Melangkaui “Konflik Generasi” Barat: Mengapa Islam Mengiktiraf Perbezaan, Bukan Perpecahan?
Satu Renungan Intelektual Islam tentang Generasi, Nilai, dan Mitos Konflik Antara Generasi
Dalam sosiologi Barat, istilah konflik generasi digunakan secara meluas untuk menggambarkan ketegangan antara golongan muda dan tua. Ketegangan ini sering dibingkaikan sebagai perbezaan besar dalam nilai, norma, pilihan hidup, dan soal kebebasan. Namun konsep ini, yang lahir daripada perkembangan sejarah dan falsafah tertentu, tidak boleh dipindahkan begitu sahaja ke dalam konteks Islam. Jika dilakukan demikian, maka ia akan mengakibatkan pengabaian terhadap perbezaan mendasar (asas) yang radikal yang membentuk masyarakat Islam.
Makalah ini mengkaji maksud istilah konflik generasi dalam konteks Barat, bagaimana falsafah sosial Barat menghasilkan dan mengekalkan konflik sedemikian, serta mengapa Islam — baik dari sudut asas teologi mahupun amalan sejarahnya — tidak melihat perbezaan generasi sebagai konflik. Sebaliknya, Islam mengiktiraf perbezaan tanpa perpecahan: satu bentuk keharmonian peranan di mana generasi Muslim yang muda dan tua bersama-sama menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Kita juga akan meneliti contoh sejarah tentang peranan perintis yang dimainkan oleh para pemuda dalam mempertahankan dan membina masyarakat Islam awal (terdahulu), menunjukkan bahawa Islam tidak melihat anak muda sebagai penentang orang tua mereka, tetapi sebagai pasangan atau sekutu dalam memikul tanggungjawab.
Memahami Konsep “Konflik Generasi” Barat
Istilah konflik generasi menggabungkan dua konsep sosiologi:
Generasi: sekumpulan individu atau kohort yang lahir dalam jangka masa yang hampir sama dan berkongsi pengalaman sosial yang serupa.
Konflik: pertembungan pandangan, kepentingan/minat, atau tingkah laku.
Oleh itu, konflik generasi berlaku apabila kohort yang lebih muda dan lebih tua bertembung dari segi nilai, keutamaan, dan pandangan kehidupan (worldview). Ahli sosiologi Barat mengenal pasti beberapa jenis konflik sedemikian. Fikirkan tentang ekonomi, budaya, dan sosial yang mana dimensi sosial (keluarga, autoriti, gaya hidup, norma) adalah yang paling menonjol.
Namun hal yang paling penting ialah masyarakat Barat dibina atas dua tonggak falsafah yang secara semula jadi menjana ketegangan antara generasi:
- Individualisme
Setiap orang digalakkan mencari pemenuhan diri (peribadi) secara bebas daripada tanggungjawab kolektif. Prinsip terasnya ialah autonomi, ekspresi diri, pemilikan peribadi, dan kuasa membuat keputusan sendiri atau penentuan nasib sendiri. Pada usia lapan belas tahun, seseorang dijangka telah pun berdikari sepenuhnya dari sudut perundangan dan budaya.
- Relativiti Nilai
Norma tidak tetap; ia sentiasa ditafsirkan semula. Apa yang dianggap bermoral atau terhormat lima puluh tahun lalu mungkin dianggap sebagai kekangan pada hari ini. Norma pakaian, peranan jantina, jangkaan keluarga, dan tingkah laku awam sentiasa berubah, dibentuk semula oleh setiap generasi baru.
Apabila setiap generasi “mengemas kini” pandangan hidupnya (worldview) berdasarkan trend semasa, pertembungan antara nilai ibu bapa dan anak-anak pun menjadi hampir tidak dapat dielakkan.
Akibatnya dapat dilihat dengan jelas: ketegangan keluarga yang semakin meningkat, rasa hormat antara generasi semakin melemah, dan wujud keperluan campur tangan kerajaan dalam bentuk khidmat belia, kaunseling, latihan tingkah laku dan sokongan psikologi. Semua intervensi ini cuba merawat gejala, bukan punca utamanya.
Mengapa Konsep Ini Tidak Terpakai dalam Islam
Pemikiran Islam dibina berdasarkan dua prinsip yang sangat bertentangan dengan model Barat:
- Masyarakat (Ummah) vs Individualisme Radikal
Islam menolak hiper-individualisme. Manusia ialah sebahagian daripada sebuah ummah yang hidup dan saling berkait. Nabi SAW bersabda:
‘Kamu melihat orang-orang mukmin dalam hal saling mengasihi, mencintai, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang mengeluh kerana sakit, seluruh tubuhnya akan ikut begadang (tidak boleh tidur) dan demam (turut merasakan sakitnya)’.” (HR Bukhari)
Baginda SAW juga bersabda tentang contoh sekumpulan manusia di atas kapal.
“Perumpamaan orang yang menegakkan batasan-batasan (hukum-hukum) Allah dan orang-orang yang melanggarnya, seperti kaum yang memenuhi kapal dengan mengundi sehingga terbagilah sebahagian mereka. Ada yang di bahagian atas dan sebahagian lainnya ada di bawah. Jika orang yang berada di bawah ingin minum, maka mereka akan naik ke atas melewati orang yang di atas mereka, kemudian mereka berkata, “Jika kita membuat lubang bahagian kita dengan lubang yang kecil, maka kita tidak akan menggangu orang yang di atas.” Jika mereka (yang di atas) membiarkannya dan tidak mencegahnya apa yang dikehendaki orang-orang yang ada di bawah, maka mereka semua akan binasa, tetapi jika mereka mencegahnya, maka mereka semua akan selamat.” (HR Bukhari)
Demikianlah bagaimana tindakan individu mempengaruhi seluruh masyarakat. Oleh itu, kebebasan peribadi tidak dapat mengatasi kesejahteraan masyarakat. Pandangan hidup sebegini mengikat generasi muda dan tua sebagai anggota sama-sama memikul tanggungjawab dalam satu tubuh moral yang sama.
- Nilai dan Norma Ditentukan Ilahi, Bukan Dicipta Sejarah
Nilai-nilai Islam seperti kesopanan, menghormati ibu bapa, akhlak mulia, dan kewajipan rohani tidak tertakluk kepada tafsiran semula generasi. Allah SWT menetapkannya melalui di dalam wahyu:
“…dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” [TMQ Al-Israa’ (17):23]
Nabi SAW turut menegaskan:
“Siapa yang tidak menyayangi yang muda dan tidak mengetahui hak-hak orang tua, maka ia bukan dari golongan kami.” (HR Abu Dawud)
Nilai-nilai ini bersifat kekal. Ia tidak berubah mengikut trend sosial atau perubahan generasi. Ini sekali gus menyingkirkan sebab utama berlakunya konflik generasi ala Barat, iaitu persaingan atau pertentangan antara kerangka moral yang berbeza.
Islam Mengiktiraf Perbezaan, Tetapi Bukan Konflik
Perbezaan generasi dalam Islam memang wujud, tetapi hanya pada perkara yang sememangnya fleksibel secara sifatnya:
• Cita rasa dan estetika (gaya pakaian dalam batasan kesopanan, seni, bahasa/slanga)
• Penggunaan teknologi
• Tabiat budaya
• Bentuk penglibatan dalam aktiviti keagamaan (cth., lingkungan pemuda (youth circles) berbanding perhalaqahan tradisional)
Perbezaan ini dibolehkan dan malah memberi manfaat kepada dinamika ummah. Tetapi ia tidak menyentuh teras yang tidak berubah: akidah, batasan moral, dan hubungan antara manusia dengan Tuhannya, keluarga serta masyarakat.
Oleh itu, apa yang wujud dalam Islam bukanlah konflik generasi tetapi variasi generasi, kepelbagaian yang bernuansa dan saling menghormati dalam kerangka moral dan spiritual yang tetap, tidak berubah.
Pemuda dalam Sejarah Islam: Daripada Pengikut kepada Pemimpin
Salah satu bukti paling kukuh bahawa Islam tidak melihat golongan muda sebagai seteru golongan tua ialah peranan penting yang mereka mainkan dalam sejarah awal Islam. Berbanding menganggap mereka sebagai golongan memberontak yang belum matang, Nabi SAW sebaliknya mempercayakan mereka dengan amanah yang sangat besar.
Lihatlah Ali Ibn Abi Ṭālib (Ra), Wira Muda Pertama Dalam Islam. Beliau memeluk Islam sekitar usia 10 tahun. Beliau mempertaruhkan nyawanya dengan tidur di tempat tidur Nabi semasa Hijrah dan kemudian menjadi salah seorang ulama, pejuang, serta pemimpin terbesar dalam Islam. Usianya tidak pernah menjadi halangan untuk diberikan kepercayaan atau amanah autoriti.
Saʿd ibn Abi Waqqās (ra), Pemuda Pemanah Badr, merupakan satu lagi contoh. Beliau memeluk Islam semasa remaja dan merupakan salah seorang daripada lapan Muslim terawal. Beliau kemudian menjadi panglima tentera yang paling penting dan tergolong antara sepuluh yang dijanjikan syurga.
Dan Usāmah ibn Zayd (ra). Nabi (saw) melantik beliau pada usia tujuh belas tahun, sebagai panglima tentera yang turut disertai para sahabat senior. Ini adalah sesuatu yang mustahil dibayangkan dalam kerangka yang melihat golongan muda secara semula jadi sentiasa bercanggah dengan generasi tua.
Dan yang terakhir, Aṣḥāb al-Ṣuffah (ra). Banyak pemuda miskin tetapi tekun yang menetap di masjid Nabi menjadi tokoh utama dalam hadis dan fiqh.
Berdasarkan semua contoh ini, jelaslah generasi muda bukanlah golongan marginal, sebaliknya mereka merupakan asas. Tenaga dan semangat mereka melengkapi kebijaksanaan generasi tua, sekaligus membentuk satu tubuh sosial yang padu.
Kesimpulan: Islam Membentuk Generasi, Ia Tidak Membahagikan Mereka
Idea Barat tentang konflik generasi muncul daripada individualisme dan relativity atau kecairan nilai-nilai moral. Islam, sebaliknya, membina manusia atas asas petunjuk ilahi dan tanggungjawab bersama terhadap masayrakat. Nilai-nilai tidak berubah mengikut generasi atau kohort; ia telah diwahyukan, tetap dan dikongsi secara kolektif.
Oleh itu,
Konflik mengenai nilai-nilai asas adalah sesuatu yang asing dalam tamadun Islam.
Perbezaan dalam perkara sampingan (sekunder) adalah normal dan bermanfaat.
Kerjasama antara pemuda dan orang tua ialah model kenabian.
Islam membentuk generasi menjadi satu tubuh moral dan spiritual yang bersatu padu, di mana setiap lapisan menyumbang kekuatannya uniknya, kebijaksanaan orang tua, tenaga anak muda — menuju misi abadi yang sama, yakni beribadah kepada Allah, berkhidmat kepada manusia, dan pemeliharaan keadilan (Islam).
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Sumaya Bint Khayyat