[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 19
Masalah 18 : Memaksa isteri turut bekerja
Salah satu konflik rumah tangga yang sering terjadi ialah apabila suami menuntut isterinya terus bekerja, seolah-olah keberatan jika isteri berhenti bekerja. Alasan yang dikemukakan biasanya berkaitan dengan keperluan untuk menyokong kewangan keluarga, atau sekadar untuk mengekalkan status sebagai wanita berkerjaya yang dianggap lebih membanggakan. Ada pula isteri yang diminta melakukan pekerjaan di rumah tanpa henti demi diri dan keluarganya, meskipun si isteri sebenarnya sudah keletihan. Lebih malang, isteri tidak diberi kebebasan memilih dalam soal kerjaya, bahkan tidak mendapat penghargaan apa pun atas usahanya.
Refleksi:
Hukum asal nafkah dalam rumah tangga adalah tanggungjawab penuh seorang suami. Allah SWT berfirman:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 34]
Maka, suamilah yang wajib menanggung keperluan dan kewangan keluarga. Adapun hukum asal bagi seorang isteri bekerja adalah mubah (harus), dan ia merupakan pilihan sukarela. Jika seorang isteri memilih untuk tidak bekerja dan ingin menjadi suri rumah, maka suami hendaklah terima dengan redha. Dan apabila dia menjadi suri rumah, bukan juga bermakna seluruh tenaganya boleh diperas untuk melakukan pekerjaan rumah dan melayani suami tanpa henti.
Rasulullah SAW ada menyampaikan wasiat agar memperlakukan wanita dengan baik dalam khutbah haji wada’:
“Ketahuilah, sampaikanlah pesan kebaikan kepada wanita, kerana mereka adalah penolong bagi kalian. Kalian tidak berhak melakukan apa pun terhadap mereka, kecuali mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Jika mereka melakukannya, maka pisahkanlah tempat tidur mereka, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak membekas. Jika mereka mentaati kalian, maka janganlah kalian mencari-cari jalan untuk berbuat kasar terhadapnya. Ketahuilah bahawa kalian memiliki hak atas isteri-isteri kalian dan isteri-isteri kalian pun memiliki hak atas kalian. Hak kalian atas mereka adalah mereka tidak boleh membiarkan orang yang kalian benci untuk menginjakkan kaki di kamar kalian dan tidak boleh pula memberikan izin masuk rumah kalian kepada orang yang kalian tidak sukai. Ketahuilah bahawa hak mereka atas kalian adalah kalian harus berbuat baik kepada mereka dalam memberi pakaian dan makanan kepada mereka.” [HR. At-Tirmidzi].
Hadis ini merangkumi perbahasan agar memperlakukan isteri dengan baik. Oleh itu, walaupun isteri dituntut untuk berkhidmat kepada suaminya, itu bukan alasan bagi suami untuk mengabaikan belas kasihan dan penghargaan terhadapnya. Juga tidak boleh sama sekali memperlakukannya seperti hamba atau pekerja tanpa upah.
Selain berkhidmat pada suami, kedudukan utama seorang isteri adalah di rumah sebagai ummun wa rabbatul bayt, pengatur urusan rumah tangga dan pendidik generasi. Jika isteri telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan suri rumah, maka suami wajib membalas dengan penghargaan, kasih sayang, dan ucapan terima kasih. Lebih-lebih lagi jika isteri dengan rela hati turut membantu kewangan keluarga melalui pekerjaan di luar rumah.
Oleh itu, jadilah pasangan yang saling menghormati dan menghargai. Jangan mencari-cari kesalahan dengan sengaja, banyak menuntut, dan memperkecilkan peranan masing-masing. Sama ada seorang wanita bekerja atau tidak, kedudukannya sebagai ummun wa rabbatul bayt tetap paling utama dan mulia di sisi Allah. Maka, hargailah dia dengan akhlak yang baik, layanan penuh kasih sayang, dan sikap belas kasihan.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim