Memilih Pasangan dan Mendidik Anak Mengikut Panduan Ilahi
Oleh: Nor Syafinaz Md Safar
Memiliki keluarga yang bahagia, harmoni, saling menghormati dan mentaati Allah SWT dengan sebenar-benar ketaatan merupakan impian tulus setiap Muslim. Sebuah keluarga yang mawaddah, sakinah dan rahmah hidup dalam suasana kasih sayang, berusaha meraih redha Ilahi sepanjang perjalanan mencari syurga-Nya. Keluarga yang mengharapkan mardhatillah ini bermula dengan peranan lelaki dan wanita yang memahami dengan jelas tujuan hidup mereka sebelum bersatu sebagai suami isteri. Oleh itu, memilih pasangan hidup yang tepat merupakan langkah awal yang sangat penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan sesebuah keluarga.
Langkah ini perlu dimulakan dengan usaha mencari, menganalisis, berdoa serta melakukan solat istikharah sebelum membuat keputusan memilih pasangan yang sesuai. Ini kerana ikatan perkahwinan membawa tanggungjawab besar yang tidak boleh dipandang ringan. Pemilihan pasangan yang tepat akan memudahkan perjalanan keluarga dalam mencorakkan generasi masa depan. Oleh yang demikian, memilih pasangan yang memahami kewajipan beragama dan berpegang teguh kepada syariat Islam adalah tuntutan penting bagi setiap Muslim yang ingin berumahtangga. Perkahwinan adalah perjanjian yang kuat dan perlu dipenuhi dengan penuh amanah. Firman Allah SWT:
وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُۥ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَٰقًا غَلِيظًا ً
“Bagaimana kamu (suami) akan mengambilnya kembali (mas kahwin), padahal sebahagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami isteri. Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil daripada kamu perjanjian yang kuat (ikatan perkahwinan).” [TMQ An-Nisa’ (4):21)
Melalui perkahwinan, masyarakat berkembang dari satu generasi ke generasi berikutnya. Ia merupakan satu-satunya jalan yang diredhai Allah SWT untuk melahirkan generasi Muslim yang seterusnya. Walaupun seorang anak tidak dapat memilih ibu bapanya, seorang Muslim masih boleh memilih pasangannya. Pasangan yang dipilih akan sama-sama memikul amanah dalam menjaga, membesarkan, melindungi, mendidik dan mengasuh anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Tugas membesarkan dan mendidik anak bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi, bagi ibu bapa Muslim, ia merupakan amanah besar yang wajib dilaksanakan mengikut ajaran Islam. Syariat Islam perlu dijadikan asas dalam mendidik anak-anak, merangkumi aspek pemikiran, pemakanan, perbuatan dan sahsiah diri mereka sejak kecil hingga dewasa. Ini penting kerana mereka adalah bakal pemimpin masa hadapan. Ibu bapa yang mencintai Islam pasti akan menyediakan anak-anak dengan didikan duniawi dan ukhrawi agar mereka dapat memberi sumbangan bermakna kepada agama dan masyarakat.
Penerapan pendidikan Islam yang benar akan melahirkan insan yang memiliki fikrah dan tsaqafah Islam serta mampu bertindak berlandaskan syariat. Dengan pemikiran dan tindakan yang selari dengan ajaran Islam, mereka dapat menyelesaikan masalah dan memimpin umat untuk menegakkan agama. Inilah harapan ibu bapa yang bervisi syurga. Sebagai inspirasi, kita boleh meneladani kisah-kisah keluarga para nabi dalam al-Quran untuk membimbing dan mentarbiah anak-anak agar mengenal keagungan Ilahi sejak usia kecil.
Antara kisah keluarga dalam al-Quran yang boleh dijadikan pedoman ialah keluarga Nabi Ibrahim, Nabi Nuh, keluarga Imran, dan keluarga Luqman. Sebagai contoh, Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah SWT agar zuriat keturunannnya dijauhkan daripada menyembah berhala. Doa baginda telah Allah rakamkan dalam al-Quran seperti berikut:
وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَٰذَا ٱلْبَلَدَ ءَامِنًا وَٱجْنُبْنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعْبُدَ ٱلْأَصْنَام
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.” [TMQ Ibrahim (14):35]
Begitu juga dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya agar mentauhidkan Allah SWT sejak kecil demi mengelakkan daripada menjadi golongan yang zalim. Nabi Yaakub juga berwasiat kepada anak-anaknya agar meneguhkan aqidah mereka ketika baginda hampir wafat. Firman Allah SWT:
أَمْ كُنتُمْ شُهَدَآءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ ٱلْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنۢ بَعْدِى قَالُوا۟ نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآئِكَ إِبْرَٰهِۦمَ وَإِسْمَٰعِيلَ وَإِسْحَٰقَ إِلَٰهًا وَٰحِدًا وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ
“Adakah kamu hadir ketika Ya’qub didatangi (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apa yang kamu sembah sepeninggalku?” Mereka menjawab: “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya”. [TMQ Al-Baqarah (2):133]
Kesemua kisah ini menggambarkan peranan seorang bapa sebagai ketua keluarga dalam mendidik anak-anak mengesakan Allah SWT dan berdoa agar kesinambungan dakwah Islam dapat diteruskan oleh generasi berikutnya.
Kesimpulannya, ibu bapa zaman moden perlu menjadikan akidah Islam sebagai asas utama dalam mendidik anak-anak. Al-Quran dan sunnah bukan sahaja menjadi panduan dalam membentuk anak-anak, tetapi juga dalam melayari bahtera rumahtangga. Segalanya bermula dengan memilih pasangan yang sesuai dan mampu menjadi cerminan yang baik. Pemilihan pasangan yang tepat akan meningkatkan potensi institusi keluarga dalam melahirkan generasi Muslim yang cemerlang, apabila kedua-dua ibu bapa bersama-sama membina keteguhan akidah dalam diri anak-anak. Hasilnya ialah anak-anak yang yakin dengan al-Quran dan sunnah, serta sentiasa berusaha melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.
Wallahua’lam.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#jodoh #baitulmuslim #pasangan