[Mafahim Islamiyyah] Hukum Dharar (Bahagian 1/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT telah memubahkan segala sesuatu (benda-benda) melalui dalil-dalil yang umum. Allah SWT berfirman, “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, …” (TMQ Luqman [31]: 20).
Allah telah mengecualikan sebahagian dari segala sesuatu. Dia telah mengharamkannya melalui dalil-dalil yang khusus seperti firman-Nya, “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; …” (TMQ Al-Maidah [5]: 3).
Apabila ditemukan bahaya (dharar) pada sebahagian sesuatu yang dimubahkan, maka sebahagian itu diharamkan kerana menjadi sesuatu yang membahayakan. Ini sesuai nas kaedah syarak, “Setiap individu/perkara daripada perkara yang mubah (harus)—jika padanya ada mudarat—maka individu/perkara itu haram; sedangkan hukum umum perkara tersebut kekal mubah.”
Dalil kaedah ini adalah hadis yang diriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW ketika berjalan melewati Hijr, iaitu tempat permukiman Tsamud kaum Nabi Saleh. Manusia telah mengambil air dari sumurnya. Setelah mereka beristirehat pada petang harinya, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kalian meminum air darinya sedikit pun dan janganlah kalian berwudhuk darinya untuk solat. Dan adunan yang telah kalian adunkan, maka berikanlah untuk makanan unta dan jangan kalian memakannya sedikit pun. Dan janganlah seseorang di antara kalian keluar pada malam ini, kecuali disertai temannya. …”
Demikianlah, Rasululah SAW telah mengharamkan air sumur Hijr kerana membahayakan, sedangkan air lainnya tetap mubah melalui dalil yang umum. Apabila pemanfaatan salah satu perkara yang mubah itu mendatangkan bahaya kepada orang-orang yang lain, maka sesuatu ini hukumnya haram dalam situasi tersebut. Hal ini berdasarkan nas kaedah syarak, “Setiap individu dari individu perkara yang mubah apabila dia membahayakan atau mendatangkan kepada bahaya, maka individu itu hukumnya haram dan perkara itu tetap mubah.”
Dalil kaedah ini adalah hadis yang diriwayatkan, “Bahawasanya Rasulullah SAW pernah bermukim di Tabuk selama lebih dari sepuluh malam tanpa meninggalkan Tabuk. Kemudian, beliau kembali pulang ke Madinah. Dalam perjalanan menuju Madinah, ada air yang keluar dari celah batu. Air itu hanya dapat menyegarkan satu orang, dua orang, atau tiga orang saja, di satu jurang yang bernama Jurang Musyaqqaq. Rasulullah SAW lalu bersabda, “Siapa saja mendahului kami sampai ke jurang itu, maka janganlah dia mengambil air darinya sedikit pun sampai kami datang ke sana.”
Selanjutnya ada sekelompok orang munafik mendahului ke sana. Mereka mengambil air yang ada padanya. Setelah Rasulullah SAW sampai, beliau berdiri di atasnya dan tidak melihat air sedikit pun. Beliau bersabda, “Siapakah orang yang mendahului kami ke air ini?” Lalu dikatakan kepada beliau, “Wahai Rasulullah, fulan dan fulan.” Beliau lalu bersabda, “Apakah aku tidak melarang mereka mengambil air darinya walau sedikit sampai aku datang?” Kemudian Rasulullah SAW melaknat dan mendoakan kejelikan kepada mereka yang telah mengambil air.”
Sesungguhnya, Rasulullah SAW telah mengharamkan meminum air Jurang Musyaqqaq sehinggalah beliau mendatanginya. Ini kerana sesungguhnya meminumnya bagi sebahagian orang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain yang tidak menemukan air yang akan diambilnya dari jurang tersebut (kerana air yang sedikit itu dengan mukjizat Nabi SAW mampu mencukupi orang banyak seperti pada riwayat lain).
Syarak telah memubahkan air, tetapi mengharamkan air dari sumur Hijr kerana berbahaya. Syarak juga mengharamkan air dari jurang Musyaqqaq kerana pemanfaatan sebahagian orang dengan air itu boleh mendatangkan bahaya kepada sebahagian yang lain.
Dengan demikian, bahaya pada sebahagian benda atau bahaya yang mendatangkan kepadanya pengambilan manfaat sebahagian benda, adalah menjadi sebab dalam mengharamkan segala benda yang membahayakan, atau segala benda yang mendatangkan kepada bahaya. Ini kerana sesungguhnya, hukum asal segala benda adalah mubah selama tidak ada dalil yang mengharamkan. Dalil yang mengharamkan adakalanya berupa nas seperti sabda Nabi SAW, “Sesuatu yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya adalah haram.”
Adakalanya pula berupa kaedah syarak yang diambil dari kesimpulan nas-nas syarak, iaitu kaedah, “Setiap individu dari individu/ perkara yang mubah apabila dia membahayakan atau mendatangkan kepada bahaya, maka individu itu haram, sedangkan perkara itu tetap mubah.”
Hal tersebut jika dihubungkan pada segala sesuatu (benda-benda). Sedangkan perbuatan, maka hukum asalnya adalah terikat (taqoyyud). Hukum satu perbuatan dalam pandangan syarak hanya satu dari lima jenis berikut, iaitu, fardhu, mandub, mubah, makruh, dan haram.
Syarik telah memubahkan sebahagian perbuatan melalui dalil-dalil yang umum, iaitu perbuatan yang bersifat semulajadi, seperti memandang, makan, berjalan, dan lain-lain. Allah SWT berfirman, “Katakanlah! Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi. …” (TMQ Yunus [10]: 101).
Juga firman-Nya, “Makanlah kalian dari rezeki Tuhan kalian dan bersukurlah kalian kepada-Nya. …” (TMQ Saba’ [34]: 15).
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Dharar #HukumSyarak