Ustazah Husna: Setiap Perbuatan Kita Ada Ibadahnya Kepada Allah SWT
Oleh: Rahmah
Aktivis Muslimah, Ustazah Husna menyatakan bahawa setiap perbuatan kita ada ibadahnya kepada Allah SWT.
“Setiap perbuatan kita itu ada ibadahnya kepada Allah Taala. Agama itu adalah kehidupan, kehidupan itu adalah agama. Maksud saya, setiap perbuatan kita ada ‘agama’nya,” ujarnya dalam tazkirah bertajuk ‘Sekularisme Racun Halus Jiwa Pelajar’ di Program Ukhuwwah Mahabbah Fillah, Isnin (10/11/2025).
Beliau melanjutkan dengan memberikan contoh, “Kita makan, kita mesti cari yang halal, kan? Itu kita belajar dari mana? Mesti kita belajar dari agama, kan? Makan makanan halal, ada caranya, ada tatacara dia. Itu bab makan. Kalau kita nak berpakaian, kita belajar, kita tutup aurat secara sempurna sebab dalam syariat kata wanita yang baligh itu ada dua je yang boleh nampak, muka dan tapak tangan. Itu dari belajar agama, kan?” katanya.
Menyikapi realiti sahsiah remaja yang semakin membimbangkan, beliau menyatakan pandangannya bahawa penerapan ilmu agama adalah sangat kurang di sekolah sehingga pelajar tidak menerapkannya dalam kehidupan.
“Kalau kita tengok di sekolah-sekolah, penerapan ilmu agama itu agak sangat kurang bila mana di sekolah dia hanya ajar yang akademik, tapi dia tak menerapkan ‘agama itu adalah kehidupan’. Maksudnya ramai orang yang bijak pandai sekarang ini tapi adakah orang yang pandai-pandai mereka itu bersahsiah mulia?” ujarnya.
Menurutnya lagi, ramai cerdik pandai berjaya dilahirkan dalam sistem pendidikan yang diterapkan sekarang namun mereka tidak bersahsiah Islam kerana bermaksiat pada Allah SWT tanpa rasa bersalah. Mereka telah gagal menyatukan agama dalam kehidupan seharian.
“Satu lagi, siapa pernah dengar pasal Sufiah, dia umur 13 tahun dah masuk Universiti Oxford. Kerana apa? Dia ni seorang yang bijak matematik. Tapi apa jadi bila dia kat luar negara? Dia jadi pelacur. Nak kata tak mungkin seorang Muslim tak tahu benda itu adalah haram. Betul, kan? Jadi kepandaian dia itu, dia tak menggabungkan agama dalam kehidupan,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan kegusarannya terhadap masa depan negara jika generasi muda tidak memiliki sahsiah Islam. Menurutnya, setiap daripada kita berperanan untuk mengubah sistem kehidupan yang ada kepada sistem Islam secara menyeluruh.
“Seandainya kita ini nak merubah anak-anak kita ini menjadi seorang yang bersahsiah mulia seperti yang Islam tetapkan, kita semua ini perlulah merubah sistem yang ada sekarang ini,” ungkapnya.
Beliau berpandangan bahawa mengubah sistem yang ada kepada sistem Islam tidaklah mudah, namun ia tidak mustahil untuk diusahakan bersama. Menurutnya lagi, keyakinan akan syariat Islam yang diturunkan Allah SWT adalah penting agar setiap daripada kita bersedia melakukan perubahan.
“Adakah kita ini benar-benar yakin bahawasanya hukum syarak itu satu-satunya jalan hidup kita? Tanya diri sendiri. Kita yang tahu diri kita, kan. Kalau kita rasa macam yakin hukum syarak inilah satu-satu jalan kehidupan, insya Allah, Allah bagi kemudahan untuk kita berjuang dalam dakwah,” akhirinya.