[Siri Buku Nizhamul Ijtimaie]
PENGATURAN HUBUNGAN LELAKI DAN WANITA
3.1 Bahagian 1
Dalam kehidupan manusia, hubungan antara lelaki dan wanita adalah keperluan asas bagi kelangsungan masyarakat. Hubungan ini perlu diatur sempurna agar tidak menimbulkan konflik atau penyimpangan. Islam menyediakan sistem yang sempurna untuk mengatur interaksi antara lelaki dan wanita berlandaskan hukum syarak. Sistem ini bukan sahaja menjaga kemuliaan akhlak tetapi juga memastikan keseimbangan antara keperluan duniawi dan spiritual.
Pertama, Islam mengakui bahawa naluri seksual adalah fitrah semula jadi manusia yang wujud dalam diri lelaki dan wanita. Wanita boleh merangsang naluri seksual lelaki dan begitu juga sebaliknya. Namun, Islam menegaskan bahawa naluri ini tidak semestinya muncul dalam setiap interaksi contohnya jual beli atau rawatan perubatan. Namun potensi untuk rangsangan tetap ada walaupun tidak secara langsung. Justeru, Islam menekankan pentingnya menjaga pandangan dan tingkah laku agar tidak terjerumus dalam perkara yang tidak diingini.
Kedua, Islam menetapkan tujuan utama naluri seksual adalah untuk melestarikan keturunan, bukan semata tempat memuaskan nafsu. Berbeza dengan pandangan sesetengah budaya yang mengganggap hubungan seksual sebagai hiburan atau keseronokan tanpa batasan. Islam telah menggariskan hukum-hukum khusus seperti kewajipan menundukkan pandangan dan membataskan pergaulan antara lelaki dan wanita. Contohnya, wanita disarankan untuk memakai pakaian yang menutup aurat dan lelaki diperintahkan untuk menjaga pandangan mereka. Langkah-langkah ini bertujuan untuk mencegah berlakunya perkara yang boleh merosakkan akhlak dan moral masyarakat.
Ketiga, Islam menekankan keseimbangan antara keperluan duniawi dan spiritual dalam hubungan lelaki dan wanita. Kerjasama antara kedua-dua jantina adalah penting untuk membangun masyarakat yang harmoni, sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan atau sosial. Namun, kerjasama ini perlu dilaksanakan dalam kerangka syariat yang jelas. Islam menggalakkan perkahwinan sebagai institusi yang suci untuk memenuhi naluri seksual (gharizah al-naw’) secara halal dan membina keluarga yang bahagia. Pada masa yang sama, Islam mengharamkan perbuatan zina dan hubungan luar nikah yang boleh merosakkan aturan sosial.
Kesimpulannya, Sistem Pergaulan (Nizhamul Ijtimaie) antara lelaki dan wanita dalam Islam dalam menjamin ketenteraman hidup dan mengatur hubungan lelaki dan wanita dengan pengaturan yang bersifat alami. Ianya meletakkan akidah Islam sebagai asas dan hukum syariah sebagai parameter bertingkahlaku sekaligus melahirkan nilai-nilai akhlak yang luhur. Sistem ini juga menjadikan tujuan tertinggi iaitu keredhaan Allah sebagai pengendali hubungan sehingga kesucian dan ketakwaan menjadi penentu kaedah untuk berinteraksi antara lelaki dan wanita. Manakala sebarang cara yang bertentangan dengannya sama sekali tidak dibenarkan biar apapun alasannya. Dengan sistem pergaulan Islam, lelaki dan wanita dapat berinteraksi secara bermaruah dan menjauhkan diri daripada penyimpangan dan kerosakan moral dalam masyarakat.
Firman Allah :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَجِيبُوا۟ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu ..”
(TMQ Al-Anfal [8]:24)
#nizhamulijtimaie