Sekularisme Menghilangkan Ketenangan Rumah Keluarga Muslim
Oleh: Aliya Ab Aziz
Pendidik dan Aktivis Muslimah, Cikgu Iman Farhana berpendapat bahawa sistem kapitalis yang berakidahkan sekularisme adalah punca hilangnya ketenangan dalam keluarga Muslim hari ini.
“Sedar ataupun tidak, sebenarnya hari ini kita hidup dalam satu sistem yang sangat bertentangan dengan hukum Islam. Apa sistem itu? Sistem itu nama dia adalah sistem kapitalis, akidah dia adalah sekularisme. Sekular ini adalah pemisahan antara agama dengan kehidupan. Namun, sejauh mana sebenarnya rumah yang kita bina hari ini benar-benar mengikut landasan Islam? Jadi hilangnya ketenangan ini berpunca daripada hilangnya Islam dalam rumah itu sendiri,” ujarnya dalam Siri Bicara Muslimah Online di Facebook Muslimah HTM bertajuk Tatkala Rumah Syurga Berubah Menjadi Neraka, Sabtu (20/9/2025).
Menurut Cikgu Iman, sekurang-kurangnya ada lima ciri khas rumah dambaan keluarga Muslim.
Pertama, rumah sebagai tempat yang tenang mestilah selamat.
Beliau mengaitkan keadaan ini dengan analogi rumah yang menghadapi ancaman rompakan. Agar rumah selamat daripada dirompak, biasanya tuan rumah akan memastikan agar rumah dilengkapi dengan sistem keselamatan seperti grill, pagar, berapa banyak kunci dan bagaimana kunci yang diperlukan, serta keadaan sekelilingnya. Ini menunjukkan semua orang mendambakan rumah yang selamat luar dan dalam, serta sanggup melakukan apa saja untuk memastikan rumahnya selamat.
“Kerana apa? Kerana kita tak tenang apabila suasana tu tidak selamat. Tapi bila kita duduk di tempat yang selamat, tak ada kes (rompakan) kita rasa tenang. Atau, bila dah lama tak ada isu (rompakan) kita pun akan kembali tenang. Itu di luar, apatah lagi bila ‘selamat’ tu semakin pudar dari dalam rumah itu sendiri. Jadi rumah yang sakinah, rumah yang sepatutnya kita hidup itu adalah rumah yang selamat,” jelasnya.
Kedua, rumah perlu mengekalkan privasi kerana ia asas maruah keluarga. Kehadiran orang luar secara tetap boleh mengganggu suasana Islam di dalam rumah.
Beliau menegaskan, “Asas rumah ada suami, ada isteri dan ada anak-anak. Dan tidak sesuai jika ada orang lain selain daripada mereka ini. Kerana semakin ramai orang selain yang saya sebutkan tadi, maka semakin hilanglah privasi kehidupan dalam rumah.”
Beliau turut mengingatkan bahawa pentingnya menjaga aspek privasi adalah demi kelancaran pelaksanaan tuntutan syariat itu sendiri. Lebih-lebih lagi bagi kaum perempuan dan sistem pergaulan keluarga Muslim yang terikat dengan hukum-hukum khusus.
Katanya, “Terutamanya kitalah sebagai perempuan. Di rumahlah sebenarnya ruang dan peluang untuk kita membuka sebahagian daripada aurat kita. Apabila kita tinggal dengan keluarga kita sendiri, dengan ayah atau pasangan, dan anak-anak kita tadi, barulah kita boleh melepaskan sebahagian aurat kita. Jadi di rumah adalah privasi untuk kita dan privasi untuk suami isteri, serta privasi untuk anak lelaki dan perempuan.”
Ketiga, rumah berfungsi sebagai tempat istirehat selepas seharian berhempas pulas di luar.
“Cuba kita bayangkan. Kita keluar bekerja, kita keluar untuk urusan-urusan dan kewajipan, kita dah berhempas pulas (seharian di luar), kemudian kita kembali ke rumah. Untuk apa? Untuk berehat. Tak ada tempat lain yang sepatutnya jadi lebih baik daripada rumah sebagai tempat kita berehat,” ujarnya.
Keempat, rumah sebagai sumber kasih sayang yang membina hubungan sesama ahli keluarga.
Katanya, “Rumah ini dihuni oleh orang-orang yang paling sayang pada kita. Rumah ini adalah tempat tinggal orang-orang yang kita sangat sayang. Bila orang-orang yang saling menyayangi tinggal dalam satu rumah, maka hidup dengan kasih sayang ini menenangkan. Ibu ayah saling tolong-menolong, saling bertoleransi, saling memberi dan menerima. Jadi itulah rumah yang kita mahukan.”
Namun katanya, ketenangan rumah boleh berubah menjadi neraka apabila dipenuhi konflik dan hilang komunikasi.
“Apabila rumah tangga menjadi tempat pergaduhan, pertengkaran, keganasan, bila masing-masing hidup dalam tekanan, si ibu mula mengungkit penat cari duit, ayahnya pula ada skandal, komunikasi dalam rumah pun memang tidak ada, maka kasih sayang hilang. Jadi sudah tak pelik dah kalau hari-hari kita dengar pergaduhan, sehingga orang kata boleh saling berbunuh. Banyakkan sekarang kes-kes anak bunuh mak. Memang mengerikanlah keadaan sekarang hari ni,” ujarnya memberikan serangkaian contoh realiti semasa yang menjadikan sebuah rumah sebagai neraka.
Beliau berpendapat bahawa situasi ini sepatutnya tidak berlaku dalam keluarga Muslim kerana rumah sepatutnya menjadi tempat paling damai kerana di dalamnya tinggal sekumpulan orang yang mempunyai hubungan yang dekat dan saling mencintai. Setiap ahli keluarga pada hakikatnya bukanlah musuh antara satu sama lain, dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.
Sambungnya, “Tetapi kerana semua hilang peranan masing-masing, dan perkara ni adalah kehancuran yang strategik. Bila ibu tadi tidak mendidik anak-anak dia, tidak mengingatkan suami tentang apa tujuan rumah tu tadi, malah semua fokus kepada materialistik, maka apa yang terjadi di rumah tu sendiri adalah, anak-anak yang materialistik, cinta kepada hedonisme, cinta kepada kebebasan dan akhirnya bebas melakukan apa-apa sahaja.”
Kelima, rumah sebagai madrasah pertama yang membentuk asas akidah dan akhlak anak-anak.
“Di rumah inilah kita mendapat pelbagai ilmu berkaitan akidah yang menyebabkan timbul rasa cinta kepada yang Maha Esa, timbul rasa cinta kita kepada nabi kita Muhammad SAW. Jadi rumah yang menjadi madrasah pertama yang meletakkan al-Quran dan sunnah tu sebagai pegangan hidup pastilah akan melahirkan rumah yang sakinah,” katanya.
Beliau turut menyorot masalah hilangnya peranan ayah dalam kebanyakan keluarga turut memberi kesan kepada pendidikan keluarga. Lebih-lebih lagi, kebanyakan ayah hari ini hanya dianggap pencari nafkah, namun tiada penglibatan dalam mendidik anak.
“Kalau kita lihat budaya hidup di sesetengah tempat, ayah dianggap hanya bekerja mencari duit semata-mata. Penglibatan lelaki dalam urusan rumah tangga hampir tiada. Maka peranan ayah pun hilang, sebab terlalu sibuk dengan kerja. Kadang-kadang kerana tekanan sistem sekular dan kapitalis, seorang ayah terpaksa melakukan dua hingga tiga pekerjaan untuk menyara keluarga. Padahal, ibu dan ayah masing-masing ada peranan penting untuk memberi didikan. Ayah sepatutnya menjadi role model kepada anak-anaknya. Bayangkan, kalau anak melihat ayah pulang hanya untuk bermain permainan video, merokok vape, atau keluar melepak dengan kawan-kawan hingga lewat malam. Budaya pendidikan tidak wujud, suasana pendidikan dalam rumah pun hilang,” ujarnya dalam nada kecewa.
Lebih parah, katanya, salah faham tentang standard rumah syurga telah menyebabkan kemaksiatan menjadi kebiasaan dalam keluarga. Hal ini menyebabkan rosaknya nilai-nilai `rumah syurga’ yang didambakan.
Katanya, “Standard ketenangan pun dah lari. Orang melihat ketenangan tu apabila duduk bersama-sama ahli keluarga berkaraoke, berpelukan sepupu dan sepapat, bertepuk tampar, tidak menjaga dan sebagainya yang berlaku dalam keadaan penuh dengan kemaksiatan. Itu semua berlaku dalam rumah yang sepatutnya menjadi syurga, namun malangnya aktiviti-aktiviti tu adalah aktiviti yang tidak menggambarkan syurga.”
Sebagai penutup, beliau menitipkan pesanan supaya ibu bapa kembali melaksanakan peranan masing-masing dan setiap keluarga Muslim perlu keluar daripada pelbagai krisis kekeluargaan masa kini dengan kembali mengurus rumah dengan syariat, bukan berdasarkan sistem sekular-kapitalis.
“Macam mana tak nak jadikan rumah tu sebagai kuburan? Berpeganglah kepada al-Quran dan sunnah. Kita tak boleh jadi orang yang sekular, kita kena jadi orang yang mengatur semua urusan kehidupan kita dengan Islam. Kita kena kembalikan peranan kita. Kembalikan peranan ayah, kembalikan peranan ibu. Ibu itu perlu tahu tanggungjawab dia, begitu juga dengan ayah, yang sepatutnya berfungsi sebagai qawwam kepada keluarganya, iaitu pelindung kepada keluarganya,” tegasnya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat