Sisi Gelap Sosial Media Dan Kesan Kepada Keluarga
Penulis: Nur Zuliyana Mustafa
Kini, kita berada di era digital yang serba canggih terutamanya penggunaan media sosial. Ia menjadi salah satu platform berinteraksi, berkongsi dan menyebarkan maklumat yang sangat efisien dalam dunia maya. Dengan akses internet yang meluas, penggunaan media sosial ini tidak hanya digunakan oleh orang dewasa sahaja malah mencakupi setiap lapisan masyarakat. Walaupun media sosial ini dilihat memberikan banyak kesan positif, namun terdapat banyak juga cabaran yang perlu ditangani jika penggunaannya tidak dikawal dengan baik.
Salah satu pengaruh negatif media sosial adalah menyebabkan ketagihan kepada pengguna yang akhirnya menjadi alasan untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti bersama keluarga. Masa berkualiti bersama keluarga seperti waktu makan atau berbual bersama kerap terganggu kerana terlalu memberi perhatian kepada telefon atau gajet berbanding berinteraksi secara langsung dengan ahli keluarga. Keadaan ini boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.
Seterusnya kemahiran berkomunikasi sosial turut terjejas. Keadaan ini berpotensi membentuk generasi yang kurang mahir bergaul dengan orang lain dan memahami bahasa tubuh serta intonasi suara yang betul. Kekurangan kemahiran ini akan menyukarkan anak-anak untuk berinteraksi dengan ibu bapa, para guru, bakal majikan dan sebagainya. Inilah di antara faktor yang boleh mencetusnya pelbagai konflik sedangkan ianya boleh dicegah dari awal.
Tidak dinafikan, walaupun pelbagai maklumat dapat diperolehi melalui media sosial, namun kita tidak terhindar daripada maklumat palsu. Tidak semua maklumat atau berita yang diterima adalah benar. Penipuan dan propaganda yang disebarkan melalui platform ini boleh menimbulkan kekeliruan dan panik terutamanya ketika krisis sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam. Keadaan ini boleh menyebabkan timbulnya salah faham dan fitnah antara ahli keluarga sekiranya ada yang mempercayai maklumat yang tidak sahih. Perbezaan pendapat yang berasaskan berita palsu juga boleh menyebabkan pergaduhan dan pertelingkahan di dalam keluarga sekali gus akan menjejaskan keharmonian dan hilangnya kepercayaan antara ahli keluarga. Allah telah berpesan kepada kita agar menyelidiki (tabayyun) setiap berita yang diterima sebelum mempercayai dan seterusnya menyebarkan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya”
[TMQ Al-Hujurat (49): 6]
Selain itu, media sosial juga turut mendedahkan pengguna kepada pelbagai kandungan yang tidak sihat yang berunsur keganasan, pornografi dan budaya hidup yang tidak sihat khususnya dalam kalangan anak-anak dan juga remaja. Hal ini akan memberi kesan kepada anak-anak kerana mereka mungkin akan meniru atau mengamalkan nilai yang bercanggah dengan syariat Islam ataupun undang-undang. Berpeganglah dengan peringatan keras dari Allah ini:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [TMQ Al-Isra’ (17): 36]
Dalam Islam, keluarga merupakan institusi yang amat penting. Keluarga adalah unit kecil yang menjadi asas pembentukan masyarakat dan peranannya besar dalam membentuk peribadi seseorang. Ibu bapa bertanggungjawab untuk mengawal dan menetapkan peraturan penggunaan gajet, mengehadkan masa serta memantau kandungan yang diakses oleh anak-anak. Lakukan aktiviti keluarga tanpa gajet seperti solat berjemaah, membaca Al-Quran atau berbincang dan bertukar pendapat mengenai isu semasa atau apa sahaja perkara bermanfaat bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja yang mereka dengar dan lihat. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak dengan mempraktikkan penggunaan media sosial secara berhemah. Usaha ini akan dapat membantu anak-anak untuk menggunakan teknologi dengan baik disamping dapat membentuk peribadi mengikut ajaran Islam.
Kesimpulannya, dalam era globalisasi ini, penggunaan media sosial memang tidak dapat dielakkan. Walaupun terdapat banyak manfaat yang diperolehi daripadanya, namun kita perlu berhati-hati dalam penggunaannya. Media sosial boleh menjadi alat yang amat bermanfaat sekiranya digunakan dengan bijak. Setiap pengguna perlulah bertanggungjawab menggunakannya dengan cara yang berhemah. Sebagai seorang Muslim, kita dituntut memastikan penggunaan media sosial selari dengan syariat serta mengelakkan penggunaannya daripada membawa kemudaratan.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat