Kasih Tanpa Syarat Penawar Mujarab Kesalahan Anak
Oleh: Aliya Ab Aziz
Ahli Lajnah Muballighah MHTM, Ustazah Zaharah Buhari menyatakan bahawa kasih tanpa syarat adalah ubat paling mujarab untuk mengembalikan anak yang telah terjebak dalam sesuatu kesalahan untuk kembali ke jalan yang benar, baik kembali ke pangkuan keluarga mahupun kepada ajaran al-Quran dan syariat Islam.
“Kita mencintai anak-anak kita ini tanpa syarat. Kalau ada syarat, memang akan habislah. Contohnya, ‘Aku dah buat yang terbaik untuk anak-anak aku, inikah balasan yang kau beri pada kami?’ atau, ‘Kamu ini anak-anak yang derhaka’ dan sebagainya. Tapi ini tidak dilakukan Nabi Yaakub ya. Jadi, apa yang kita ambil pelajaran dari sini ialah kita belajar bahawa ketika anak-anak melakukan kesalahan, kasih sayang adalah ubat yang sangat mujarab untuk menarik mereka kembali berubah. Kembali semula kepada keluarganya. Kembali semula kepada ajaran al-Quran dan syariat Islam. Jadi, penawar yang paling ampuh ialah kasih sayang. Beri kasih sayang, beri cinta kepada mereka, bukan sebaliknya,” ujarnya dalam Siri Tadabbur Khas Keluarga Al-Quran di laman Facebook Muslimah HTM bertajuk Sabar Menghadapi Konflik, Sabtu (6/9/2025).
Ketika mentadabbur hikmah Surah Yusuf ayat 83-89, beliau menekankan Nabi Yaakub wajar dijadikan teladan sebagai bapa yang penyabar dalam menghadapi konflik keluarga. Beliau mengingatkan firman Allah SWT yang bermaksud, `Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku’ adalah satu contoh nyata bagaimana kesedihan boleh diurus dengan iman.
Seterusnya beliau berkata, “Cinta kepada anak-anak itu memang tidak akan pernah padam, walau bagaimana keadaan anak itu. Sama ada anak yang nakal, tak dengar kata, anak yang kasar dan sebagainya, tapi dia (Nabi Yaakub) tetap konsisten. Dia tetap melaksanakan sabrun jamil (فَصَبْرٌ جَمِيلٌ) ini walaupun menanggung segala penderitaan itu di dalam dirinya sendiri.”
Menurutnya, walaupun Nabi Yaakub merasa sedih oleh sikap khianat anak-anaknya, namun beliau tidak pernah menghukum atau melepaskan marah, sebaliknya memilih sabrun jamil, yakni sabar yang indah, sabar tanpa keluh-kesah, tanpa memutuskan kasih sayang.
“Kesabaran yang indah itu ialah bagaimana dia mampu mengawal segala permasalahan yang berlaku, walau dua orang anak hilang sekali gus,” katanya ketika memberi contoh situasi bagaimana kuat dan indahnya kesabaran Nabi Yaakub ketika diuji dengan kehilangan anak yang dikasihi.
Tambahnya lagi, termasuk dalam konsep sabrun jamil adalah berdoa dan berusaha, serta bertawakal yakni menyerahkan urusan kepada Allah SWT. Inilah tiga inti utama daripada pengajaran Nabi Yaakub kepada 12 anak lelakinya tentang keyakinan pada ilmu dan hikmah.
Terkait hal ini, beliau mengatakan, “Ilmu dia (Nabi Yaakub) tadi ialah: kamu (anak-anaknya) kena berdoa, kamu kena bertawakal kepada Allah, kamu kena berusaha. Tadi (Nabi Yaakub) menyuruh mencari adik-adiknya, kan? Jadi doa itu adalah satu kekuatan ya. Doa sememangnya adalah kekuatan bagi kita, juga bagi seluruh umat Islam sehingga ke hari ini. Ini adalah jalan untuk kita menyerahkan segala-galanya tu kepada Allah SWT, ketika kita telah berusaha. Kemudian kita berdoa dan bertawakal ya insyaAllah.”
Beliau turut memperingatkan bahawa ujian anak-anak termasuk ujian dalam kehidupan yang datangnya daripada Allah SWT. Oleh itu sebagai hamba, kita hendaklah redha dengan ketetapan Allah SWT. Sebaliknya, sikap berkeluh kesah, putus harapan, merungut dan sebagainya dalam menghadapi ujian adalah sikap tidak redha kepada Allah SWT itu sendiri.
“Apa saja cabaran rintangan yang Allah berikan kepada kita, Allah tahu kita sangat mampu, kita sanggup menghadapinya, dan itulah bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya. Jadi, ibu bapa hendaklah menjadi role model, menjadi contoh bagaimana untuk mengawal emosi dalam apa jua keadaan yang berlaku dalam sesebuah keluarga itu,” ujarnya ketika memperingatkan ibu bapa agar menunjukkan contoh pengurusan emosi yang baik kepada anak-anak dalam menghadapi ujian dan konflik.
Selain itu, beliau turut berpesan bahawa dalam mendidik anak, doa adalah kekuatan sebenar ibu bapa agar tidak tenggelam dalam putus asa, sebagaimana Nabi Yaakub tidak pernah berhenti menaruh harapan walau menunggu lebih 25 tahun. Alhasil, anak-anaknya kembali kepadanya, dan juga kembali ke jalan Allah SWT. Mereka akhirnya kembali bersatu sebagai sebuah keluarga yang aman dan bahagia.
Beliau kemudian memetik pesanan Nabi Yaakub kepada anak-anaknya dalam surah Yusuf ayat 87, “Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”
Berdasarkan ayat ini juga, beliau menegaskan bahawa doa dan harapan yang kekal optimis adalah indikasi keimanan kepada Allah. Jadi, keluarga moden yang mahu membina keluarga yang kukuh sebagaimana keluarga Nabi Yaakub yang beriman hendaklah sabar, aktif dan tidak mudah menyerah dengan cabaran. Keluarga Muslim perlu terus berusaha dan bersikap tenang menghadapi konflik keluarga sebagaimana yang diteladankan oleh Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS.
“Harapan yang berterusan optimis, walaupun realitinya amat sukar, macam tak ada jalan keluar. Tapi sentiasa ada harapan; dengan doa-doa, dengan usaha yang kita lakukan, dengan kasih yang memulihkan, menerima anak kembali tanpa menghina masa lalu mereka. Jangan diungkit-ungkit. Jangan disebut kesalahan mereka,” nasihat beliau sebagai penutup.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#KeluargaAlQuran