Bagaimana Islam Masuk ke Sudan?
Sebelum kedatangan Islam, wilayah yang kini dikenali sebagai Sudan bukanlah sebuah entiti politik, budaya atau agama yang bersatu. Ia didiami oleh pelbagai kumpulan etnik, adat resam dan kepercayaan. Di utara, orang Nubia mengamalkan Kristian Ortodoks, dan bahasa Nubia dengan pelbagai dialeknya menjadi perantara politik, budaya dan komunikasi. Di timur pula, suku Beja, keturunan Ham (anak Nabi Nuh) – mempunyai bahasa, budaya dan amalan agama tersendiri. Di selatan, suku Zanj dengan ciri dan bahasa mereka yang unik berpegang kepada kepercayaan pagan, manakala kepelbagaian yang sama juga wujud di bahagian barat (1).
Kepelbagaian etnik dan budaya ini menjadi ciri utama penduduk Sudan pra-Islam, dibentuk oleh kedudukannya yang strategik di timur laut Afrika. Sudan berfungsi sebagai pintu masuk ke Tanduk Afrika serta jambatan antara dunia Arab, Afrika Utara dan Afrika sub-Sahara. Pelabuhan pentingnya di Laut Merah, sebagai laluan perdagangan global, turut memperkukuh peranan Sudan dalam pertukaran tamadun, budaya, politik dan ekonomi sepanjang sejarah.
Hubungan awal Islam dengan Sudan bermula melalui penghijrahan para sahabat Nabi Muhammad SAW ke Habsyah (Al-Habasha) pada bulan Rejab, tahun kelima kenabian / tahun kedua dakwah Islam secara terbuka. Walaupun tujuan utama penghijrahan itu ialah mencari perlindungan daripada penindasan Quraisy di Mekah, ia menandakan kehadiran awal Islam di Afrika termasuk Sudan. Pada tahun ke-6 Hijrah, Nabi Muhammad SAW mengutus surat melalui utusannya, Amr ibn Umayyah, kepada Raja Najashi, mengajaknya memeluk Islam. Raja Najashi memberi respon positif (2).
Namun, dengan penaklukan Mesir oleh Amr ibn al-As di bawah pemerintahan khalifah Umar ibn al-Khattab pada tahun 20H/641M, orang Nubia berasa terancam apabila negara Islam mula mengukuhkan kuasa politik dan pentadbiran di Lembah Nil utara, khususnya Mesir Hulu yang secara strategik dan geografi dikaitkan dengan 9kerajaan Nubia di Sudan. Sebagai tindak balas, kerajaan Nubia melancarkan serangan awal ke atas Mesir Hulu. Umar ibn al-Khattab kemudian memerintahkan Amr ibn al-As menghantar ekspedisi tentera ke Nubia bagi melindungi sempadan Mesir, mengamankan laluan perdagangan, menghapuskan pengaruh Byzantine serta menyampaikan risalah Islam.
Pada tahun 21H, Amr menghantar pasukan yang diketuai Uqba ibn Nafi al-Fihri. Tetapi, pasukan Muslim terpaksa berundur akibat tentangan hebat orang Nubia yang terkenal sebagai pemanah tepat sehingga digelar “Pemanah Anak Mata” (Rumat al-Hadaq).
Pada tahun 26H/647M, Abdullah ibn Abi Sarh dilantik sebagai gabenor Mesir pada zaman Khalifah Uthman ibn Affan. Beliau melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran ke atas Nubia, pasukannya mara hingga ke Dongola, ibu kota kerajaan Kristian Nubia, pada tahun 31H/652M.
Sebelum kedatangan Islam, Nubia terbahagi kepada tiga kerajaan: Nuba (Nobatia), Muqurra, dan Alawa (dari Aswan hingga Khartoum kini). Selepas itu, kerajaan Nuba dan Muqurra bergabung (570M–652M) dan dikenali sebagai Kerajaan Nuba dengan berpusat di Dongola.
Selepas pengepungan sengit, orang Nubia memohon perdamaian, lalu Abdullah pun bersetuju (3). Satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Baqt dimeterai, dan sebuah masjid dibina di Dongola. Ulama berbeza pandangan tentang maksud Baqt. Sebahagiannya ada yang mengaitkannya dengan perkataan Latin Pactum yang bermaksud persetujuan atau perjanjian. Sejarawan dan penulis melihat perjanjian ini bukan seperti perjanjian damai lain yang mengenakan jizyah kepada mereka yang didamaikan, tetapi sebaliknya lebih kepada perjanjian atau gencatan senjata antara kaum Muslim dan orang Nubia.
Perjanjian itu walaubagaimanapun, memberikan jaminan keselamatan kepada Nubia, yang menetapkan bahawa orang Islam tidak akan menyerang mereka; orang Nubia boleh melalui wilayah Muslim sebagai pengembara tetapi tidak menetap; mereka wajib melindungi mana-mana orang Islam atau sekutu yang memasuki wilayah mereka; menyelenggara masjid yang dibina di Dongola; serta menghantar 360 orang hamba setiap tahun. Sebagai balasan, orang Islam membekalkan mereka dengan bijirin dan pakaian (kerana raja Nubia mengadu tentang kekurangan makanan), namun tidak berkewajipan mempertahankan mereka daripada musuh. Perjanjian ini mengamankan sempadan Muslim, memudahkan perdagangan lintas sempadan, dan membenarkan kekuatan Nubia untuk berkhidmat kepada negara Islam. Dari masa ke semasa, idea-idea tersebar melalui perdagangan, dan para pedagang serta pendakwah memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam secara aman, terutamanya melalui teladan akhlak yang baik. Oleh itu, kafilah perdagangan membawa bersama mereka ideologi, Bahasa, tamadun dan cara hidup serta barang dagangan.
Bahasa Arab juga mula mendapat tempat dalam kehidupan seharian, khususnya di Sudan utara. Perjanjian Baqt mengekalkan hubungan antara Muslim dan Nubia Kristian selama enam abad (5). Sepanjang tempoh itu, Islam menyebar secara beransur-ansur ke utara dan timur Sudan bermula abad ke-7 Masihi melalui pedagang Muslim dan penghijrahan orang-orang Arab.
Penghijrahan Arab secara besar-besaran dinilai berdasarkan tiga laluan: Yang pertama dari Mesir, yang kedua dari Hejaz melalui pelabuhan seperti Badaa, Aydhab dan Suakin, dan yang ketiga dari Maghribi dan Afrika Utara merentasi tengah Sudan. Walau bagaimanapun, Kesan penghijrahan awal ini Adalah terhad berbanding dengan penghijrahan Arab berskala besar dari Mesir ke Selatan yang bermula pada abad ke-9 Masihi. Pada masa itu, titik perubahan berlaku ketika pemerintahan khalifah Abbasiyah al-Mu’tasim (218–227H/833–842M). Apabila beliau lebih mengutamakan tentera Turki dan meminggirkan tentera Arab, ia mendorong gelombang migrasi Arab ke Sudan. Kemasukan ini mempercepatkan proses Arabisasi wilayah Beja, Nubia, dan Sudan tengah. Maka, semasa abad ke-3 Hijrah/abad ke-9 Masihi, menyaksikan penghijrahan Arab secara besar-besaran ke Sudan dan kemudian menembusi dataran yang luas di Selatan dan timur (6). Menetap di kawasan-kawasan ini membantu dalam menghubungkan dan mempengaruhi penduduk wilayah itu untuk menerima Islam dan menganut ajarannya. Menjelang abad ke-12 M, selepas tentera Salib menakluki Palestin, laluan Sinai berubah menjadi berbahaya untuk jemaah haji Mesir dan Maghribi. Mereka beralih ke pelabuhan Aydhab ( juga dikenali sebagai “Pelabuhan Emas”), yang kemudiannya menjadi pusat penting jemaah haji serta perdagangan dengan Yaman dan India (7).
3
Pada tahun 1272M, Raja Nubia, David, melanggar perjanjian dengan menyerang Aswan, kaum Muslim di bawah Sultan al-Zahir Baybars terpaksa bertindak balas. Perjanjian baru pun ditandatangani pada 1276M. Akhirnya, pada 1317M, Sultan al-Nasir Muhammad ibn Qalawun menakluk Dongola selepas Abdullah, anak saudara Raja David, memeluk Islam pada 1316M. Peristiwa ini mempercepatkan penyebaran Islam di Nubia.
Kerajaan Kristian Alwa seterusnya tumbang pada 1504M setelah Pakatan antara suku Arab Abdallab dan suku Funj menubuhkan Kesultanan Islam Funj, juga dikenali sebagai Kesultanan Biru atau Kesultanan Sennar. Inilah negara Arab-Islam pertama di Sudan selepas penyebaran Islam dan Arab di wilayah tersebut (9).
Apabila pengaruh Arab-Islam semakin berkembang, keluarga pemerintah di Nubia, Alwa, Sennar, Taqali dan Darfur akhirnya memeluk Islam setelah sebelumnya beragama Kristian atau pagan. Pengislaman golongan kelas pemerintah ini membawa revolusi multidimensi dalam sejarah Sudan. Ia melahirkan keluarga pemerintah Muslim, dan dengan mereka, model kerajaan Islam Sudan awal telah ditubuhkan, yang berperanan besar dalam memperkasakan agama ini dan menyebarkan syiar Islam, serta membina asas tamadun Islam di bumi Sudan.
Sebahagian pemerintah Muslim ini tampil sebagai pendokong Islam, mempromosikan keadilan, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sehingga dengan itu, Islam tersebar dengan luas dan kuat, walaupun menghadapi tekanan daripada mubaligh Kristian dan pagan. Karavan perdagangan dan para ulama memainkan peranan utama dalam proses ini. Penyebaran Islam secara aman melalui pujukan, hujah, dan layanan yang baik menjadi ciri utama sejarah Islam di Sudan.
Seperti yang dinyatakan oleh sarjana Abu al-Abbas Ahmad Baba al-Timbukti:
“Penduduk Sudan memeluk Islam secara sukarela tanpa ada sesiapa pun yang menawan mereka, seperti halnya penduduk Kano dan Borno. Kami tidak pernah mendengar ada sesiapa yang dipaksa sebelum mereka memeluk Islam.” (11)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
oleh Eng. Dorra Baccouche
Rujukan:**///
(1) The Entry of Islam into Sudan and Its Impact on Correcting Beliefs, Dr. Salah Ibrahim Issa
(2) Tanzir al-Ghubash fi Fadl Ahl al-Sudan wa-l-Habash, Ibn al-Jawzi
(3) Futuh al-Buldan, al-Baladhuri
(5) Islam in Sudan, J. Spencer Trimingham
(6) The Spread of Islam in Sub-Saharan Africa, Yusuf Fadl Hasan
(7) Sudan Through the Ages, Dr. Maki Shubayka
(8) Sudan, Mahmud Shakir
#Sudan #SudanCrisis #KrisisSudan #SejarahSudan89