Bagaimana Sepatutnya Hubungan Antara Penguasa dan Rakyat?
Penulis: Titi Hutami
Selepas tragedi rusuhan pada akhir Ogos lalu, ramai pihak menumpukan perhatian kepada hubungan antara penguasa di Indonesia dengan rakyatnya. Penguasa tidak peka terhadap kehidupan rakyat, manakala rakyat pula terlalu mudah terprovokasi akibat tekanan hidup. Keadaan ini kemudiannya mencetuskan inisiatif untuk memperbaiki hubungan antara penguasa dan rakyat.
Ketua Umum Institut Persahabatan Pertubuhan Islam (LPOI), Said Aqil Siroj, menegaskan bahawa golongan elit (penguasa) dan rakyat perlu dihubungkan melalui ikatan silaturahim. Beliau mengajak seluruh elemen bangsa untuk memperkukuh tradisi silaturahim sebagai jambatan komunikasi yang berkesan dalam memelihara perpaduan nasional serta mencegah salah faham antara dua pihak. (Antara News, 2-9-2025).
Menurut Timbalan Pengerusi Umum MUI, K.H. Marsudi Syuhud, terdapat beberapa garis panduan etika yang wajar diambil kira dalam menyampaikan dan menanggapi kritikan terhadap dasar umum. Pertama, pembuat dasar perlu mendengar kritikan yang disampaikan sebagai bentuk aspirasi masyarakat. Kedua, pembuat dasar juga perlu meneliti keadaan masyarakat, sama ada dari segi ekonomi, sosial, mahupun hubungan pembuat dasar dengan pihak-pihak yang berkaitan secara langsung dengan dasar tersebut. Ketiga, bertindak secara adil (setimpal dan berkadar) dalam mencapai keadilan ekonomi dan sosial hasil daripada dasar yang dipersoalkan. (mui[dot]or[dot]id, 3-9-2025).
Mampukah cadangan tersebut memperbaiki hubungan antara penguasa dan rakyat sehingga dapat menghapuskan kekecewaan yang dirasai rakyat?
Kekecewaan Rakyat terhadap Penguasa
Sistem pemerintahan yang menjadi sebahagian daripada sistem kapitalisme adalah demokrasi. Penguasa, baik eksekutif mahupun legislatif, dipilih oleh rakyat setiap lima tahun sekali. Mereka mewakili rakyat dalam merangka pelbagai peraturan negara dan melaksanakannya. Harapan rakyat adalah agar peraturan tersebut mencerminkan keberpihakan penguasa terhadap rakyat, kerana mereka dipilih untuk itu.
Namun, dalam penerapannya, peraturan yang digubal penguasa ternyata tidak seiring dengan kehendak rakyat. Sebagai contoh, Akta Minerba digubal demi menguntungkan pihak pemodal. Akta Cipta Kerja pula menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat kerana peraturan-peraturannya digubal berlandaskan kepentingan golongan tertentu. Standard dalam penggubalan peraturan akhirnya menjadi tidak jelas.
Sementara itu, hakikatnya manusia mempunyai sifat lemah untuk dijadikan sandaran dalam penggubalan undang-undang. Terdapat perbezaan tahap pemikiran antara individu, termasuk kemampuan dalam memahami fakta dan akar sesuatu permasalahan. Tambahan pula, wujud pelbagai kepentingan yang berbeza. Semua ini menyebabkan undang-undang buatan manusia di suatu tempat mungkin tidak sesuai atau gagal memenuhi keperluan manusia di tempat lain.
Penguasa juga dianggap “telah dibayar mahal” oleh negara. Gaji pokok dan pelbagai elaun yang diterima mencecah ratusan juta rupiah sebulan. Belum lagi bonus-bonus tertentu yang nilainya mampu mencecah juta rupiah! Keadaan ini sangat kontra dengan kehidupan rakyat yang berhadapan kesukaran mendapatkan pekerjaan, kenaikan harga barangan asas serta bebanan cukai yang semakin menekan.
Inilah realiti sebuah negara yang menggelarkan dirinya sebagai negara demokrasi. Hubungan antara penguasa dan rakyatnya justeru terpisah jauh. Penguasa tidak mempedulikan rakyat yang telah memilih mereka, tidak mendengar aspirasi rakyat, bahkan tidak mewakili kepentingan mereka. Akibatnya, rakyat sering kali terpaksa turun ke jalan untuk berdemontrasi bagi menyampaikan aspirasi, bahkan kadang rakyat sampai menuntut penguasa untuk meletak jawatan.
Pandangan Islam
Dalam sistem Islam, penguasa dipilih oleh rakyat untuk melaksanakan hukum Allah Taala. Islam mewajibkan umatnya—sama ada rakyat mahupun penguasa—untuk menerapkan seluruh peraturan tersebut.
Allah ﷻ berfirman:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَاۤفَّةً ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 208]
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَّلَا مُؤْمِنَةٍ اِذَا قَضَى اللّٰهُ وَرَسُوْلُهٗٓ اَمْرًا اَنْ يَّكُوْنَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ اَمْرِهِمْ ۗوَمَنْ يَّعْصِ اللّٰهَ وَرَسُوْلَهٗ فَقَدْ ضَلَّ ضَلٰلًا مُّبِيْنًاۗ
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” [TMQ Al-Ahzaab (33): 36]
Berdasarkan ayat-ayat tersebut, penguasa dituntut untuk bertanggungjawab melaksanakan seluruh hukum Islam dalam urusan pemerintahan dan pengaturan urusan rakyat. Keperluan asas rakyat wajib dipenuhi, termasuk pakaian, makanan, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Hasil kekayaan alam hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi hajat hidup rakyat, bukan dikuasai oleh penguasa atau pihak pemodal (asing atau tempatan) sebagaimana yang berlaku dalam sistem demokrasi-kapitalisme.
Penguasa juga hendaklah sentiasa takut kepada Allah apabila berurusan dengan harta rakyat. Terdapat kisah Saidina Umar bin al-Khattab RA ketika beliau menjadi khalifah, apabila pembantunya memberikan susu daripada unta milik rakyat, beliau berkata: “Celakalah engkau! Engkau memberiku minuman dari api neraka.” (Riwayat hasan, diriwayatkan oleh Ibnu Zanjawiyyah dalam al-Amwāl dan Ibnu Syabbah dalam Tārīkh al-Madīnah)
Saidina Umar bin al-Khattab RA merupakan contoh seorang penguasa yang adil dan bertanggungjawab terhadap urusan rakyat, serta memiliki rasa takut yang mendalam kepada Allah. Sebagai contoh, beliau sendiri pernah memikul sekarung gandum untuk diberikan kepada seorang ibu dan anak-anaknya yang kelaparan.
Demikianlah indahnya hubungan antara penguasa (yang taat kepada Allah) dan rakyatnya. Sesungguhnya ketaatan kepada hukum Allah sentiasa membawa kebaikan kepada semua pihak.
Firman-Nya,
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” [TMQ Al Anbiyaa’ (21): 107]
Makna ayat tersebut menunjukkan bahawa Rasulullah ﷺ diutus untuk menyebarkan syariat Allah. Syariat itu mengandungi rahmat; maksudnya tatkala hukum Islam diterapkan, ia akan mendatangkan maslahat. Demikian juga apabila sebuah negara diatur dengan hukum Islam, rakyat akan terjamin kehidupannya dan segala keperluannya akan dipenuhi.
Di sisi lain, Islam mewajibkan rakyat untuk taat kepada penguasa. Firman Allah ﷻ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [TMQ An Nisaa’ (4): 59]
Demikian juga sabda Rasulullah ﷺ. Dari sahabat Nabi ﷺ, Abu Hurairah, dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, “Barang siapa taat kepadaku, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah. Dan barang siapa derhaka kepadaku, maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Barang siapa taat kepada pemimpin, maka sesungguhnya dia telah taat kepadaku. Dan barang siapa derhaka kepada pemimpin, maka sesungguhnya dia telah derhaka kepadaku.” (HR Muslim).
Oleh itu, selagi dasar penguasa selaras dengan syariat Islam, rakyat wajib mentaatinya, sama ada mereka suka atau tidak. Namun, apabila wujud penyimpangan daripada syariat, kewajipan utama rakyat adalah melakukan muhasabah atau membetulkan penguasa.
Bahkan, muhasabah terhadap penguasa dikatakan sebagai bentuk amar makruf nahi mungkar yang terbesar, iaitu membetulkan kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat. Betapa mulianya amalan muhasabah ini sehingga Nabi ﷺ menyebutnya sebagai jihad yang paling utama. Baginda ﷺ bersabda:
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
“Jihad yang paling utama adalah mengatakan keadilan di hadapan penguasa zalim.” (HR Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ad-Dailami).
Aktiviti muhasabah terhadap penguasa dilakukan untuk mengingatkan bahawa mereka hanyalah hamba Allah yang akan dihisab atas segala amal perbuatan mereka di dunia.
Umat Terbaik
Daripada penguasa yang melaksanakan hukum Islam secara menyeluruh (kāffah) dan rakyat yang mentaatinya, jelaslah bahawa Islam telah menunjukkan cara terbaik dalam menjalin hubungan antara penguasa dan rakyat.
Penguasa dan rakyat saling membantu dalam ketaatan kepada Allah, saling menasihati serta melakukan amar makruf nahi mungkar, dan bersama-sama merasakan ketenteraman. Dengan demikian, hubungan rakyat dan penguasa dalam Islam akan tergambar seperti dalam hadis Berikut:
عن عوف بن مالك رضي الله عنه مرفوعاً: «خِيَارُ أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم، وتُصَلُّون عليهم ويصلون عليكم. وشِرَارُ أئمتكم الذين تبُغضونهم ويبغضونكم، وتلعنونهم ويلعنونكم!»، قال: قلنا: يا رسول الله، أفلا نُنَابِذُهُم؟ قال: «لا، ما أقاموا فيكم الصلاة. لا، ما أقاموا فيكم الصلاة».
[صحيح] – [رواه مسلم]
Dari ‘Auf bin Malik RA secara marfū’, “Sebaik-baik pemimpin kalian adalah orang-orang yang kalian cintai dan mencintai kalian, kalian mendoakan mereka dan mereka pun mendoakan kalian. Dan seburuk-buruk pemimpin kalian adalah orang-orang yang kalian benci dan membenci kalian, kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian.” (DIa) berkata, “Kami pun bertanya, ‘Adakah kami boleh melawan mereka?’ Beliau SAW menjawab, ‘Tidak, selama mereka menegakkan solat di tengah kalian.’” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Muslim).
Maka, hubungan serasi antara penguasa dan rakyat akan membawa umat Islam kepada predikat sebagai umat terbaik.
Firman Allah ﷻ:
كُنتُمْ خَيرَ أُمَّةٍ أُخرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأمُرُونَ بِٱلمَعرُوْفِ وَتَنهَوْنَ عَنِ ٱلمُنْكَرِ وَتُؤمِنُوْنَ بِٱللَّهِ
“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah..” [TMQ Ali Imran (3): 110]
Akhirnya, setiap insan sepatutnya mengambil pelajaran daripada realiti kehidupan kapitalisme yang menyengsarakan rakyat, lalu membandingkannya dengan kehidupan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kembali kepada kehidupan Islam sepatutnya menjadi tekad bagi setiap Muslim. Inilah satu-satunya jalan untuk mewujudkan predikat khairu ummah (umat terbaik) yang telah dijanjikan Allah.
Wallahualam bissawab.
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/09/21/38731/
#pemimpin #rakyat #politik #demokrasi #khilafah #demokrasisistemgagal