Keluarga yang Mendapat Berkat dari Rasulullah SAW
Diriwayatkan daripada Hubaysh ibn Khalid bahawa ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah bersama Abu Bakar dan sahabatnya, Amin ibn Fuhairah serta seorang penunjuk jalan, Abdullah ibn Uraiqith al-Laythi, mereka melalui khemah Ummu Ma’bad al-Khuza’iyyah. Dia seorang wanita yang rajin dan tabah. Dia biasa duduk di serambi khemahnya dan menawarkan makanan dan minuman kepada sesiapa yang lalu lalang.
Rombongan Nabi SAW lalu berhenti di situ. Mereka meminta daging dan kurma yang akan mereka beli daripadanya. Namun, pada masa itu mereka tidak mendapat apa-apa daripadanya. Ini kerana penduduk negeri tersebut sedang mengalami kebuluran. Kemudian, Rasulullah SAW melihat seekor kambing di sebelah khemah, lalu baginda bertanya, “Mengapa dengan kambing ini wahai Ummu Ma’bad?”
Ummu Ma’bad menjawab, “Ia tertinggal dari kambing-kambing yang lain kerana ia lemah.” Nabi SAW bertanya lagi, “Adakah ia masih mengeluarkan susu?” Ummu Ma’bad menjawab, “Sebenarnya ia lebih buruk dari itu.” Nabi SAW bertanya lagi, “Apakah kamu mengizinkan aku memerah susunya?” Ummu Ma’bad menjawab, “Tentu saja, demi ayah dan ibuku. Jika menurutmu ia boleh menghasilkan susu, maka perahlah!” Rasulullah SAW kemudian memerintahkan supaya kambing itu dibawa. Baginda kemudian menggosok kantung susu kambing tersebut dengan tangannya sambil menyebut nama Allah dan berdoa untuknya. Kantung susu itu dengan serta merta membengkak dan mengandungi banyak susu.
Rasulullah SAW meminta sebuah bekas untuk air, kemudian baginda memerahnya sehingga susu itu memenuhi bekas tersebut. Baginda memberikannya kepada Ummu Ma’bad, kemudian Ummu Ma’bad meminumnya sehingga dia kenyang. Rasulullah SAW memerah susu sekali lagi sehingga memenuhi bekas air dan meninggalkannya untuk Ummu Ma’bad. Tidak lama selepas itu, suami Ummu Ma’bad datang sambil memimpin kambing-kambing yang kurus dan lemah.
Apabila Abu Ma’bad melihat susu itu, dia berasa hairan dan bertanya, “Wahai Ummu Ma’bad, dari manakah kamu mendapat susu ini? Padahal kambing kita tidak beranak dan tidak ada kambing di rumah yang boleh diperah?” Ummu Ma’bad menjawab, “Demi Allah, ada seseorang yang penuh berkah singgah ke khemah kita. Di antara sifat-sifatnya adalah begini dan begitu.” Abu Ma’bad berkata, “Terangkanlah kepadaku ciri-cirinya, wahai Ummu Ma’bad.”
Ummu Ma’bad lalu memberitahu suaminya secara terperinci tentang rupa dan akhlak Nabi. Mendengar hal itu, Abu Ma’bad berkata, “Demi Allah, dia adalah orang Quraisy yang selalu disebut di Mekah. Sesungguhnya aku bertekad untuk menemaninya dan aku akan melakukannya jika aku mendapat jalan itu.” [Ummu Isra’ binti Arafah, 66 Muslimah Yang Mengukir Sejarah]
Hikmah
Maka, kedatangan Rasulullah SAW yang diberkati menjadi punca meresapnya keimanan dalam hati Ummu Ma’bad dan suaminya. Cinta kepada Rasulullah SAW menusuk ke dalam hati pasangan suami isteri tersebut. Keimanan dan kecintaan Ummu Ma’bad kepada Rasulullah SAW menjadikannya salah seorang sahabiyah yang cerdas dan fasih.
Berikut adalah contoh kisah Ummu Ma’bad yang boleh kita jadikan iktibar. Pertama, kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Maka, Ummu Ma’bad, yang terbiasa memberi makan dan minum kepada setiap orang yang melalui khemahnya, dibalas dengan keberkatan yang tidak terkira. Dia mendapat berkat dari kunjungan Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman, “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan, maka akan mendapat pahala sepuluh kali ganda dari amalnya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, maka akan dibalas dengan kejahatannya. Mereka tidak akan dirugikan sedikitpun (dianiaya).” [TMQ Al An’am (6): 160].
Allah SWT menjanjikan pahala sepuluh kali ganda bagi sesiapa yang beramal. Manakala kejahatan pula dibalas mengikut tahap perbuatannya tanpa pengurangan atau penambahan. Ini menunjukkan betapa besarnya rahmat dan keadilan Allah terhadap hamba-hambaNya.
Kedua, tidak rugi dunia dan akhirat apabila kita mengutamakan Allah dan RasulNya. Kecintaan suami isteri sahabat Rasulullah SAW ini seharusnya menjadi contoh bagi keluarga Muslim. Cintanya kepada Rasulullah SAW membuatkan keberkatan menghampirinya. Allah SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” [TMQ Ali Imran (3): 31].
Cinta kepada Allah dan RasulNya mesti ditunjukkan melalui ketaatan sepenuhnya kepada segala yang diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW. Seorang pendakwah mesti mempunyai kecintaan yang mendalam kepada Allah dan RasulNya. Dia hendaklah memupuk cinta ini melalui ketaatan dan menyuburkannya dengan aktiviti yang dicintai oleh Allah dan RasulNya, termasuk berdakwah untuk menegakkan amar makruf dan melarang kemungkaran serta konsisten menyampaikan kebenaran Islam.
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/05/31/36830/
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat