[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 18
Masalah 17 : Perintah melakukan adat yang melibatkan perkara yang bertentangan dengan syariat.
Pengaruh tradisi masyarakat yang kuat serta kurangnya pemahaman agama sering mendorong suami menuntut sesuatu daripada isteri yang tidak selaras dengan syariat Allah. Contohnya, membenarkan adik-beradik atau tetamu berlainan jantina masuk dan dilayani, meskipun ketika dirinya tiada di rumah.
Refleksi:
Suami perlu sedar bahawa antara kewajipan seorang isteri ialah tidak membenarkan lelaki ajnabi masuk ke rumah ketika ketiadaannya. Begitu juga perkara ikhtilat (percampuran bebas antara lelaki dan wanita) tetap dilarang agama, meskipun pada hari ini ia sering dianggap lumrah atas alasan bersilaturrahim, termasuk dalam kalangan saudara-mara, sepupu atau ipar-duai yang berlainan jantina. Lebih-lebih lagi ketika semuanya berkumpul di rumah.
Suami juga perlu ingat bahawa isteri adalah permata berharga yang perlu dijaga kehormatannya. Islam melarang wanita duduk-duduk dan bersembang dengan lelaki asing kecuali dengan mahram atau atas urusan yang dibenarkan syarak, seperti jual beli. Baik lelaki mahupun wanita bukan mahram, tidak boleh bercampur-baur dan bersalaman dengan sengaja. Malah, Rasulullah SAW juga melarang seseorang memasuki tempat wanita kecuali mahramnya.
Nabi SAW bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالدُّخُوْلَ عَلَى النِّسَاءِ.
“Janganlah kalian masuk ke tempat para wanita (yang bukah mahram)!”
Di antara para Sahabat ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan al-Hamwu (iaitu kerabat suami, seperti saudara lelaki, anak saudara lelaki, bapa saudara, anak saudara atau selain dari mereka)?” Beliau bersabda:
اَلْحَمْوُ الْمَوْتُ.
“Al-Hamwu (ipar) adalah bencana.” [Muttafaq ‘alaih]
Oleh itu, keluarga muslim wajib menjadikan hukum Allah sebagai pegangan utama dalam setiap urusan. Tradisi atau kebiasaan masyarakat yang bertentangan dengan syariat tidak boleh diikuti, walau sesering mana pun ia diamalkan dalam masyarakat.
Firman Allah SWT: “Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).” [TMQ Al-Jaathiyah (45):18]
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim