[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 20
Masalah 19 : Mengabaikan isteri yang sedang sakit
Ada suami yang tidak peduli apabila isterinya sakit, tidak berusaha mengubati atau meringankan penderitaannya.
Refleksi:
“Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?” (TMQ Ar-Rahmaan [55]:60)
Suami yang membantu isterinya ketika sakit akan mendapat pahala yang besar di sisi Allah. Bahkan perkara kecil seperti membantu mengurus rumah, mengambil tugas isteri yang sedang sakit seperti memasak, mencuci, menyediakan makanan atau membersihkan rumah ketika isteri sakit adalah termasuk amal soleh.
Menjaga isteri yang sedang sakit juga merupakan satu keutamaan dalam syariat. Hal ini dapat dilihat daripada peristiwa Saidina ‘Uthman bin ‘Affan r.a. yang tidak ikut serta dalam Perang Badar kerana menjaga isterinya, Ruqayyah binti Rasulullah SAW, yang sakit tenat. Rasulullah bersabda kepadanya:
“Sesungguhnya untukmu pahala orang yang turut dalam perang Badar dan Baginda membahagikan bahagian harta rampasan kepada beliau.” (Berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari (4066))
Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa ketidakhadiran Saidina ‘Uthman dalam peristiwa besar tersebut adalah kerana faktor syarie yang menghalang, dan beliau tetap mendapat pahala penuh serta keringanan daripada syariat.
Jadi tidak wajar suami mengabaikan atau berkeluh kesah bila isterinya ditimpa sakit. Suami yang baik adalah suami yang berbelas kasihan dan memahami keutamaan-keutamaan dalam bersikap seusai syarak. Bukan mengikut hawa nafsu.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim