[Kisah Inspirasi] Kesabaran Ummu Sulaim
Anas meriwayatkan bahawa seorang anak Abu Thalhah dari Ummu Sulaim meninggal dunia. Ummu Sulaim berpesan kepada orang-orang di kalangan keluarganya, “Jangan kalian memberitahu Abu Thalhah tentang kematian anaknya sehingga aku sendiri yang menceritakan kepadanya.”
Saat Abu Thalhah kembali ke rumahnya, Ummu Sulaim menyambutnya dan memberinya makan malam. Abu Thalhah pun makan dan minum dengan tenang. Sementara itu, Ummu Sulaim juga berdandan dengan sebaik-baiknya sehingga mendorong Abu Thalhah menggauli sang isteri. Setelah itu, Ummu Sulaim berkata kepadanya,
“Wahai Abu Thalhah, jika ada orang yang meminjamkan sesuatu kepada satu keluarga, lalu yang meminjamkan itu ingin mengambil kembali pinjamannya, apakah keluarga itu berhak menolaknya?” Abu Thalhah menjawab, “Tidak.” Ummu Sulaim berkata lagi, “Seperti itu jugalah keadaannya dengan anakmu” (yang telah diambil kembali oleh Allah SWT).
Kemudian, Abu Thalhah menemui Rasulullah SAW dan memberitahu tentang apa yang telah terjadi. Baginda pun bersabda, “Semoga Allah memberikan keberkahan bagi kalian pada malam kalian.”
Ummu Sulaim lalu hamil. Biasanya, saat Rasulullah SAW bermusafir, Abu Thalhah dan Ummu Sulaim selalu akan menyertai baginda. Setiap kali Rasulullah SAW tiba di Madinah dari perjalanannya, baginda akan melalui jalan tertentu. Rombongan baginda SAW pun menghampiri Madinah. Pada ketika itu, Ummu Sulaim hendak melahirkan anaknya. Oleh kerana itu, Abu Thalhah mesti menemani Ummu Sulaim, sementara Rasulullah SAW meneruskan perjalanannya ke Madinah.
Abu Thalhah berdoa, “Ya Allah, Engkau Maha Mengetahui bahawa aku sangat menyenangi perjalanan bersama Rasulullah SAW, keluar, dan kembali ke Madinah bersama baginda. Namun, niatku ini tertahan dengan keadaan isteriku yang mahu melahirkan, sehingga aku tidak boleh menyertai baginda masuk ke Madinah.”
Kemudian, Ummu Sulaim melahirkan seorang anak lelaki. Abu Thalhah membawa dan menggendong bayinya untuk bertemu Rasulullah SAW. Baginda SAW bertanya, “Adakah Ummu Sulaim sudah melahirkan?” Abu Thalhah menjawab, “Sudah.” Baginda pun meletakkan bayi Ummu Sulaim di pangkuannya. Setelah itu, baginda meminta agar disediakan kurma Ajwa Madinah. Baginda mengulum kurma tersebut hingga halus, lalu memberikannya ke mulut bayi. Si bayi pun menghisapnya. Rasulullah SAW bersabda, “Lihatlah, kaum Anshar menyukai kurma.” Setelah itu, baginda menyapu wajah bayi Abu Thalhah dan Ummu Sulaim . Kemudian , mereka menamakannya Abdullah. [Ibnu al-Jauzi, 500 Kisah Orang Saleh Penuh Hikmah].
Hikmah
Kehilangan anak memang menyakitkan dan beratnya perasaan tidak tertanggung. Namun, Ummu Sulaim mengajarkan bahawa kesabaran dan keikhlasan atas qada’ Allah SWT akan berbuah manis. Beliau bersabar ketika puteranya meninggal dunia, lalu digantikan Allah SWT dengan putera yang lain. Demikianlah sepatutnya sikap seorang mukmin.
Sabar merupakan salah satu sifat keimanan seorang muslim dan menjadi salah satu cara untuk memperoleh kehidupan yang tenang. Umar bin Khattab RA pernah mengatakan tentang indahnya kesabaran, “Kami berjaya memperolehi kehidupan terbaik kami dengan jalan kesabaran.”
Ketika seseorang memiliki sifat sabar, maka Allah SWT juga akan memberikan balasan yang setimpal. Misalnya, bersabar dalam ketaatan tatkala kebanyakan manusia bermaksiat. Bersabar dalam melakukan amar makruf nahi mungkar, ketika tidak semua orang mampu memikul tanggung jawab dan kewajipan dakwah membina umat. Oleh kerana itu, bersabarlah wahai para pengemban dakwah. Sesungguhnya Nabi SAW dan para sahabat juga melakukan hal ini dalam aktiviti dakwahnya. Semoga Allah SWT senantiasa menaungi kita dengan kesabaran yang luas.
Sumber: muslimahnews
#UmmuSulaim #Zuriat #KeluargaMuslimIdeal