Menanam Akhlak Mulia dalam Keluarga
Oleh: Nurain AbdurRahman
Pendahuluan
Akhlak adalah tuntutan hukum syarak yang sangat penting bagi seorang Muslim. Ia melambangkan kesempurnaan Islam sebagai cara hidup sekaligus mencerminkan kedalaman iman seseorang. Dengan itu, akhlak menjadi asas utama dalam membina keluarga yang harmoni, penuh kasih sayang, dan diberkati. Tanpa akhlak, institusi keluarga, masyarakat, dan negara akan menjadi rapuh dan goyah.
Membentuk nilai akhlak dalam keluarga merupakan keperluan asas setiap keluarga Muslim. Perbincangan tentang akhlak sentiasa relevan, terutama dalam kalangan ilmuwan Islam. Dalam realiti kehidupan yang sentiasa berubah, proses menanam akhlak mulia memerlukan bimbingan dan ilmu yang mantap. Pandangan manusia mengenai akhlak turut dipengaruhi oleh perubahan semasa, namun garis panduan utama tetap kembali kepada ajaran Islam yang meliputi akidah dan syariat.
Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani pernah menjelaskan bahawa akhlak adalah buah daripada keimanan dan pengamalan syariat Islam, bukan sekadar amalan kosong tanpa asas. Pendidikan akhlak adalah kunci untuk membentuk syakhsiyyah Islamiyyah atau keperibadian Islam, yang mencerminkan identiti unik seorang Muslim. Maka, menanamkan nilai akhlak mulia adalah tanggungjawab utama bagi pasangan suami isteri yang memilih untuk membina keluarga. Usaha ini adalah sebahagian daripada misi wahyu Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW, sebagai penyempurna akhlak manusia dan rahmat bagi seluruh alam.
Wahyu Illahi Sebagai Panduan Sempurna
Rasulullah SAW telah memberikan panduan tentang cara menanam akhlak mulia dalam keluarga melalui wahyu al-Quran. Surah Luqman (ayat 14-19) memberikan contoh teladan yang dapat dijadikan pedoman: Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. “(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” [TMQ Luqman: 14-19]
Dalam ayat-ayat ini, kita dapat memahami bagaimana Luqman Al-Hakim membimbing anaknya dengan penuh kasih sayang, kebijaksanaan, dan penjelasan yang rasional. Ayat-ayat tersebut memberikan nasihat yang praktikal tentang akhlak dalam kehidupan keluarga, yang tetap relevan sepanjang zaman.
Tanggungjawab untuk menanamkan nilai akhlak adalah amanah besar ibu bapa dalam melahirkan generasi berakhlak mulia dan memastikan kesinambungan peradaban yang baik. Beberapa pelajaran penting daripada ayat-ayat tersebut meliputi:
Pertama, anak bertanggungjawab menghormati dan mentaati ibu bapanya, sekalipun mereka bukan Muslim, selagi tidak diminta melakukan perkara yang melanggar perintah Allah SWT. Ini adalah prinsip asas yang termaktub dalam panduan hidup seorang Muslim.
Kedua, bersikap lemah-lembut dalam berinteraksi dan berkomunikasi dengan keluarga. Walaupun hal ini bersifat subjektif kerana perbezaan tempat dan budaya, sebagai seorang Muslim, kita perlu memastikan setiap tindakan dan perbuatan sentiasa selaras dengan hukum syarak. Nilai ini, secara asasnya, mengajarkan kita erti pendidikan serta penyampaian informasi yang berkesan, yang menjadi asas utama dalam pembentukan akhlak keluarga Muslim.
Ketiga, bagaimana membentuk fitrah anak agar dapat mengawal naluri baqo’ (naluri untuk mempertahankan diri) melalui pemahaman akidah dan iman? Dalam ayat 18, Lukman Al-Hakim mengajarkan kepada kita pentingnya mendidik anak agar tidak memalingkan muka dan tidak bersikap sombong. Nilai ini sangat manusiawi dan relevan sepanjang zaman. Secara tidak langsung, pendidikan tersebut turut membentuk akhlak mulia, seperti sikap berlapang dada dan keterbukaan, tanpa disertai prasangka atau sikap negatif terhadap orang lain.
Keempat, membentuk sikap terpuji melalui pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi munkar merupakan tanggung jawab sosial bersama. Sikap ini mencerminkan nilai anti-individualistik yang sangat mulia dalam menciptakan lingkungan yang sihat bagi mewujudkan keluarga yang harmoni serta masyarakat yang mampu menjadi ‘magnet kebaikan’.
Tidak Mudah, Namun Indah
Usaha menanam akhlak mulia dalam keluarga memerlukan kesabaran dan istiqamah. Selain Surah Luqman, panduan lain juga terdapat dalam al-Quran, seperti dalam Surah Taha: 132, yang menganjurkan agar umat Islam mengajak keluarga mendirikan solat dan bersabar dalam melaksanakannya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
Dalam ayat ini, Allah SWT menyarankan agar solat dijadikan sebagai asas kepada pendidikan. Solat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga cara untuk menjalin hubungan dengan Allah SWT. Dengan solat, keluarga akan lebih kukuh dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Membina keluarga Muslim yang berakhlak mulia memang satu ujian, namun jika dilakukan dengan sabar dan berpandukan syariat Allah, ia akan membuahkan hasil yang membahagiakan.
Dalam ayat ini, kita diajarkan tentang pentingnya mendirikan solat dan bersikap sabar. Solat merupakan tiang agama dan wujud ketundukan sepenuhnya kepada Sang Pencipta. Dalam ketundukan itu, terdapat perjuangan dan cabaran yang harus dihadapi. Ketika berusaha melakukan kebaikan, seperti membentuk sebuah keluarga Muslim yang berakhlak mulia, seseorang akan menemui berbagai ujian. Perjalanan itu mungkin berat, tetapi wajib dilalui dengan kesabaran dan keteguhan dalam beribadah yang menjadi asas kepada kestabilan keluarga.
Secara mendalam, kita dapat memahami bahawa membentuk akhlak mulia dalam sesebuah keluarga bukanlah hal yang mudah seperti yang diucapkan. Ia adalah perjuangan yang memerlukan panduan Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai pedoman utama. Tanpa kembali kepada Al-Khaliq (Sang Pencipta), manusia tidak akan mampu merealisasikan tujuan tersebut. Walaupun jalan untuk mencapainya penuh tantangan, keindahan akan terpancar apabila kita berpegang teguh kepada aturan Ilahi.
Khatimah
Keluarga adalah elemen pertama dalam pembentukan akhlak manusia. Ia merupakan tempat asas untuk melatih nilai-nilai baik sebelum diterapkan dalam masyarakat. Pembinaan keluarga yang berakhlak mulia sangat penting sebagai langkah awal untuk melahirkan generasi Islam yang unggul. Tanpa didikan akhlak yang bersandarkan kepada panduan Allah SWT, individu dan masyarakat akan kehilangan arah yang benar.
Setiap pasangan yang ingin membina keluarga harus menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan utama dalam mendidik anak-anak. Dengan usaha bersama, pendidikan akhlak dalam keluarga mampu melahirkan masyarakat yang harmoni dan seterusnya membina peradaban yang bertamadun tinggi.
Wallahua’lam.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat