat untuk mengukuhkan legitimasi ideologinya”.
Kenyataan ini jelas merupakan satu pembohongan besar. Ini kerana Hizbut Tahrir tidak mendasarkan legitimasi ideologinya kepada emosi orang ramai, tetapi kepada al-Quran dan as-Sunnah. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali Imran (3): 104]
Selain itu, Rasulullah SAW juga telah mewajibkan umat Islam untuk melakukan muhasabah (pengawasan) terhadap pemerintah. Maka Hizbut Tahrir bergerak bukan berdasarkan emosi, tetapi berdasarkan kewajipan syarie dalam menyampaikan dakwah Islam serta menjelaskan status Palestin dari sudut pandang syariah. Sebaliknya, penulis artikel tersebut telah menuduh Hizbut Tahrir dan para aktivisnya sebagai golongan yang hanya berpura-pura prihatin terhadap Palestin. Tuduhan ini jelas merupakan fitnah yang tidak berasas.
Ketiga: Tuduhan dalam kenyataan, “Hizbut Tahrir berusaha menghidupkan projek Khilafah”.
Penulis tampaknya tidak memahami bahawa Khilafah bukanlah sekadar “projek” Hizbut Tahrir, tetapi merupakan sistem pemerintahan Islam yang diwajibkan. Para ulama seperti Al-Mawardi, An-Nawawi, Al-Juwayni, Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Haitami, Ibnu Taimiyah, Ibnu Khaldun, al-Qurtubi dan ramai lagi telah menegaskan kewajipan mendirikan Khilafah. Sepatutnya penulis merujuk kepada pendapat para ulama ini sebelum membuat bantahan terhadap Khilafah secara membuta tuli.
Keempat: Tuduhan dalam kenyataan, “Hizbut Tahrir menyalahgunakan isu Palestin”.
Penulis menuduh Hizbut Tahrir mengeksploitasi isu Palestin untuk menyerang demokrasi dan negara-negara bangsa. Hakikatnya, Palestin bukan sekadar konflik politik biasa, tetapi merupakan tanah Islam yang wajib dibebaskan. Sekiranya Hizbut Tahrir menekankan pentingnya jihad dan Khilafah sebagai jalan penyelesaian untuk membebaskan Palestin, itu sebenarnya selaras dengan ajaran Islam. Sebaliknya, penulis artikel tersebut lebih cenderung mempertahankan penyelesaian dua negara yang jelas merupakan pengkhianatan terhadap hak umat Islam ke atas Palestin. Lebih malang lagi, dia langsung tidak mengecam pengkhianatan para pemimpin Muslim yang menjalinkan hubungan dengan entiti penjajah Zionis Yahudi.
Kelima: Tuduhan dalam kenyataan, “Hizbut Tahrir mempunyai agenda khusus”.
Penulis menuduh Hizbut Tahrir mempunyai agenda, seolah-olah mempunyai agenda itu sesuatu yang salah. Hakikatnya, setiap kumpulan, termasuk negara dan individu, pasti mempunyai agenda masing-masing. Apa yang lebih penting adalah sama ada agenda tersebut selari dengan Islam ataupun tidak. Agenda Hizbut Tahrir amat jelas: menghapuskan sistem kufur dan menegakkan Khilafah Islamiyah. Mengapa pula ini dianggap sebagai suatu kesalahan?
Daripada lima perkara di atas, dapat disimpulkan bahawa artikel yang diterbitkan dalam akhbar Al-Arab ini merupakan satu serangan yang sistematik terhadap Hizbut Tahrir dan gagasan Khilafah. Artikel ini mencerminkan sudut pandang sekular dan nasionalistik yang bertentangan dengan Islam.
Penulisnya tidak memahami hakikat Khilafah, jihad, dan penyelesaian Islam untuk isu Palestin. Sebaliknya, dia lebih sibuk mempertahankan demokrasi kufur dan para penguasa yang mengkhianati Islam. Oleh itu, adalah jelas bahawa artikel ini merupakan sebahagian daripada kempen untuk menghalang kebangkitan semula Islam sebagai sistem kehidupan.
Al-Arab
Persoalan pun timbul, mengapa artikel yang bersifat keji seperti itu boleh diterbitkan dalam akhbar Al-Arab, yang dianggap oleh sebahagian pembaca sebagai media penerbitan bagi dunia Arab (yang secara asasnya merupakan negeri Islam) serta syiar Islam? Persoalan ini sebenarnya mengandungi jangkaan yang terlalu tinggi. Hal ini kerana, hakikatnya akhbar tersebut memainkan peranan utama dalam memerangi Islam politik serta segala sesuatu yang berkaitan dengannya.
Bagi sesiapa sahaja yang mencari kata kunci “Hizbut Tahrir” di ruangan carian laman sesawang akhbar Al-Arab, mereka akan menemui puluhan artikel, laporan dan berita yang menyerang Hizbut Tahrir serta konsep Khilafah.
Keadaan ini tidaklah menghairankan jika diteliti latar belakang sejarah yang menyelubungi penubuhan akhbar berkenaan. Pada tahun 1961, ketika Liga Arab mengadakan Persidangan Menteri-Menteri Penerangan, ia telah mencadangkan penubuhan sebuah projek Lembaga Penerangan dan Maklumat Arab di Eropah. Projek ini kemudian diwujudkan dengan pelbagai elemen yang berkait rapat dengan media, dan pelaksanaannya telah diserahkan kepada Suruhanjaya Penerangan Liga Arab, yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media dari negara-negara anggota, termasuk Libya.
Sebagai tindakan lanjut daripada usaha Suruhanjaya Penerangan Liga Arab tersebut, Libya melalui Menteri Penerangan dan Kebudayaannya ketika itu, Haji Ahmed Salihin, telah melancarkan akhbar Al-Arab sebagai sebuah akhbar berbahasa Arab yang diterbitkan secara antarabangsa dari London, United Kingdom, pada tahun 1977.
Seperti yang diketahui, Liga Arab itu sendiri merupakan sebuah pertubuhan yang menghimpunkan negara-negara bangsa Arab yang ditubuhkan di atas runtuhan Khilafah Uthmaniyah. Liga Arab telah diasaskan oleh beberapa negara Arab yang bughat (memberontak) terhadap Khilafah semasa berlangsungnya Perang Dunia Pertama. Bukannya memberikan sokongan kepada ibu kota Khilafah di Istanbul untuk berjihad menentang British dan sekutunya, golongan bughat ini sebaliknya menurut arahan British dan sekutu-sekutunya untuk melepaskan diri daripada kekuasaan Khilafah Uthmaniyah. Dalam catatan sejarah, peristiwa pemberontakan ini dikenali sebagai Pemberontakan Arab 1916 (Arab Revolt 1916). Maka, tidaklah hairanlah jika Liga Arab memusuhi ajaran Islam dalam aspek pemerintahan iaitu sistem Khilafah serta para pendakwahnya, khususnya Hizbut Tahrir.
Begitu juga halnya dengan Libya. Walaupun Libya bukan merupakan anggota dalam Pemberontakan Arab 1916 dan bukan juga antara negara pengasas Liga Arab, tetapi sebagai ahli Liga Arab, Libya turut menunjukkan permusuhan yang sama terhadap Hizbut Tahrir. Lebih-lebih lagi sejak tahun 1978, Hizbut Tahrir di Libya secara lantang melakukan nahi mungkar terhadap pemerintah Libya ketika itu, Muammar Qaddafi, yang secara terang-terangan menolak sunnah. Qaddafi berpegang bahawa semua hadis adalah palsu (mawdhû’), dan tiada satu pun yang merupakan wahyu daripada Allah SWT. Kerana itu, dia enggan melaksanakan hukum-hukum yang terkandung dalam hadis. Sebagai gantinya, dia menerapkan ideologi sosialisme.
Pada tahun 1983, tiga belas orang aktivis HT Libya yang paling lantang telah ditahan dan diugut di dalam penjara. Namun begitu, mereka tetap teguh dengan pendirian mereka. Sedikit pun mereka tidak goyah, apatah lagi meninggalkan prinsip perjuangan untuk menegakkan Khilafah Islamiyah, yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber hukumnya.
Qaddafi semakin berang. Dia mengancam untuk memenjarakan mereka seumur hidup. Namun mereka tetap tidak gentar. Malah, dengan penuh keberanian, Muhammad Muhazhab Havan, seorang aktivis HT Libya, menjawab, “Sesungguhnya, dipenjara seumur hidup merupakan suatu kebanggaan dan kehormatan bagi saya.”
Mendengar jawapan itu, Qaddafi akhirnya membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka. Mereka telah dihukum gantung sampai mati di sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Hukuman itu dilaksanakan di hadapan para guru, pensyarah, pelajar, mahasiswa, serta di hadapan keluarga dan anak-anak mereka sendiri.
Walaupun rejim-rejim pemerintah negara anggota Liga Arab silih berganti, namun sikap mereka tetap sama — memusuhi sistem Khilafah sebagai ajaran Islam dan memerangi para pendakwahnya. Oleh itu, tidak hairan jika media massa yang dikendalikan atau diterbitkan oleh Liga Arab memainkan peranan utama dalam menentang Islam politik serta segala perkara yang berkaitan dengannya.
[Joko Prasetyo / Diadaptasi daripada pelbagai sumber, dengan rujukan utama artikel bertajuk “Surat Kabar Al-Arab Memimpin Kempen Memusuhi Khilafah dan Hizbut Tahrir” oleh Khalifah Muhammad, Aktivis Hizbut Tahrir Jordan]
Sumber: https://alwaie.net/afkar/lantang-kritik-islam-politik-tapi-bisu-atas-kejahatan-as/
#DakwahIslamKaffah #IslamPolitik #HizbutTahrir #PartiPolitikIslam #TegakKhilafah