[Mafahim Islamiyyah] Piawaian Syarak (Bahagian 3/3)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Halal dan Haram
Sesungguhnya lafaz al-khairu dan asy-syaru, al-hasanu dan al-qabīḥu adalah lafaz-lafaz bahasa Arab. Orang-orang Arab telah membuatnya untuk menunjukkan makna-makna tertentu. Kemudian Syarik (Allah SWT) telah menggunakan lafaz-lafaz tersebut di dalam al-Quran al-Karim dan sunnah Nabi untuk menunjukkan makna secara bahasa sebagaimana yang telah ditetapkan oleh orang Arab dalam keadaan tertentu, serta untuk menunjukkan makna syarak dalam keadaan yang lain.
Apabila lafaz-lafaz tersebut diucapkan tanpa sebarang petunjuk (qarīnah) yang khusus, maka lafaz itu hanya merujuk kepada makna syarie (menurut syarak). Namun, apabila lafaz-lafaz tersebut dikehendaki untuk membawa makna lughawiyah (bahasa), maka ia memerlukan kepada petunjuk yang tertentu.
Adapun al-halalu dan al-haramu adalah dua lafaz yang telah dipindahkan daripada makna lughawi wadh’iy kepada makna syarie sehingga makna lughawi tidak lagi digunakan. Kedua-duanya merupakan haqiqah lughawiyah syar’iyah; di mana sahaja ia digunakan dalam al-Quran dan sunnah, sama ada dalam bentuk isim atau fi’il.
Allah SWT berfirman, “Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”
Rasulullah SAW bersabda, “Al-halal adalah sesuatu yang telah dihalalkan Allah dalam kitab-Nya, dan al-haram adalah sesuatu yang telah diharamkan Allah dalam kitab-Nya.
Nabi juga bersabda, “Halal itu jelas dan haram juga jelas.”
Oleh itu, halal adalah sesuatu yang dibolehkan oleh Allah SWT dan tidak dikenakan sebarang hukuman ke atas orang yang melakukannya. Manakala haram adalah sesuatu yang telah diperingatkan oleh Allah, serta ditetapkan hukuman di dunia atau di akhirat bagi orang yang melakukannya.
Halal itu merangkumi perkara yang wajib, sunat, mubah dan makruh. Manakala haram hanya merangkumi perkara yang benar-benar haram. Hukum-hukum taklifi dalam Islam tidak terkeluar daripada lima kategori hukum tersebut. Adapun hukum-hukum waḍh’ī yang berkaitan dengan hukum-hukum taklif juga terdiri daripada lima bentuk hukum, iaitu: sabab, syarat, mani’, rukhsah dan ‘azimah, shihhah, buthan dan fasad.
Ukuran (miqyās) halal dan haram itu mencakupi semua hukum taklif dan waḍh’ī, iaitu ukuran syarie bagi setiap perkara dan perbuatan yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupannya di dunia.
Dengan meneliti dalil-dalil syarak yang berhubungan dengan sesuatu benda, telah ditetapkan bahawa hukum asal bagi segala sesuatu adalah mubah selagi tidak terdapat dalil yang mengharamkannya. Manakala hukum asal bagi semua perbuatan pula adalah terikat dengan hukum syarak.
Maka, di dalam alam semesta ini tidak ada sesuatu benda atau aktiviti melainkan Allah telah menurunkan hukum syarak dalam Islam yang berkaitan dengannya, sama ada hukum halal ataupun haram. Jika umat Islam tidak menemukan hukum berkenaan sesuatu benda atau aktiviti, maka hal itu hanyalah disebabkan pengabaian dalam berijtihad untuk mengeluarkan hukum, dan bukannya kerana terdapat kekurangan pada dalil-dalil syarak.
Allah SWT benar-benar telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa Islam mencakupi segala hukum yang diperlukan oleh manusia sehingga Hari Kiamat. Allah SWT berfirman, “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [TMQ Al-Maidah (5): 3]
Juga firman-Nya, “Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk.” [TMQ An-Nahl (16): 89]
Oleh yang demikian, haram bagi seorang Muslim untuk menetapkan sesuatu perkara atau aktiviti sebagai halal atau haram tanpa adanya dalil syarak. Allah SWT berfirman, “Dan janganlah kalian mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah/lisan kalian secara dusta, ‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.” [TMQ An-Nahl (16): 116]
Perbezaan Piawaian
Terdapat perbezaan antara menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai baik atau buruk, dengan menyifatkannya sebagai terpuji atau tercela. Menyifatkan perbuatan sebagai baik atau buruk bergantung kepada kesan perbuatan tersebut, sama ada dari sudut melaksanakannya atau meninggalkannya. Maka, hukum asal bagi seorang Muslim adalah melaksanakan apa jua perbuatan dan menyifatkannya sebagai baik apabila perbuatan itu diredhai oleh Allah Taala. Sebaliknya, seorang Muslim meninggalkan sesuatu perbuatan dan menyifatkannya sebagai buruk apabila perbuatan itu mendatangkan kemurkaan Allah.
Sesungguhnya Allah redha terhadap orang-orang yang mengerjakan kebaikan yang telah diperintahkan-Nya serta menjanjikan syurga bagi mereka. Sebaliknya, Allah murka terhadap orang-orang yang melakukan keburukan yang telah dilarang-Nya, dan mengancam mereka dengan azab neraka.
Adapun menghukum suatu perbuatan sebagai terpuji atau tercela, maka seorang Muslim menyifatkan sesuatu perbuatan itu terpuji apabila syarak memuji perbuatan tersebut atau menetapkan ganjaran pahala ke atasnya. Sebaliknya, perbuatan itu disifatkan sebagai tercela apabila syarak benar-benar mencelanya atau menetapkan hukuman seksa ke atasnya. Hal ini berlaku tanpa mengira sama ada manusia melakukannya atau tidak; sesuatu perbuatan tetap dianggap terpuji atau tercela.
Piawaian halal dan haram mempunyai banyak perincian. Ia merangkumi lima hukum syarak serta lima hukum wadh’i yang berkaitan dengan hukum-hukum syarak. Para ulama fikh menjelaskan piawaian tersebut dengan ungkapan, “Hukum syarak adalah seruan syarie (daripada Allah sebagai pembuat hukum) yang berkaitan dengan perbuatan para hamba. Seruan itu terkadang berupa tuntutan (iqtidha), pilihan (takhyir), atau penetapan (wadh’i).”
Makna iqtidha adalah tuntutan. Apabila tuntutan itu bersifat pasti untuk melaksanakan sesuatu perbuatan, maka dinamakan wajib. Jika tuntutannya tidak bersifat pasti, maka dinamakan sunat. Apabila tuntutan itu bersifat pasti untuk meninggalkan sesuatu perbuatan, maka dinamakan haram. Jika tuntutannya tidak bersifat pasti, maka dinamakan makruh. Adapun apabila diperintahkan untuk memilih antara melakukan atau meninggalkan sesuatu perbuatan, maka dinamakan mubah. Sementara itu, pembuatan (wadh’u) adalah menjadikan sesuatu sebagai sebab, syarat, mani’, rukhsah dan ‘azimah, atau shihhah, buthan dan fasad.
Mengetahui hukum syarak adalah wajib bagi setiap Muslim sebelum melakukan sesuatu perbuatan. Hal ini kerana hukum asal bagi perbuatan adalah terikat dengan hukum syarak. Perlu diingat, menyifatkan sesuatu amal perbuatan sebagai baik atau buruk, terpuji atau tercela, halal atau haram dari sudut pahala dan dosa adalah hak syarak yang telah diturunkan oleh Allah SWT, bukan hak akal fikiran atau undang-undang ciptaan manusia.
Demikian juga, menyifatkan sesuatu perkara sebagai terpuji atau tercela, halal atau haram dari sudut pahala dan dosa, adalah hak syarak. Jika diteliti, menyifatkan sesuatu sebagai terpuji atau tercela, halal atau haram adalah lebih umum daripada menyifatkannya sebagai baik atau buruk. Ini kerana standard baik dan buruk hanya terpakai pada perbuatan, manakala dua standard sebelumnya (terpuji/tercela dan halal/haram) meliputi bukan sahaja perbuatan, bahkan juga benda.
Sumber: Mafahim Islamiyyah
#MafahimIslamiyyah #HukumPerbuatan #HukumSyarak #Halal #Haram