Visi dan Karakteristik Keluarga Muslim Menurut al-Quran
Oleh: Farisha Aris
Membangun keluarga yang bahagia, harmoni, dan berjaya adalah impian setiap Muslim. Namun, untuk merealisasikan impian tersebut, usaha serta panduan yang jelas adalah sangat penting. Sumber utama untuk mencapai matlamat ini tidak lain tidak bukan adalah al-Quran, yang diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. Apabila al-Quran dijadikan panduan, dan disertai dengan bimbingan Sunnah Nabi SAW, jalan untuk membentuk keluarga Muslim yang mengutamakan keredaan Allah SWT akan menjadi lebih mudah dan jelas untuk diikuti.
Keluarga Muslim adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang menjadikan ketaatan kepada Allah SWT sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Lebih dari itu, keluarga Muslim memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan awal kepada generasi akan datang. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta persiapan mental dan fizikal untuk membina keluarga yang mengikut acuan Islam. Tanpa persiapan yang mencukupi, seseorang berisiko untuk terpengaruh oleh arus kehidupan moden yang mungkin menjauhkan keluarga daripada prinsip-prinsip Islam.
Setiap keluarga Muslim perlu memiliki visi yang jelas, agar semua anggota dapat bergerak bersama-sama di atas landasan yang benar. Terdapat beberapa elemen penting dalam membentuk visi ini.
Pertama, menjadikan syurga sebagai destinasi akhir bersama. Untuk itu, setiap keluarga Muslim perlu memastikan kehidupan sehariannya berlandaskan usaha untuk mendapatkan redha Allah SWT. Ini hanya boleh dicapai jika ibu bapa, sebagai ketua keluarga, menjadi teladan yang soleh dan solehah. Kesolehan ibu bapa ibarat tanah subur yang akan melahirkan anak-anak yang berakhlak dan beriman. Dalam surah At-Tahrim, ayat 6, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” Pesanan ini menekankan tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anggota keluarga dijauhkan daripada perkara yang boleh membawa kepada seksa di akhirat kelak.
Kedua, mencapai sakinah (ketenteraman), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang). Kebahagiaan rumah tangga memerlukan suasana yang penuh ketenangan, cinta dan kasih sayang. Suami isteri perlu bekerjasama dalam mencipta hubungan yang erat antara satu sama lain, serta memastikan adanya sikap saling menghormati di kalangan anggota keluarga. Melalui usaha dan kesabaran, nilai-nilai ini dapat diterapkan dalam kehidupan sehari-hari.
Ketiga, menanamkan nilai tauhid, akhlak dan amal soleh. Keluarga adalah titik permulaan dalam melahirkan generasi yang beriman, berakhlak mulia, rajin beribadah, serta taat kepada Allah SWT. Ibu bapa memegang peranan besar untuk memastikan nilai-nilai Islam diaplikasikan dalam kegiatan seharian anggota keluarga. Dengan menanamkan akidah, memupuk kebiasaan melakukan amal ibadah, dan memberi contoh teladan, sebuah keluarga dapat melahirkan generasi yang memimpin ummah di masa hadapan.
Visi yang jelas ini akan menjadi pedoman dalam membentuk keluarga yang semata-mata mengutamakan keredaan Allah SWT, hingga akhirnya keluarga tersebut dianugerahi syurga.
Selain memiliki visi yang jelas, keluarga Muslim juga seharusnya mempunyai ciri-ciri tertentu yang dicontohi daripada ajaran Islam dan diteladani daripada Rasulullah SAW. Antara ciri-ciri penting tersebut adalah, pertama, membina keluarga berlandaskan akidah yang kukuh. Akidah yang kuat harus ditanam sejak awal usia anak-anak. Ibu bapa perlu mengambil langkah-langkah pendidikan yang membentuk keyakinan anak terhadap Allah SWT. Dengan akidah yang kukuh, anak-anak akan melaksanakan perintah Allah dengan ikhlas, tanpa bergantung pada kehadiran ibu bapa sebagai pengawas. Seperti sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” [HR al-Bukhari].
Kedua, hubungan yang harmoni di kalangan anggota keluarga yang merupakan ciri penting dalam keluarga Muslim. Hubungan ini dicirikan oleh sikap saling menghormati, kasih sayang, dan kebersamaan. Anggota keluarga perlu saling mendukung dan bekerja sama untuk mencapai tujuan bersama. Selain itu, hubungan kekeluargaan yang baik akan turut mempengaruhi hubungan dengan tetangga dan masyarakat sekitar.
Ketiga, tanggungjawab yang jelas. Tugas dan tanggungjawab dalam keluarga harus dilaksanakan sesuai dengan ajaran Islam. Ibu bapa tidak hanya berperanan mendidik anak-anak, malah perlu menunjukkan teladan yang baik dengan menerapkan nilai Islam dalam kehidupan harian. Hal ini penting kerana ibu bapa adalah contoh utama bagi anak-anak mereka, terutamanya dalam proses pembentukan akhlak dan jati diri.
Keempat, mementingkan pendidikan dan akhlak. Pendidikan perlu dijadikan budaya dalam keluarga. Ibu bapa harus mengajar anak-anak tentang tingkahlaku, adab, dan akhlak yang mulia, sama ada melalui tingkahlaku mereka sendiri mahupun dalam interaksi sosial di luar rumah. Dengan akidah yang teguh dan didikan yang betul, anak-anak akan membentuk peribadi yang soleh, berakhlak tinggi, dan beramal soleh dengan niat mencari keredhaan Allah SWT.
Kesimpulannya, membina keluarga Muslim yang ideal memerlukan perancangan berdasarkan panduan al-Quran dan Sunnah. Dengan merenung visi dan menerapkan ciri-ciri keluarga Muslim yang berpaksikan Islam, setiap keluarga dapat menjadi sumber kebahagiaan, kedamaian, dan keberkatan. Keluarga yang sakinah, mawaddah, dan rahmah mampu melahirkan generasi soleh yang menjadi inspirasi dan teladan kepada masyarakat.
Akhirnya, keluarga Muslim tidak hanya menjadi pusat kebahagiaan dunia, tetapi juga benteng kuat dalam melaksanakan syariat Islam. Melalui usaha gigih dan istiqamah, setiap keluarga Muslim dapat menyumbang kepada masyarakat yang sejahtera dan mendapat rahmat Allah SWT. Wallahu a‘lam bis-shawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat