Pemikiran Kewangan dalam Islam Berbanding dengan Pemikiran Kewangan Kapitalis dan Sosialis (Bahagian 2)
Oleh: Ahmad Al-Amin
Bahagian Satu
Pemikiran Kewangan Konvensional – Teori Negara Neutral atau Night-Watchman (Jerman: Nachtwächterstaat)
Kita mesti membincangkan teori ekonomi konvensional terlebih dahulu sebelum menangani pemikiran kewangan, kerana yang terakhir adalah refleksi daripada yang pertama.
Teori konvensional berdasarkan kepada Laissez-faire: kebebasan mutlak pemilikan, kebebasan pengeluaran, dan kebebasan penggunaan, dengan mekanisme harga berfungsi untuk mencapai keseimbangan antara penawaran dan permintaan [1].
Individu menikmati kebebasan untuk memiliki barangan pengguna dan alat pengeluaran, serta menggunakan pemilikan ini mengikut kehendak mereka. Pemilik modal bebas untuk melaburkan wang mereka dengan apa jua cara yang mereka pilih, untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan, dan menentukan syarat di mana mereka membeli mesin atau bahan yang diperlukan. Kebebasan pengeluaran seiring dengan kebebasan penggunaan. Tiada individu yang dihalang daripada membelanjakan pendapatan mereka sesuka hati, atau daripada memilih jenis barangan untuk dibelanjakan. Individu bersaing antara satu sama lain dalam mengejar keuntungan material, pengeluar bersaing untuk meningkatkan, menambah baik, dan berinovasi dalam pengeluaran serta untuk menawan pasaran, manakala pengguna bersaing untuk memperoleh barangan yang mereka perlukan [2].
Individu mesti bebas untuk bekerja mengikut apa yang ditentukan oleh kepentingan diri mereka, untuk mengejar profesion yang mereka pilih, untuk bergerak ke mana sahaja yang mereka mahu, dan untuk melupuskan harta mereka mengikut kehendak mereka. Negara tidak seharusnya menghalang kegiatan mereka atau membantu mereka. Ini adalah undang-undang semula jadi hak individu, apa yang disebut sebagai Hukum Say (Say’s Law) dan prinsip Adam Smith “laissez-faire, laissez-passer” (“biarkan berlaku, biarkan berlalu”), yang berpendapat bahawa dunia berfungsi dengan sendirinya [3].
Teori konvensional mengandaikan dunia dengan guna tenaga penuh dan bersandar kepada dua tonggak asas:
Tonggak Pertama: Penawaran mencipta permintaannya sendiri, yang bermaksud bahawa setiap penawaran disertai dengan jumlah permintaan yang setara. Setiap barangan yang ditawarkan di pasaran menjana permintaan yang sepadan, dan setiap permintaan yang muncul dalam pasaran menghasilkan penawaran yang perlu untuk memenuhi permintaan itu.
Penawaran adalah sentiasa sama dengan permintaan. Kesamaan ini antara jumlah penawaran dan jumlah permintaan berdasarkan idea bahawa pendapatan yang tidak dibelanjakan untuk barangan pengguna, semestinya dibelanjakan untuk barangan modal, iaitu untuk pelaburan [4]. Dengan kata lain, semua simpanan secara automatik ditukarkan kepada perbelanjaan pelaburan, dan oleh itu tidak boleh menyebabkan kekurangan dalam jumlah permintaan.
Teori ini mengaggap dunia yang dinamik di mana wang tidak memainkan peranan yang autonomi; ia hanya sebagai medium pertukaran. Tahap atau paras harga umum kekal stabil, dan tiada risiko meluas yang terhasil akibat daripada perubahan nilai wang. Oleh itu, tiada kecenderungan untuk penimbunan, dan semua simpanan ditukar menjadi pelaburan [5].
Tonggak Kedua: Teori konvensional menganggap keadaan guna tenaga penuh, di mana penawaran cenderung ke arah pengunaan penuh sumber daya. Pengangguran berlaku apabila penawaran buruh melebihi permintaannya, yang membawa kepada persaingan di kalangan pekerja, yang menyebabkan gaji sebenar berkurangan. Pengurangan gaji ini meningkatkan keuntungan pengeluar, yang seterusnya membawa kepada permintaan yang lebih besar untuk buruh apabila pengeluar bersaing untuk mengambil pekerja.
Oleh itu, aktiviti ekonomi akhirnya menyerap semua pekerja. Menurut teori ini, pengangguran adalah sementara dan sampingan, dan ia akan hilang dengan cepat sebagai hasil daripada pengurangan gaji.
Ringkasan teori ekonomi klasik atau konvensional adalah seperti berikut:
1- Negara tidak boleh campur tangan dalam sektor ekonomi, selagi sektor swasta sahaja mencukupi untuk memacu kemajuan ekonomi, kerana campur tangan negara akan merosakkan keseimbangan ekonomi.
2- Di bawah negara `night-watchman’, peranan negara terhad kepada memastikan keselamatan luar, mengekalkan ketenteraman dalaman, dan melaksanakan projek serta aktiviti yang tidak mahu dilaksanakan oleh sektor swasta.
3- Memastikan fleskibiliti gaji dan harga, termasuk kadar faedah, kerana ia membantu mencapai keseimbangan antara simpanan dan pelaburan dalam masyarakat.
Jika simpanan meningkat, kuasa ekonomi akan menurunkan kadar faedah, yang seterusnya mengurangkan insentif untuk menyimpan, kerana menurut teori klasik, faedah dianggap sebagai komponen simpanan. Begitu juga, memastikan fleksibiliti gaji dengan mengelakkan campur tangan negara atau peraturan konvensional membantu mengurangkan pengangguran, jika ada, dengan menurunkan tahap upah/kadar gaji [8].
Mengenai asas kewangan pemikiran konvensional, dalam bidang perbelanjaan awam:
Dalam pemikiran konvensional, skop kewangan awam terhad kepada tujuan kewangan semata-mata, iaitu memperoleh hasil awam untuk menampung perbelanjaan awam. Perbelanjaan awam ini perlu dibiayai dengan mengagihkan bebannya secara adil di kalangan rakyat [9], yang bermaksud pengorbanan setiap individu harus setara dengan yang diperlukan daripada yang lain.
Pandangan konvensional mentakrifkan beban awam sebagai harga yang dibayar untuk keselamatan yang disediakan oleh negara kepada individu. Perbelanjaan awam diharapkan dikekalkan pada tahap yang minimum, berdasarkan kepercayaan bahawa negara adalah pengurus yang lemah, berbanding individu yang dilihat lebih kompeten dalam menyediakan perkhidmatan dan terlibat dalam pengeluaran.
Pemikiran konvensional mengutamakan perbelanjaan awam melebihi hasil awam, dalam perancangan dan pembentukan belanjawan, bermakna perbelanjaan awam menentukan jumlah hasil yang diperlukan. Prinsip ini lebih mudah dilaksanakan kerana kuasa besar yang dimiliki negara untuk mengutip hasil dan keperluan perbelanjaannya yang terhad, kerana peranannya terbatas kepada keselamatan dalaman dan luaran [10], serta beberapa projek yang tidak mampu atau tidak mahu dilaksanakan oleh individu.
Mengenai Prinsip Keseimbangan Belanjawan
Dalam pemikiran kewangan konvensional, prinsip keseimbangan belanjawan bermaksud menyelaraskan perbelanjaan negara dengan hasil tetapnya. Keseimbangan dicapai dengan memastikan bahawa perbelanjaan sentiasa dan secara berkala sepadan dengan hasil cukai yang diperoleh. Prinsip ini dianggap sebagai matlamat yang mesti dicapai dalam semua keadaan. Ia bertindak sebagai alat pengurusan kewangan yang bijak, sebagai kekangan terhadap pengembangan aktiviti negeri dan pengenaan beban tambahan kepada orang ramai, serta memastikan keseimbangan dan keyakinan berterusan terhadap kewangan negara. Ia juga membantu mengekalkan kestabilan ekonomi dan monetari serta menyokong peningkatan dalam pengeluaran [11].
Mengenai penerbitan wang baru, mencetak wang, pemikiran kewangan konvensional menentang penggunaan penerbitan wang baru, kerana ia membawa kepada inflasi. Ini kerana apabila wang digunakan untuk membiayai perbelanjaan penggunaan, ia menyuntik wang tambahan ke dalam pasaran tanpa peningkatan yang sepadan dalam penawaran barangan dan perkhidmatan, yang akhirnya menyebabkan kenaikan harga inflasi [12].
Atas sebab ini, ahli ekonomi konvensional menentang defisit belanjawan dan pembiayaannya melalui pinjaman atau penerbitan wang baru. Mereka juga menentang, seperti yang dinyatakan sebelum ini, lebihan belanjawan di mana hasil melebihi perbelanjaan kerana ini bermakna mengalihkan wang dari aliran semula jadinya, menahannya, dan menjadikannya tidak aktif. Adalah lebih baik bagi dana sedemikian kekal di tangan individu yang boleh melaburkannya dengan cara yang meningkatkan pengeluaran dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, negara mesti mematuhi prinsip keseimbangan belanjawan dan berusaha mencapainya dengan apa cara sekalipun.
Mengenai Cukai dalam Pemikiran Konvensional
Ahli ekonomi konvensional menekankan bahawa cukai tidak boleh menjejaskan simpanan secara negatif; sebaliknya, cukai harus membantu meningkatkannya. Oleh itu, cukai seharusnya mempunyai kadar yang rendah. Untuk alasan ini, pemikiran konvensional lebih mengutamakan cukai penggunaan (consumption taxes), kerana ia membawa kepada peningkatan dalam simpanan [13].
Jenis cukai yang paling buruk, menurut pandangan ini, adalah cukai yang dikenakan ke atas pendapatan atau modal, kerana percukaian modal membawa kepada penyusutannya secara beransur-ansur. Dalam aliran pemikiran ini, percukaian hanyalah alat kewangan untuk mengagihkan beban kewangan di kalangan individu, tanpa memenuhi sebarang objektif ekonomi atau sosial.
Atas sebab ini, teori ini lebih mengutamakan cukai tidak langsung iaitu cukai pengunaan berbanding cukai langsung, seperti cukai ke atas simpanan [14]. Tujuan percukaian hendaklah semata-mata untuk menjana hasil bagi membiayai perbelanjaan, dan hanya pada tahap yang paling terhad. Cukai tidak boleh mengganggu fungsi automatik pasaran atau mengubah kedudukan kewangan pembayar cukai seperti yang ditentukan oleh kuasa pasaran. Ini dikenali sebagai prinsip kenuetralan cukai [15], yang berkait rapat dengan peranan negara `night-watchman’. Pemikiran konvensional memberikan negara fungsi tertentu, yang mana ia tidak boleh melangkauinya, jika tidak, ia akan dianggap sebagai pelanggaran terhadap kenuetralannya (pengecualiannya), satu campur tangan yang tidak wajar, dan membahayakan kepentingan umum.
Secara ringkasnya, mengenai Teori Konvensional:
Teori kewangan konvensional adalah cerminan daripada teori ekonomi konvensional, sebuah teori yang menafikan peranan negara dalam kehidupan ekonomi masyarakat. Akibatnya, belanjawan awam tidak diberikan sebarang dimensi ekonomi atau sosial, dan objektifnya terhad semata-mata kepada aspek kewangan.
Atas sebab ini, ia mengutamakan perbelanjaan awam berbanding hasil awam, menekankan pengurangan belanjawan awam dan mengekalkan bakinya, mengutamakan cukai ke atas pengunaan berbanding cukai ke atas simpanan, dan menegakkan prinsip keneutralan cukai.
Kapitalisme konvensional menghadapi cabaran besar, kerana dunia kapitalis mengalami pelbagai krisis ekonomi sepanjang abad ke-18, ke-19, dan ke-20. England, sebagai contoh, melalui krisis pada tahun 1788, 1793, 1810, 1819, dan 1825. Krisis yang serupa juga berlaku di Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, dan negara-negara Eropah lain, dan berterusan pada tahun 1857, 1859, 1866, dan 1873.
Namun, cabaran terbesar bagi kapitalisme konvensional adalah krisis kewangan global pada tahun 1929, yang merupakan salah satu akibat dari Perang Dunia I. Ekonomi kapitalis dilanda krisis yang dahsyat yang menggoncang asasnya dan memusnahkan sarana pengeluarannya, yang mengakibatkan pengangguran besar-besaran. Setelah krisis bermula di Amerika Syarikat, ia merebak ke semua negara kapitalis kecuali Rusia dan Jepun. Ini kerana golongan sosialis di Kesatuan Soviet telah mengemudi ekonomi mereka ke arah kestabilan dan pertumbuhan pesat melalui Rancangan Lima Tahun pertama untuk tahun 1928–1932 [16].
Krisis ini menyebabkan penurunan harga yang meluas, kemerosotan aktiviti perniagaan, pengangguran besar-besaran, kebankrapan, dan penurunan nilai mata wang. Ia mempunyai kesan yang mendalam terhadap organisasi pengeluaran dan perdagangan.
Krisis ini begitu teruk dan meluas sehingga ia bukan sekadar fasa sementara akibat daripada pengeluaran berlebihan atau salah satu kejutan kitaran yang mengganggu aktiviti ekonomi setiap tujuh hingga sepuluh tahun. Sebaliknya, ia adalah krisis sistemik—yang menyerang asas dan prinsip sistem kapitalis konvensional itu sendiri [17].
Oleh itu, idea-idea mula beralih kepada keperluan campur tangan negara untuk mencegah kejatuhan sistem kapitalis itu sendiri. Idea-idea ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap arah dasar fiskal dan ekonomi, yang membawa kepada peningkatan campur tangan kerajaan. Akibatnya, peranan ekonomi dan sosial kewangan awam menjadi kukuh.
Sebagai akibat daripada krisis global ini, suara-suara yang menuntut supaya negara campur tangan untuk menangani kesan bencana dan menyelamatkan sistem kapitalis dari kejatuhan total semakin lantang. Salah satu alasan utama yang mendorong negara untuk terlibat dalam proses pengeluaran adalah kecenderungan ekonomi ke arah ketidakstabilan apabila dibiarkan tanpa kawalan. Persaingan bebas tidak dapat berfungsi secara automatik tanpa peraturan [18].
Selain itu, undang-undang teori aliran konvensional tidak membawa kepada pengagihan hasil dan kekayaan yang adil. Model pertumbuhan kapitalis menghasilkan jurang sosial yang teruk.
Saiz perbelanjaan awam yang semakin meningkat, dan perubahan dalam sifatnya, juga membawa kepada keperluan untuk mencari sumber kewangan tambahan. Peperangan adalah faktor utama di sebalik peningkatan dalam perbelanjaan, yang disertai dengan peningkatan dalam cukai dan pinjaman. Kos peperangan, dan keperluan untuk membiayainya, mendedahkan potensi besar cukai progresif ke atas pendapatan dan warisan. Ini membuka jalan bagi penggunaan cukai dan pinjaman untuk mencapai objektif sosial [19].
Teori konvensional gagal menangani krisis ini dan terbukti tidak mampu memberikan penyelesaian terhadap kegawatan ekonomi yang dihadapi oleh sistem kapitalis pada dekad kedua abad lalu. Akibatnya, teori baru muncul pada tahun 1930-an: Teori Keynesian, yang menekankan keperluan campur tangan negara dalam kehidupan ekonomi, pengembangan peranannya, dan berakhirnya keneutralannya. Ini menandakan bermulanya fasa baru iaitu era pemikiran kewangan moden atau teori negara campur tangan, yang akan dibincangkan dalam bahagian kedua bab ini.
Sumber terjemahan:
Majalah Al-Waie Isu No. 467
hizb-uttahrir.info
#SistemEkonomi #SistemKewangan #EkonomiKapitalisme #EkonomiSosialisme #Kapitalisme #Sosialisme