Genosid dan Hipokrasi – Bagaimana Washington Mengingkari Rakyatnya Sendiri
Pentadbiran Amerika Syarikat yang diterajui oleh Donald Trump kini mengikuti jejak langkah para sekutunya dalam kalangan pemerintah zalim dunia Arab dan Islam – mereka yang mengabaikan suara rakyat, memerintah dengan kuku besi, dan mengabaikan akidah serta nilai-nilai Ummah.
Walaupun tinjauan pendapat awam terkini di Amerika menunjukkan penurunan ketara dalam sokongan orang ramai terhadap tindakan membekalkan senjata kepada entiti Zionis untuk genosidnya di Gaza, serta desakan yang semakin kuat untuk menyekat bantuan ketenteraan AS, Trump dengan bangganya berucap di Knesset tentang penggunaan senjata Amerika. Dia menyatakan, “Kami menghasilkan senjata terbaik di dunia, dan kami telah memberikan banyak daripadanya, dan kami telah memberikan banyak daripadanya kepada ‘Israel’. Terus terang, Benjamin [Netanyahu] sering menghubungi saya – ‘Boleh dapatkan senjata ini, senjata itu,’ malah beberapa daripadanya saya tidak pernah dengar sebelum ini.” Dia menambah, “Tapi kami berjaya menghantarnya ke sini, betul?” Trump turut memuji kecekapan entiti Zionis menggunakan senjata tersebut dan berkata, “Israel telah belajar cara menggunakannya dengan baik.” (Al Jazeera)
Salah satu petunjuk paling ketara tentang penolakan awam datang daripada tinjauan Gallup yang menunjukkan hanya 32% rakyat Amerika menyokong operasi ketenteraan ‘Israel’ di Gaza, manakala 60% menentangnya. Kajian Pusat Penyelidikan Pew mendapati 33% orang dewasa Amerika percaya Washington memberikan bantuan ketenteraan yang berlebihan kepada ‘Israel’, sementara 35% berpendapat bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin adalah tidak mencukupi. Begitu juga, tinjauan Quinnipiac mendedahkan bahawa 60% pengundi Amerika menolak penghantaran bantuan ketenteraan tambahan kepada ‘Israel’.
Dapatan ini menunjukkan bahawa dasar pentadbiran tersebut tidak mencerminkan pandangan pengundi Amerika, mendedahkan adanya jurang besar antara dasar rasmi dan kehendak rakyat. Malah dalam parti-parti politik utama sendiri, sokongan terhadap entiti Zionis semakin merosot. Dalam kalangan Demokrat, 75% membantah penghantaran bantuan ketenteraan tambahan; dalam kalangan bebas, 66% berkongsi pandangan sama; dan bahkan dalam kalangan Republikan – yang secara tradisi merupakan penyokong kuat – hanya 56% menyokong bantuan ketenteraan tambahan.
Angka-angka ini mencerminkan perubahan ketara dalam sikap rakyat Amerika terhadap ‘Israel’, serta desakan yang semakin meningkat untuk menghadkan bantuan ketenteraan AS, didorong oleh kebimbangan mendalam terhadap keganasan yang semakin memuncak dan kesannya yang menghancurkan ke atas rakyat Palestin di Tanah yang Diberkati itu.
Pendirian kolektif dunia Barat – yang kononnya mewakili “dunia bebas” – dalam menyokong jenayah entiti Zionis di Gaza, membekalkannya dengan senjata, dana, serta perlindungan politik dan media untuk mengabsahkan kekejamannya, sekali lagi membongkar hipokrasi tamadun Barat. Perhimpunan mereka di persidangan Sharm El-Sheikh untuk meraikan “kemenangan” ke atas kanak-kanak, wanita, warga tua, serta kemusnahan hospital, sekolah dan masjid mendedahkan wajah sebenar sebuah tamadun yang dibina atas berabad-abad penindasan dan eksploitasi – tamadun yang terus berkhutbah tentang kebebasan, hak asasi manusia, dan penentuan nasib sendiri, tetapi mengkhianati nilai-nilai itu dalam tindakan sebenar mereka.
Oleh itu, menjadi kewajipan bagi masyarakat dunia, terutamanya yang terulung dalam dunia Islam – untuk berusaha menggantikan sistem kapitalis sekular yang berasaskan eksploitasi dan telah membawa penderitaan serta kerosakan kepada kemanusiaan, dengan sistem Islam yang berpaksikan wahyu Ilahi. Tidak seperti kapitalisme, yang berubah menjadi diktator bagi melindungi kepentingan elit kewangan, Islam menawarkan satu sistem tatanan yang adil dan bermoral, yang mencerminkan kehendak rakyat sebenar serta menjamin kepentingan mereka di bawah bimbingan Ilahi.
#armiestogaza #armiestoaqsa #StopGenocideOfPalestinians #speakupforpalestine #FreePalestine #rejecttrumpdeal #tolaktrump