[Kisah Inspirasi] Kecintaan Kabsyah binti Rafi’ kepada Rasulullah SAW
Kabsyah menyambut para utusan dalam Perang Uhud. Pada ketika itu, beliau telah menghantar dua orang anak lelakinya untuk berperang dan membela agama Allah. Beliau keluar untuk memastikan keadaan Rasulullah SAW. Beliau memerhatikan wajah-wajah para tentera Muslim yang pulang dari medan perang dan mencari kedua-dua anak lelakinya. Namun, salah seorang daripada mereka telah gugur sebagai syahid dalam peperangan tersebut.
Dalam riwayat lain yang tercatat dalam kitab As-Sirah al-Halbiyyah disebutkan bahawa sebelum Rasulullah SAW memasuki Madinah, Ummu Sa’ad bin Mu’adz, pemimpin kaum Ansar, datang berlari untuk menyambut Rasulullah SAW. Baginda sedang berada di atas kudanya, manakala Sa’ad memegang tali kekang kuda tersebut. Kemudian Sa’ad berkata, “Wahai Rasulullah, itu ibuku.”
Rasulullah SAW pun mengucapkan selamat datang kepadanya. Kemudian baginda berhenti untuk menemuinya. Setelah Ummu Sa’ad berada dekat dengan Rasulullah SAW, baginda menyampaikan ucapan takziah kepadanya kerana anak lelakinya yang bernama Amr bin Mu’adz telah gugur sebagai syahid dalam Perang Uhud pada usia 32 tahun. Ummu Sa’ad lalu berkata, “Apabila aku telah menyaksikan engkau selamat, maka sesungguhnya musibah ini menjadi ringan bagiku.”[Ummu Isra’ binti Arafah, 66 Muslimah Pengukir Sejarah]
Hikmah
Betapa tabah dan tenangnya hati seorang Kabsyah binti Rafi’, ibu kepada Sa’ad bin Mu’adz ketika mendengar salah seorang anak lelakinya telah syahid. Bahkan, beliau terlebih dahulu bertanyakan tentang keadaan Rasulullah dan memastikan baginda berada dalam keadaan selamat. Sesungguhnya, keikhlasan seorang ibu melepaskan anaknya berjihad di jalan Allah SWT telah memudahkan anaknya meraih kematian yang mulia.
Kabsyah memberikan contoh teladan bagaimana seorang ibu menunjukkan cinta yang begitu mendalam kepada Nabinya, melebihi cintanya kepada anaknya sendiri. Beliau menyerahkan anaknya untuk berjuang di medan jihad fi sabilillah semata-mata kerana cintanya kepada Allah dan RasulNya. Teringat sabda Nabi SAW, “Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintaiku lebih daripada mencintai ibu bapanya, anak-anaknya, dan seluruh manusia.” [Hadis Riwayat Bukhari]
Allah SWT telah memberikan kepada kita panduan dalam mencintai Nabi SAW dengan sebenar-benarnya, iaitu dengan meneladani sikap, tutur kata, perbuatan baginda serta mengikuti ajaran yang dibawanya, iaitu syariat Islam.
Nabi SAW bersabda, “Berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah sunnah tersebut dengan gigi geraham kamu.” [Hadis Riwayat Bukhari No.3093, Muslim No.1759, dan Abu Daud No.2970]
Setiap Muslim wajib mengikuti panduan Allah dan RasulNya dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam meneladani kepimpinan Rasulullah SAW serta cara baginda membina masyarakat Islam dengan tegaknya Daulah Islam pertama di Madinah. Inilah hakikat cinta yang sebenar. Ia bukan sekadar berselawat ke atas baginda, tetapi juga mengikuti cara baginda dalam menyampaikan dakwah Islam dan menegakkan sistem pemerintahan Islam berlandaskan syariat. Semoga cinta yang begitu mendalam yang ditunjukkan oleh Kabsyah kepada Rasulullah SAW menjadi inspirasi, motivasi dan dorongan semangat bagi umat Islam seluruhnya.
Sumber: muslimanews
#kabsyahbintirafi #serikanditeladan #ibu #ibuteladan #KeluargaMuslimIdeal