Adab Sebelum Ilmu atau Ilmu Sebelum Adab?
Oleh: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Pertama, mari kita semak ungkapan berikut yang terdapat dalam banyak kitab tentang adab, misalnya Tadzkirah al-Sami’ wa al-Mutakallim, dll:
قال حبيب بن الشهيد لابنه: يا بني اصحب الفقهاء والعلماء وتعلّم منهم وخذ من أدبهم؛ فإن ذلك أحبّ إليّ من كثير من الحديث.
Habib bin al-Syahid berkata kepada puteranya: “Wahai anakku, bergaullah dengan para fuqaha dan para ulama, pelajarilah ilmu dari mereka, dan ambillah adab mereka. Sesungguhnya itu (adab) lebih aku sukai dibandingkan banyaknya meriwayatkan hadis (tanpa adab).”
Habib bin al-Syahid menegaskan bahawa berguru kepada ulama bukan hanya untuk ilmu, tetapi untuk meniru adab dan akhlaknya, kerana adab merupakan perkara penting yang membuatkan ilmu menjadi bermanfaat.
Kedua, kaitan dengan ungkapan “adab sebelum ilmu”. Banyak ulama mengucapkan kalimat serupa, misalnya:
Imam Malik berkata:
تعلم الأدب قبل أن تتعلم العلم
“Pelajarilah adab sebelum engkau belajar ilmu.”
Imam Ibn al-Mubarak berkata:
نحن إلى قليل من الأدب أحوج منا إلى كثير من العلم
“Kita lebih memerlukan sedikit adab daripada banyak ilmu.”
Apakah maksudnya?
Maksud “adab sebelum ilmu” bukan secara epistemologi, tetapi secara metodologi dalam belajar bahawa seorang penuntut ilmu perlu menguasai adab sebagai dasar sebelum mendalami cabang-cabang ilmu syarie yang lain.
Ketiga, menjawab hujah “bukankah secara epistemologi, urutannya adalah ilmu melahirkan amal, kemudian akhlak dan adab”?
Ya benar. Jika yang dibicarakan adalah proses kausalitas epistemologi, maka urutannya:
Ilmu → Amal (perbuatan berdasarkan ilmu) → Akhlak dan Adab (sikap – lisan dan perbuatan] yang merupakan refleksi kesedaran)
Ertinya, adab lahir dari ilmu, bukan sebaliknya.
Keempat, lalu bagaimana menyelaraskan kedua hal tersebut?
Kedua konsep ini tidak bertentangan, kerana konteksnya berbeza:
– Epistemologi (hakikat ilmu dan pembentukan akhlak): Ilmu → Amal → Akhlak dan Adab (adab lahir dari ilmu)
– Metodologi Thalabul Ilm (proses belajar di awal): Adab sebelum ilmu (yakni belajar ilmu tentang adab terlebih dahulu sebelum ilmu lainnya)
Dengan demikian, ungkapan ulama “adab di atas ilmu” dapat difahami sebagai: mempelajari ilmu tentang adab terlebih dahulu, sebelum mempelajari ilmu yang lebih luas seperti tafsir, hadis, atau fikih. Kerana tanpa adab, ilmu justeru menjadi fitnah, melahirkan ujub, sombong, debat kusir (perdebatan yang tidak produktif) , dan tidak membawa manfaat.
Kesimpulannya:
1. “Adab sebelum ilmu” bermakna: pelajarilah ilmu tentang adab (sikap, etika menuntut ilmu, etika kepada guru, dan etika kepada Allah) sebelum mempelajari ilmu-ilmu syarie yang lain.
2. Secara epistemologi, adab memang lahir setelah ilmu, dengan alur: ilmu → amal → akhlak dan adab.
3. Secara metodologi belajar, ilmu tentang adab hendaklah dipelajari terlebih dahulu, agar ilmu yang datang kemudian menjadi bersih, berbuah, dan tidak merosak.
#ilmu #adab #akhlak #tinghkahlaku