Menjadi Isteri yang Istimewa: Qanitat dan Hafizhat lil Ghaib
Penulis: Najmah Saiidah
Menjadi insan yang istimewa adalah impian setiap manusia. Lebih-lebih lagi jika keistimewaan itu di sisi Allah SWT, pastinya setiap Muslim amat menginginkannya. Begitu jugalah kita sebagai seorang isteri dan ibu, sudah tentu kita mahu menjadi istimewa di mata suami dan anak-anak, apatah lagi di sisi Allah SWT. Oleh itu, menjadi satu kewajipan bagi kita untuk berusaha melayakkan diri agar tergolong dalam kalangan insan yang istimewa di sisiNya, sebagai seorang isteri yang solehah.
Allah SWT berfirman,
فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّٰهُ
“… Maka perempuan-perempuan yang solehah adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka).” [TMQ An-Nisa (4):34]
Teks ayat ini merupakan sambungan daripada Surah An-Nisa’ ayat 34. Pada bahagian awal ayat tersebut, fokus perbincangannya adalah mengenai suami iaitu tentang kedudukannya serta tanggungjawab yang perlu dipikul. Kemudian, pada sambungan ayat itu, tumpuan beralih kepada ciri-ciri dan peranan seorang isteri. Jika kita perhatikan dengan teliti, al-Quran tidak lagi menggunakan istilah an-nisa’ (bentuk jamak bagi wanita, perempuan atau isteri), sebaliknya perkataan yang digunakan ialah ash-shalihat, yang membawa maksud isteri-isteri yang solehah. Seolah-olah ada satu isyarat penting bahawa jika seorang wanita ingin digolongkan sebagai isteri yang solehah, maka dia perlu memenuhi beberapa kriteria tertentu.
Apakah kriteria yang dimaksudkan itu? Mari kita teliti ayat ini, sekurang-kurangnya terdapat dua syarat bagi seorang isteri untuk digelar sebagai isteri yang solehah, isteri yang baik, atau isteri yang istimewa adalah: (1) qanitat, dan (2) hafizhat lil ghaib. Mari kita huraikan dengan lebih terperinci agar kita dapat berusaha ke arah merealisasikannya. Aamiin.
- Al-Qanitat
Abdullah bin Abbas dalam tafsirnya mengatakan bahawa, “Makna qanitat adalah para isteri yang taat kepada suami mereka.” Allah SWT tidak mengatakan, “Thai’at” (isteri yang taat). Namun istimewanya, Allah menggunakan perkataan qanitat yang bererti sangat patuh dengan ketaatan yang sempurna. Kemudian diperkuat dengan beberapa hadis yang menegaskan hal ini, iaitu,
زَوْجِهَا حَقَّ تُؤَدِّيَ حَتَّى الْإِيْمَانِ حَلاَوَةَ امْرَأَةٌ تَجِدُ وَلاَ
“Dan tidaklah seorang wanita merasakan manisnya iman hingga ia menunaikan hak suaminya.” [HR al-Hakim, hadis ini dinyatakan shahih sesuai syarat al-Bukhari dan Muslim oleh adz-Dzahaby]
زَوْجِهَا حَقَّ تُؤَدِّيَ حَتَّى رَبِّهَا حَقَّ الْمَرْأَةُ تُؤَدِّيَ لَا
“Tidaklah seorang wanita menunaikan hak Tuhannya hingga ia menunaikan hak suaminya.” [HR Ibnu Majah, Ahmad]
Dalam Tafsir Ibnu Katsir, dijelaskan bahawa perkataan “qanitat” membawa maksud “muthi’at li azwajihinna”, iaitu taat kepada suami. Manakala dalam Tafsir Fathul Qodir, ditambah pula maksudnya sebagai “wanita yang taat kepada Allah, menunaikan hak-hak Allah dan juga hak-hak suami.” Sementara Al Biqo’i dalam Nadzmud Duror memperjelaskan“iaitu ikhlas dalam taat kepada suami.”
Daripada penjelasan beberapa tafsir, dapat kita fahami bahawa qanitat merujuk kepada seorang isteri yang taat kepada Allah dan suaminya dengan sebenar-benar ketaatan, patuh dengan sepenuh kepatuhan serta dilakukan dengan hati yang ikhlas. Isteri yang solehah ialah wanita yang memulakan segala amal kehidupannya dengan ketaatan kepada Allah. Melaksanakan kewajipannya terhadap Pencipta dengan sebaik mungkin.
Wanita yang memahami hak-hak Allah serta melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Wanita yang teguh imannya, sempurna ibadahnya, mulia akhlaknya, dan indah muamalahnya.
Apabila qanitat tertanam dalam diri seorang isteri iaitu taat kepada suaminya dengan ketaatan yang sempurna maka sikap ini akan menjadi jalan baginya menuju syurga Allah SWT. Terdapat banyak hadis yang menguatkan perkara ini, antaranya ialah:
شِئْتِ الْجَنَّةِ أَبْوَابِ أَىِّ مِنْ الْجَنَّةَ ادْخُلِى لَهَا قِيلَ زَوْجَهَا وَأَطَاعَتْ فَرْجَهَا وَحَفِظَتْ شَهْرَهَا وَصَامَتْ خَمْسَهَا الْمَرْأَةُ صَلَّتِ إِذَا
“Jika seorang wanita selalu menjaga solat lima waktu, juga berpuasa sebulan (pada bulan Ramadhan), serta betul-betul menjaga kemaluannya (dari perbuatan zina), dan benar-benar taat pada suaminya, maka dikatakan pada wanita yang memiliki sifat mulia ini, “Masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang engkau suka.” [HR Ahmad dan Ibnu Hibban]
Dari Abu Hurairah RA, dia berkata, “Pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Siapakah perempuan yang paling baik?” Jawab beliau, “Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat suaminya, mentaati suami jika diperintah, dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suami benci.”[HR An-Nasai]
Dalam hadis lain dijelaskan, bahawa salah satu ciri isteri solehah adalah yang taat jika diperintahkan oleh suaminya. Rasulullah SAW bersabda, ”Bagi seorang mukmin lelaki, sesudah takwa kepada Allah SWT, maka tidak ada sesuatu yang paling berguna bagi dirinya, selain isteri yang solehah. Iaitu, taat bila diperintah, menyenangkan apabila dilihat, redha apabila diberi yang sedikit, dan menjaga kehormatan diri dan suaminya, ketika suaminya pergi.” [HR Ibnu Majah]
Namun begitu, perlu difahami bahawa qanitat iaitu ketaatan sepenuhnya kepada perintah suami tidak terpakai dalam hal yang membawa kepada maksiat terhadap Allah SWT. Maksudnya, selagi apa yang diminta oleh suami tidak bercanggah dengan syariat, maka isteri wajib mentaati. Namun, jika suami mengarahkan isteri melakukan perkara yang dilarang oleh agama, maka isteri wajib menolaknya.
Dalam perkara ini, isteri boleh berpegang kepada hadis, “Laa tho’ata li makhluqin fi ma’shiyyatil Khaliq,” yang bererti, “Tiada ketaatan pada makhluk yang memerintahkan berbuat maksiat kepada Allah.”
- Hafizhat lil ghaib
Dalam Tafsir Ibnu Katsir, dinyatakan bahwa ungkapan“hafizhat lil ghaib” bermakna “tahfazhu zawjaha fi ghaibatihi fi nafsiha wa malihi” yang lebih kurang bermaksud boleh menjaga dirinya dan harta suaminya ketika suaminya tiada di sisi.
As-Suddi dan yang lain berkata, “Iaitu menjaga suaminya dalam dirinya saat ketiadaan suami, begitu juga menjaga hartanya.” Manakala Tafsir Jalalain mengungkapkan bahawa hafizhat lil ghaib ertinya menjaga kehormatan mereka dan lain-lain sepeninggal suami (kerana Allah telah memelihara mereka) sebagaimana diperintahkanNya kepada pihak suami itu. Al Biqo’i menambahkan, “Iaitu menjaga hak-hak suami seperti diri, rumah, harta pada saat suami tidak bersama isteri.” [Nadzmud Duror].
Al-Imam Ath-Thobari menjelaskan tafsir kata ‘حَافِظَاتٌ’ dalam surah An-Nisa : 34 sebagai, “Wanita-wanita yang menjaga diri mereka ketika suami mereka tidak bersama mereka, iaitu menjaga farji’ dan harta suaminya, serta menjaga hak Allah yang diwajibkan atas mereka dalam hal tersebut mahupun selainnya.” [Tafsir Ath-Thobari, 8/295]
Dari beberapa tafsir ini, kita dapati bahwa hafizhat lil ghaib bermakna isteri yang menjaga hak-hak suaminya, terutama saat suami tiada. Hak-hak suami yang mesti dijaga adalah haknya terhadap kehormatan diri dan diri isteri serta seluruh harta benda suami.
Saat suami tak bersamanya, seorang isteri wajib menjaga kehormatan diri dari perkara yang buruk, terutamanya jika perkara itu mendekati zina. Termasuk dalam perkara ini adalah larangan berhias secara berlebihan ketika keluar rumah, bergaul bebas dengan kawan atau rakan kerja lelaki, keluar rumah untuk tujuan yang tidak terlalu penting, apatah lagi pada waktu malam.
Selain menjaga kehormatan dirinya, ketika tinggal berjauhan dengan suami, maka isteri juga wajib menjaga amanah suami berupa harta yang diamanahkan kepadanya. Seorang isteri hendaklah membelanjakan harta suami dengan cara yang makruf, dan tidak berlebihan atau di luar keperluan kecuali dengan keizinan suaminya.
Hal ini diperkuat dengan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA. Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik wanita ialah jika kau memandangnya dia menyenangkanmu, jika kau memerintahkannya dia mentaatimu, jika kau tinggalkannya dia menjagamu dalam hal harta dan menjaga dirinya.” [HR Ahmad dan An-Nasa’i]
Demikianlah gambaran seorang isteri yang istimewa terpahat dalam dirinya qanitat, iaitu isteri yang patuh dan taat kepada suaminya dengan sepenuh ketaatan, serta hafizhat lil ghaib, iaitu menjaga kehormatan diri dan harta suaminya ketika suaminya tiada. Kedua-dua sifat mulia ini akan membawa kepada kebahagiaan dalam kehidupan rumah tangga suami isteri. Amanah yang dipikul oleh seorang isteri ini, jika dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, bukan sahaja akan menebalkan rasa cinta suami terhadap dirinya, bahkan turut menghadirkan kebahagiaan hati yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sebaliknya, seorang suami turut menunaikan hak-hak isterinya dengan sempurna.
Bagi seorang suami, dia akan merasa tenteram apabila terpaksa meninggalkan isterinya. Tenteram dan aman pada isteri yang tidak mungkin melakukan perkara yang tercela di belakangnya. Tenteram dan aman pada harta yang benar-benar dijaga dan tidak dikeluarkan melainkan dengan izinnya. Tenteram dan aman kerana penat lelahnya selama ini dijaga oleh isteri yang faham syariat Islam.
Khatimah
Islam telah memberikan gambaran secara terperinci bagaimana isteri yang istimewa, iaitu terpahat dalam dirinya qanitat dan hafizhat lil ghaib. Isteri akan mendapatkan syurga, bahkan dia boleh masuk dari mana-mana pintu syurga. Ini bermakna, ketaatan seorang isteri secara sempurna kepada suaminya serta penjagaan terhadap kehormatan diri dan harta suaminya adalah salah satu bentuk ibadah kepada Allah SWT. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada kelangsungan dan keharmonian rumah tangga sahaja, malah turut memberikan kesan yang besar terhadap kehidupan di akhirat kelak.
Sudah sewajarnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan dalam diri kita, agar kita menjadi isteri yang istimewa di sisi suami dan juga di sisi Allah SWT. Sebagaimana yang Rasulullah gambarkan dalam sebuah hadis, “Sebaik-baiknya isteri adalah jika kamu memandangnya kamu akan terhibur. Jika kamu menyuruhnya dia akan patuh. Jika kamu bersumpah agar dia melakukan sesuatu, dia akan memenuhinya dengan baik, dan jika kamu berpergian dia akan menjaga diri dan harta bendamu.”[HR Nasa’i]. Wallahu’alam.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#qanitat