Nasionalisme (Ashabiyyah): Belenggu Politik Barat yang Melemahkan Umat Islam Sedunia
Oleh: Arief B. Iskandar
Di tengah hiruk-pikuk dunia moden, nasionalisme terus dijulang sebagai suatu identiti mulia. Seolah-olah ia merupakan kemuncak tamadun politik manusia. Sedangkan realitinya sangat pahit. Nasionalisme adalah satu fahaman sempit yang dipropagandakan oleh kuasa Barat penjajah untuk memecah-belahkan umat Islam sedunia ke dalam ratusan kotak bernama nation-state (negara-bangsa). Setiap kotak berdiri dengan ego masing-masing. Akibatnya, tubuh umat yang sepatutnya satu—ummatan wahidah—terpotong-potong menjadi lemah tanpa daya.
Lihatlah Gaza. Lihatlah Sudan. Dua tragedi yang menampar muka kita. Namun tangan kita tidak mampu terangkat untuk membela. Mengapa? Kerana setiap negeri Muslim terpenjara dalam garisan sempadan nasionalisme dan negara-bangsa ciptaan kolonial. Akibatnya, kita sibuk menghitung sempadan wilayah. Kita takut melanggar undang-undang antarabangsa yang dibentuk oleh penjajah yang sama sekali tidak peduli terhadap darah umat Islam yang tertumpah.
Sedangkan Allah SWT telah menegaskan bahawa umat Islam itu ‘satu tubuh’:
إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah Aku.” [TMQ al-Anbiyaa’ (21): 92]
Namun nasionalisme menampar ayat ini dan berkata: “Tidak! Kamu orang Mesir. Kamu orang Indonesia. Kamu orang Turki. Kamu orang Sudan. Kamu orang Gaza. Urus negara masing-masing!”
Kesannya, ketika genosid berlaku di Gaza, negara-negara Muslim hanya berani mengeluarkan kecaman. Ketika Sudan dilanda konflik dan pembersihan etnik, Dunia Islam hanya mampu mengadakan persidangan, yang hasilnya tidak lebih kuat daripada tisu basah.
Sedangkan Rasulullah ﷺ telah memperingatkan:
المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه
“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya. Dia tidak menzalimi saudaranya dan tidak menyerahkan saudaranya itu (pada kezaliman).” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Namun nasionalisme mengajar kita melakukan yang sebaliknya: menyerahkan saudara-saudara kita kepada penjajahan, kekejaman dan pembantaian, kerana “itu urusan negara lain.”
Sudah sekian lama umat Islam di seluruh dunia dipaksa mencintai bendera masing-masing, bukan akidah; mempertahankan tanah air, bukan syariah; serta tunduk kepada undang-undang nasional, bukan hukum Allah SWT. Akibatnya, lahirlah umat yang terpecah-belah, kehilangan kekuatan politik dan tidak mampu berhadapan dengan hegemoni global. Inilah yang diinginkan kolonialisme sejak awal: memecah-belah, kemudian menguasai (divide et impera).
Sedang Islam telah mengajarkan penyatuan politik global di bawah satu kepimpinan. Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الْآخَرَ مِنْهُمَا
“Jika dibaiat dua khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” (HR Muslim)
Ini merupakan bukti jelas bahawa Islam mengharamkan adanya banyak kepimpinan politik bagi umat. Ertinya, memadai seorang Khalifah bagi seluruh kaum Muslim di dunia. Persatuan di bawah satu kepimpinan Islam global (Khilafah) bukan sekadar idealisme spiritual, tetapi kewajipan syarie serta strategi politik global.
Justeru itu, selagi umat Islam terus menjadikan nasionalisme sebagai kiblat politik, tragedi seperti di Gaza dan Sudan akan terus berulang. Umat hanya mampu menangisi, tetapi tidak mampu menolong. Lebih memilukan, sebahagian negara Muslim malah bersekutu dengan pihak yang menumpahkan darah saudara mereka sendiri—demi kepentingan nasional.
Nasionalisme telah menjadikan umat Islam satu bangsa dari segi akidah, tetapi bermusuhan dari segi negara.
Sudah tiba masanya umat bangkit dan menyedari hakikat pahit ini: nasionalisme bukan pelindung, tetapi belenggu kekuatan umat.
Penyelesaiannya bukan menampal kelemahan sistem yang cacat ini, tetapi kembali kepada sistem yang menyatukan umat di bawah satu kepimpinan dan satu hukum: Khilafah ‘alaa minhaj an-Nubuwwah.
Hanya melalui penyatuan di bawah institusi Khilafah, kekuatan umat dapat kembali teguh, tangan dapat kembali mengangkat pedang kebenaran dan penindasan serta genosid terhadap saudara-saudara kita dapat dihentikan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
«إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ، يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ»
“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai. Umat berperang di belakangnya dan berlindung dengan dirinya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan beberapa perkara penting:
1. Khalifah merupakan pelindung (junnah). Ini merupakan fungsi politik, ketenteraan dan keselamatan yang tidak mungkin dapat dipenuhi oleh “imam tempatan” atau pemimpin nasional dalam kerangka negara-bangsa.
2. Umat berperang di belakang seorang Khalifah, bukan melalui dasar setiap negara secara berasingan. Ini bererti dasar jihad, pertahanan dan hubungan luar negara bersifat pusat, bukan nasional.
3. Dengan adanya Khalifah, umat memiliki pelindung politik yang memelihara darah, maruah dan kedaulatan mereka.
Tanpa seorang Khalifah yang memimpin seluruh umat—sebagaimana keadaan umat Islam pada hari ini—fungsi “perisai” itu lenyap. Akibatnya, umat dibiarkan terdedah dan lemah, mudah menjadi sasaran keganasan, penjajahan dan genosid, sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Sudan.
Kesimpulannya, hanya melalui institusi pemerintahan Islam global (Khilafah)—sebagaimana yang wujud berabad-abad lamanya—umat Islam akan kembali menjadi umat yang kuat, bermaruah dan ditakuti oleh kuasa-kuasa penjajah Barat.
#KesatuanUmat #HakikatNasionalisme #TegakKhilafah #PolitikIslam #PolitikDunia #IsuUmatIslam #KhilafahPerisaiUmat