Teladan Rasulullah SAW sebagai Seorang Suami
Penulis: Najmah Saiidah
Kini kita telah memasuki bulan Rabiulawal, yang sering juga dikenali sebagai bulan Maulid, bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Lelaki yang dipilih oleh Allah SWT untuk menyampaikan risalah Islam kepada seluruh umat manusia.
Hal ini merupakan tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita, umat manusia, iaitu dengan diutusnya Rasul di tengah-tengah manusia. Inilah nikmat paling besar yang Allah SWT kurniakan kepada manusia, diutusnya seorang Rasul sebagai penerang bagi mereka yang tersalah jalan dan sebagai petunjuk bagi mereka yang berada dalam kesesatan.
Seterusnya, perkara yang paling utama dan berharga yang dipersembahkan oleh Rasulullah SAW kepada manusia selepas menunjukkan jalan hidayah Allah SWT ialah baginda menjadi teladan terbaik (uswatun hasanah) bagi umatnya dalam meniti jalan menuju Allah SWT, supaya orang yang beriman dapat mencontohi segala perkara yang dibawa oleh Rasulullah. Ini sebagaimana yang disampaikan oleh Allah dalam firmanNya dalam TMQ al-Ahzab, ayat 21.
Selain itu, Allah memerintahkan kita untuk mengamalkan apa yang dibawa oleh Rasulullah, sebagaimana firmanNya:
وَمَآ اٰتٰىكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَا نَهٰىكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْاۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِۘالْعِقَا
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” [TMQ Al-Hasyr (59): 7]
Apabila memasuki bulan Rabiulawal, kita biasanya akan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi, dengan harapan agar kita kelak mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW pada yaumil akhir. Selain itu, perkara yang tidak kurang penting ialah mengambil hikmah daripada peristiwa ini, iaitu mencintai Rasulullah dengan sepenuh hati dan sentiasa mencontohi baginda tanpa sebarang alasan atau penangguhan dalam setiap aspek kehidupan. Sudah tentu, ini merujuk kepada perkara yang tidak termasuk dalam kekhususan bagi baginda. Bermula daripada aktiviti yang paling sederhana sehinggalah kepada penubuhan negara Islam, semuanya telah dicontohkan oleh Rasulullah kepada kita.
Bermula daripada petunjuk Nabi tentang cara baginda makan, minum, berpakaian, berhias, tidur atau berjaga, ketika bermukim atau dalam perjalanan, saat tertawa atau menangis, dalam kesungguhan mahupun gurauan, dalam suasana ibadah ataupun pergaulan sosial, dalam urusan agama mahupun dunia, hinggalah kepada petunjuk semasa keadaan aman atau ketika berperang, termasuk juga cara berdakwah dan berjihad melawan musuh.
Turut termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan keluarga, iaitu cara baginda berinteraksi dengan kaum kerabat, orang yang jauh, kanak-kanak, sehinggalah kepada muamalah dengan isteri-isteri baginda. Kesemuanya telah direkodkan dan tercatat dalam hadis-hadis Rasulullah serta dalam sirah Rasulullah SAW.
Pada kesempatan ini, kita akan membincangkan tentang kehidupan berkeluarga Rasulullah SAW, khususnya muamalah baginda sebagai seorang suami, iaitu bagaimana baginda berinteraksi dengan isteri-isterinya, penjagaan baginda terhadap mereka, serta pelaksanaan tanggungjawab baginda dalam menunaikan hak-hak mereka, antaranya ialah:
- Rasulullah SAW seorang yang penyayang dan sentiasa berlapang dada
Isteri-isteri Rasulullah SAW pernah memberikan pandangan kepada baginda tentang sesuatu perkara, dan sering kali baginda menerimanya dengan baik serta melayani mereka dengan penuh kelembutan. Baginda tidak pernah berlaku kasar apatah lagi memukul salah seorang daripada mereka walau sekali pun. Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum kedatangan Islam, kerana pada waktu itu perempuan tidak mempunyai hak untuk bertanya, berdiskusi, atau memberi pandangan, apatah lagi untuk menuntut sesuatu.
Namun begitu, setelah risalah Islam dibawa oleh Rasulullah SAW, kaum wanita diberikan layanan yang sangat baik. Umar RA pernah berkata, “Saya marah kepada isteriku apabila dia membantah pendapatku. Saya tidak dapat menerima apabila dia cuba membetulkan pandanganku. Maka dia berkata, ‘Mengapa kamu tidak boleh menerima pandanganku? Demi Allah, isteri-isteri Rasulullah juga memberi pandangan kepada baginda, malah ada antara mereka yang merajuk dan tidak menyapa baginda selama sehari semalam.’”
Umar berkata, “Saya segera pergi ke rumah Hafsah dan bertanya, ‘Adakah kamu pernah memberi pandangan kepada Rasulullah SAW?’ Hafsah menjawab, ‘Ya’.”
Umar bertanya lagi, “Adakah sesiapa di antara kamu pernah merajuk dan tidak menegur Rasulullah selama sehari semalam?” Hafsah menjawab, “Ya.” Maka Umar berkata, “Sungguh rugilah sesiapa yang melakukan perkara demikian dalam kalangan kamu.”.
- Muhammad SAW bersikap adil terhadap isteri-isterinya.
Nabi Muhammad SAW sangat menitikberatkan keadilan terhadap isteri-isterinya dalam setiap perkara. Baginda berlaku adil dalam hal tempat tinggal, nafkah, giliran bermalam, dan jadual kunjungan. Setiap kali baginda mengunjungi salah satu rumah isterinya, baginda akan memastikan untuk turut mengunjungi rumah-rumah isteri yang lain.
Namun begitu, dari segi cinta, baginda memang lebih mencintai Aisyah berbanding isteri-isterinya yang lain, dan perkara ini adalah sesuatu yang sangat manusiawi. Walaupun begitu, baginda tidak pernah memperlakukan Aisyah secara berbeza daripada isteri-isterinya yang lain. Malah, baginda beristighfar kepada Allah SWT kerana tidak mampu berlaku adil dalam membahagikan rasa cinta atau perasaan hati, kerana perkara ini merupakan hak prerogatif Allah SWT semata-mata.
Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah, inilah pembahagian yang aku mampu lakukan, maka janganlah Engkau mencelaku atas perkara yang aku tidak boleh kawal.”
Ketika baginda berada dalam keadaan sakit yang akhirnya membawa kepada kewafatannya, baginda memohon keizinan daripada isteri-isterinya yang lain agar dibenarkan untuk tinggal di rumah Aisyah, dan permintaan itu telah dipersetujui oleh mereka. Selain itu, apabila baginda melakukan perjalanan atau menyertai peperangan, baginda akan membuat undian dalam kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang namanya terpilih dalam undian tersebut, dialah yang akan menyertai Rasulullah SAW dalam perjalanan tersebut
- Muhammad SAW sentiasa bermesyuarat dengan isteri-isterinya.
Rasulullah SAW sering mengajak isteri-isterinya bermesyuarat dalam pelbagai urusan. Baginda sangat menghargai pandangan-pandangan mereka. Padahal, wanita pada zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam diperlakukan seperti barang dagangan semata-mata. Mereka dijual dan dibeli, dan pandangan mereka langsung tidak dihiraukan, walaupun berkaitan dengan perkara yang melibatkan diri mereka secara langsung dan khusus.
Islam datang mengangkat martabat wanita, bahawa mereka setaraf dengan lelaki, kecuali dalam hal qawamah atau kepimpinan keluarga yang diletakkan di tangan lelaki. Allah SWT berfirman:, “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [TMQ al-Baqarah (2):228]
Salah satu contoh yang menunjukkan pentingnya pendapat wanita ialah pandangan Ummu Salamah RA dalam peristiwa Hudaibiyah yang membawa keberkatan dan keselamatan bagi umat Islam. Ummu Salamah mencadangkan agar Nabi keluar menemui para sahabat tanpa berkata apa-apa, dan terus menyembelih seekor kambing biri-biri serta mencukur rambut baginda.
Apabila Nabi melaksanakan cadangan tersebut, para sahabat serta-merta mengikuti tindakan baginda. Sedangkan, sebelum itu mereka enggan melaksanakan arahan Rasulullah kerana merasakan seolah-olah telah kalah dalam peristiwa tersebut. Mereka melihat bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh kaum kafir Quraisy tidak memberi keuntungan kepada kaum Muslimin.
- Rasulullah SAW tidak pernah teragak-agak untuk menasihati isterinya.
Rasulullah SAW tidak pernah memandang remeh pelanggaran hukum syarak atau kesalahan yang dilakukan oleh isteri atau ahli keluarganya. Baginda pasti akan membetulkannya dengan cara yang baik.
Diriwayatkan daripada Aisyah, “Saya tidak pernah melihat seseorang yang lebih mahir dalam memasak selain Shafiyah. Dia menyediakan hidangan untuk Rasulullah SAW di rumahku. Ketika itu, saya cemburu lalu membaling pinggan bersama isinya. Saya menyesal, lalu berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Apakah kafarat (tebusan) atas perbuatan saya ini?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Pinggan diganti dengan pinggan, dan makanan diganti dengan makanan.’”.
Rasulullah SAW juga merupakan pendengar yang baik. Baginda memberi ruang kepada isteri-isterinya untuk berbicara. Namun begitu, baginda tidak bertolak ansur terhadap kesalahan, walaupun sekecil mana sekalipun. Aisyah berkata kepada Nabi selepas kewafatan Khadijah RA, “Kenapa kamu selalu mengingati seorang janda tua, sedangkan Allah telah menggantikanmu dengan yang lebih baik.” Maka Rasulullah SAW menjadi marah, lalu berkata, “Demi Allah, Allah tidak pernah menggantikan aku dengan yang lebih baik daripadanya. Dia beriman kepadaku ketika manusia mendustakanku. Dia membantuku ketika manusia memusuhiku. Aku dikurniakan anak daripadanya, yang tidak aku peroleh daripada selainnya.”
- Muhammad SAW melayani keluarganya.
Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tugas atau khidmat ketika berada di dalam rumah. Baginda sentiasa ringan tulang membantu isteri-isterinya apabila keadaan memerlukan. Rasulullah SAW bersabda, “Khidmatmu kepada isterimu adalah satu bentuk sedekah.”
Rasulullah SAW pernah membasuh pakaian, membersihkan selipar, dan melakukan kerja-kerja lain yang diperlukan oleh ahli keluarganya. Sebagaimana disebut dalam sebuah hadis, Urwah pernah bertanya kepada Aisyah, “Wahai Ummul Mukminin, apakah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW apabila baginda bersamamu (di rumah)?” Aisyah menjawab, “Baginda melakukan apa yang biasa dilakukan oleh salah seorang daripada kalian apabila membantu isterinya. Baginda membaiki seliparnya, menjahit pakaiannya, dan mengangkat air dengan baldi.” [HR Ibnu Hibban]
- Muhammad SAW sentiasa berhias untuk isteri-isterinya.
Rasulullah SAW sangat memahami keperluan seorang wanita untuk berhias di hadapan suaminya, begitu juga dengan seorang lelaki yang perlu berhias untuk isterinya. Rasulullah SAW merupakan insan yang paling tampan dan paling kemas dalam kalangan manusia. Baginda juga menyuruh para sahabat agar berhias untuk isteri-isteri mereka serta menjaga kebersihan dan penampilan diri.
Rasulullah SAW bersabda, “Cucilah pakaian kalian. Sikatlah rambut kalian. Kemaslah diri kalian, berhiaslah dan bersihkanlah tubuh kalian. Ini kerana Bani Israil meninggalkan hal tersebut sehingga wanita-wanita mereka melakukan zina.”
Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh bahawa baginda juga suka berhias untuk isteri-isterinya, termasuk mengenakan wangian pada pakaiannya. Baginda bersabda, “Ditanamkan dua kecintaan padaku dari perkara dunia, (iaitu) wanita dan wangi-wangian.”
- Muhammad SAW kerap bersenda gurau dengan isteri-isterinya.
Rasulullah SAW sentiasa menyapa isteri-isterinya dengan sapaan yang mesra dan penuh kasih sayang. Baginda menyapa Khadijah dengan panggilan “Ya habibi (wahai kekasihku)”. Begitu juga dengan Aisyah yang dipanggil dengan “Ya humaira‘ (wahai perempuan yang pipinya kemerahan)”.
Rasulullah berpesan kepada para suami agar tetap bersabar menghadapi sifat-sifat para isteri yang kurang disukai. “Janganlah marah (lelaki Muslim/suami) kepada seorang wanita Muslimah (isteri). Jika dia tidak menyukai satu sifat daripadanya, maka dia pasti akan menyukai sifat yang lain.” Banyak riwayat menggambarkan bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan baik terhadap keluarganya ,bergurau, berbicara dengan lemah lembut, dan memberi ketenangan dalam hubungan kekeluargaan.
Rasulullah SAW sering berbual-bual seketika dengan ahli keluarganya selepas solat Isyak sebelum tidur, dan perbualan itu sentiasa menyenangkan hati. Aisyah pernah meriwayatkan,“ Kami pernah keluar bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Kami berhenti di suatu tempat. Baginda memanggilku dan berkata, ‘Mari berlumba lari.’ Maka kami pun berlumba, dan aku memenanginya Dalam perjalanan yang lain, Rasulullah sekali lagi mengajak berlumba. Aisyah berkata: “Kali ini baginda mengalahkanku, lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Kemenangan ini untuk membalas kekalahan yang lalu..’”
Penutup
Demikianlah gambaran bagaimana seorang insan terpilih menjalankan peranan sebagai seorang suami. Sebagai seorang nabi, ketua negara, dan ketua keluarga, baginda tetap penuh dengan cinta dan kasih sayang, serta mampu memberikan ketenangan dan ketenteraman kepada isteri-isterinya.
Rasulullah SAW tidak pernah bersikap autoritarian terhadap isteri-isterinya, sebaliknya memperlakukan mereka dengan cara yang makruf. Semua ini menjadi contoh teladan yang terbaik untuk para suami. Semoga Allah SWT mempermudahkan usaha para suami untuk sentiasa meneladani Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam peranannya sebagai ketua keluarga, sebagai bukti kecintaan kepada Allah dan RasulNya. Amin. Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat