Genderless dalam Pertimbangan Fikh Islam
Penulis: Arini Retna
Gerakan genderless adalah gagasan bahawa identiti dan ekspresi jantina tidak harus terhad kepada kategori lelaki ataupun perempuan. Gerakan ini telah menjadi trend global yang berkembang pesat. Walaupun dianggap sebagai bentuk ekspresi kebebasan dan inklusiviti oleh sesetengah pihak, gerakan ini mempunyai potensi untuk mendatangkan kerosakan yang sangat besar, baik dari segi fitrah manusia mahupun agama, khususnya Islam.
Gerakan genderless menjadi trend kerana disokong oleh para artis dan selebriti dunia yang kini menjadi kiblat budaya dan pemikiran generasi muda. Di Korea, XLOV, sebuah kumpulan K-pop genderless pertama, telah muncul secara terbuka awal tahun ini. Sebelumnya di Jepun, gerakan ini popular sejak awal 2010-an melalui trend genderless kei, iaitu lelaki muda tampil dengan gaya androgini: menggabungkan pakaian, solekan, dan gaya rambut yang biasanya dikaitkan dengan perempuan, sebagaimana dilakukan model dan artis Gennosuke atau Toman. (Japan Culture Daisuki, 22-8-2022). Di Eropah, ada penyanyi Demi Lovato, Sam Smith, serta artis Ezra Miller, Jonathan Van Ness, dan sebagainya.
Fenomena genderless, melalui media massa dan media sosial, merebak dengan cepat ke pelbagai penjuru dunia, termasuk negara-negara Islam yang dianggap mempunyai peraturan sosial yang lebih ketat berbanding Barat atau negara-negara sekular-liberal lain. Contohnya seperti di Indonesia, beberapa kes timbul yang mendedahkan kehadiran idea genderless.
Pada 2022 di Universiti Hasanuddin Makassar, seorang pelajar mengakui identitinya sebagai bukan binari, bukan lelaki dan bukan perempuan. Keberanian ini kemudian mendapat sokongan daripada beberapa NGO dan komuniti yang menaungi orang-orang yang dianggap “berbeza secara jantina”. NGO dan komuniti seperti Arus Pelangi, Suara Kita, dan Support Group and Resource Center on Sexuality Studies (SGRC UI) memang telah menyatakan diri mereka sebagai “ruang selamat” bagi orang yang menghadapi masalah dengan jantinanya. (BBC Indonesia, 25-8-2022). Pergerakan genderless ini juga muncul dalam dunia hiburan Indonesia. Artis Jefri Nichol, misalnya, menarik perhatian semasa tayangan perdana filem Sri Asih dengan gaya fesyen genderless.
Ironinya, walaupun Indonesia dikenali sebagai salah satu negara Muslim terbesar, tetapi benih-benih gerakan penyimpangan jantina—genderless, bukan binari, atau androgini—boleh jadi malah mendapat tanah subur untuk berkembang. Terutama pada situasi masa kini yang disertai dengan keringnya ikatan kepada peraturan agama di hati generasi mudanya.
Penyimpangan Jantina, Fitrah atau Bentukan?
Konsep jantina yang selama ini kita fahami dengan membahagikan manusia kepada lelaki dan perempuan, ternyata tidak semudah itu. Gender bukanlah jenis jantina. Pada tahun 1955, konsep jantina ini diperkenalkan oleh John Money untuk menyokong justifikasinya untuk pembedahan pada bayi interseks. Idea utamanya ialah bahawa identiti jantina dan ekspresinya dipelajari secara budaya, bukan lahir secara semula jadi, dan berpotensi untuk dipisahkan daripada morfologi tubuh. Idea bahawa identiti dan peranan sosial seseorang boleh berbeza daripada susunan genetik atau morfologi tubuh membolehkan Money dan rakan-rakannya berhujah bahawa identiti boleh dimanipulasi jika tubuh dianggap bermasalah dan — khususnya — tidak sesuai. (Paechter, 2018). Daripada pendapat tersebut, jantina kemudian didefinisikan sebagai pembeza status, peranan, dan tanggungjawab antara lelaki dan perempuan yang dibentuk oleh masyarakat mengikut nilai budaya yang berlaku.
Selain itu, konstruksi jantina dipengaruhi oleh pelbagai faktor, iaitu budaya, agama, sosial, politik, undang-undang, pendidikan, media, seni, dan sebagainya. Jantina boleh berubah mengikut konteks masa, tempat, dan budaya kerana jantina merupakan hasil konstruksi sosial. Oleh itu, jantina bukanlah fitrah, sebaliknya sesuatu yang boleh dipelajari dan diubah.[i]
Dari pengertian di atas, kemunculan penyimpangan menjadi sesuatu yang “normal” kerana jantina dianggap sebagai pembentukan sosial, bukan semula jadi. Boleh saja anak yang lahir sebagai perempuan, kemudian mengenal pasti diri sebagai lelaki, dan begitu juga sebaliknya. Termasuk mengenal pasti diri sebagai bukan binari ‘tidak sepenuhnya lelaki dan tidak sepenuhnya perempuan’ ataupun genderless ‘tidak mempunyai jantina’.
Sebagai pembentukan dan bukan bawaan, maka proses pendidikan dan pembiasaan anak tentu boleh mempengaruhi identiti jantina mereka. Anak yang dididik dan dilayan sebagai perempuan, boleh menjadi “perempuan” walaupun dilahirkan dengan jantina lelaki. Lebih-lebih dalam sistem sekular yang tidak berpegang pada agama, serta sistem liberal yang memberikan kebebasan individu, anak seperti ini bebas untuk memilih menukar jantinanya dan menjadi transgender.
Kesan daripada kebebasan ini, terutamanya dalam proses pendidikan anak, ada ibu bapa yang tidak mengarahkan anak kepada jantina tertentu, sebaliknya memberikan layanan sebagai lelaki dan perempuan sekaligus. Akibatnya, apabila anak itu ingin menjadi lelaki atau perempuan, ia tidak dipersoalkan. Dalam keadaan seperti inilah, lahir anak-anak yang keliru dengan jantinanya sehingga memilih untuk menjadi bukan binari ataupun tanpa jantina tadi.
Dengan demikian, genderless atau tiada jantina sama sekali bukan fitrah manusia. Fitrah manusia adalah lelaki atau perempuan. Walaupun ada istilah hermafrodit atau khunsa (istilah Islam, ed.), ini bukan merujuk kepada tanpa jantina, tetapi hanya kelainan fizikal, iaitu mempunyai alat kelamin berganda (lebih daripada satu jenis alat kelamin) —yang boleh disempurnakan untuk menjadi lelaki sempurna atau perempuan sempurna.
Perbezaan Genderless dan al-Khunsa
Genderless atau tiada jantina, sama ada sebagai pilihan fesyen mahupun jantina, berusaha untuk menampilkan gambaran jantina yang bukan lelaki atau perempuan. Namun sebaliknya, genderless sebenarnya menampilkan gambaran lelaki dan perempuan secara serentak. Contohnya, memakai seluar panjang dengan skirt pendek di bahagian luar; lelaki memakai kosmetik sebagaimana digunakan perempuan; atau perempuan yang memakai seluar dan aksesori lelaki.
Dalam Islam, apa yang ditunjukkan oleh para penganut gerakan genderless itu dipanggil mukhannas dan mutarajjilah. Mukhannas adalah orang yang secara fizikal lelaki tulen dan mempunyai satu alat kelamin, iaitu alat kelamin lelaki; tetapi dia berkelakuan seperti perempuan atau menyerupai perempuan dalam tingkah lakunya, sama ada gerak-geri, suara, gaya bercakap, dan cara berpakaian.
Secara istilah umum, mukhannas sering kita panggil pondan, manakala mutarajjilah adalah perempuan yang menyerupai lelaki (tomboy).
Keduanya, mukhannas mahupun mutarajjilah, dicela dalam Islam. Perbuatan mereka dilaknat oleh Nabi ﷺ.
Abu Hurairah ra. berkata, “Rasulullah ﷺ melaknat mukhannas, kaum lelaki yang menyerupai perempuan; dan mutarajjilah, kaum perempuan yang menyerupai lelaki.” (HR Ahmad).
Dalam hadis Ibnu Abbas ra. disebutkan, “Nabi ﷺ melaknat mukhannas dari kaum lelaki dan mutarajjilah dari kaum perempuan. Beliau bersabda, ‘Keluarkanlah mereka dari rumah kalian.’” (HR Al-Bukhari dan Ibnu Majah).
Ertinya, Rasulullah ﷺ memerintahkan agar para pondan tidak memasuki rumah-rumah perempuan mukmin sehingga boleh melihat aurat mereka.
Berdasarkan dalil ini, Imam Adz-Dzahabi menganggap perbuatan menyerupai lawan jantina sebagai dosa besar. Ke atas para mukhannas, Rasulullah ﷺ menetapkan hukuman, iaitu diasingkan daripada masyarakat sehingga mereka kembali normal. Qadhi boleh menjatuhkan hukuman seperti ini atau menambahnya mengikut ijtihadnya. Dengan adanya hukuman yang jelas dan tegas daripada negara inilah, diharapkan para mukhannas dan mutarajjilah boleh kembali kepada fitrah mereka.
Ada juga sebahagian ulama kontemporari yang menormalkan genderless dengan menyamakannya dengan kes al-khunsa dalam Islam. Hakikatnya, tidak boleh begitu kerana kenyataannya sangat berbeza. Secara umum, para ulama mentakrifkan al-khunsa (atau dalam KBBI diterjemahkan sebagai ‘banci’) sebagai orang yang tidak diketahui atau diragui sama ada dia lelaki atau perempuan kerana mempunyai dua alat kelamin, lelaki dan perempuan; atau tidak mempunyai alat kelamin, sama ada lelaki atau perempuan. (Sayyid Sabiq, 1986, Fikih Sunnah Jilid 14, Al Maarif Bandung, hlm. 285). Adapun dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula diterjemahkan khunsa sebagai orang yang mempunyai dua alat kelamin.
Namun, para ulama bersepakat bahawa jenis kelamin manusia hanya dua, yakni lelaki dan perempuan. Ada aturan-aturan yang berbeza antara keduanya, termasuk hak dan kewajipannya dalam timbangan syarak, seperti batasan aurat, cara menutup aurat, hak waris, mahar, nafkah, dan kewajipan seperti solat Jumaat dan jihad. Oleh sebab itu, Imam Al-Kasani, misalnya, menegaskan bahawa seorang manusia mesti lelaki ataupun mesti perempuan. (Bada`i’ ash-Shana`i’, Al-Kasani).
Untuk memastikan jantina khunsa, para ulama terdahulu membahagikan dua jenis khunsa, iaitu al-khunsa ghairul musykil (tidak sukar) dan al-khunsa al-musykil (sukar). Tanda-tanda al-khunsa ghairul musykil boleh dilihat secara fizikal, mana yang lebih dominan. Untuk yang belum baligh, biasanya dilihat daripada saluran mana dia kencing. Jika air kencing keluar daripada kemaluan lelaki, dia dihukum sebagai lelaki. Jika keluar daripada alat kelamin perempuan, dia dihukum sebagai perempuan. Manakala selepas baligh, jika dia mimpi basah dan zakarnya lebih menonjol daripada sebelumnya, keluar janggut atau misai, dan sebagainya, dia dihukum sebagai lelaki. Jika dia mengalami haid, payudaranya membesar, dan sebagainya, dia dihukum sebagai perempuan. (ibid, hlm. 285).
Manakala al-khunsa al-musykil adalah khunsa yang mempunyai tanda-tanda maskuliniti sekaligus feminiti dalam dirinya. Contohnya, dia kencing melalui saluran kencing perempuan dan lelaki secara serentak, atau tumbuh janggut dan payudara pada satu masa; sehingga tidak diketahui sama ada dia lelaki atau perempuan. Namun sebenarnya, yang dimaksud dengan istilah al-khunsa dalam kitab-kitab fikh ialah khunsa ini, iaitu al-khunsa al-musykil.
Seiring perkembangan teknologi masa kini, sebenarnya mudah untuk mengetahui jantina seseorang sehingga boleh menyelesaikan persoalan al-khunsa al-musykil. Jantina seseorang boleh diperiksa melalui pemeriksaan hormon atau pemeriksaan organ dalaman, contohnya menggunakan USG untuk mengetahui organ pembiakan apa yang ada dalam dirinya, hingga pemeriksaan kromosom. Dengan cara ini, akan diperoleh jawapan sama ada dia lelaki atau perempuan. Dalam hal ini, orang yang tergolong al-khunsa boleh menjalani pembedahan korektif terhadap alat kelaminnya, bukan untuk menukar jantina.
Genderless Merosak Agama
Adalah berbahaya apabila pembahagian jantina sebagai lelaki atau perempuan diabaikan dan diserahkan kepada kehendak individu masing-masing. Banyak hukum syarak akan sukar dilaksanakan, seperti kepimpinan suami dalam keluarga kerana tidak jelas siapa yang menjadi suami dan siapa yang menjadi isteri apabila sepasang pasangan tanpa jantina berkahwin. Begitu juga tidak jelas siapa yang bertindak sebagai bapa yang wajib mencari nafkah.
Belum lagi dalam soal hukum warisan, hukum pakaian dan batas aurat, solat, haji, dan sebagainya yang memang jelas berbeza antara lelaki dan perempuan. Jika seorang perempuan memakai pakaian lelaki ketika solat, tentu solatnya tidak sah. Begitu juga lelaki yang berihram dengan pakaian perempuan, hajinya tidak sah juga.
Dengan demikian, hukum-hukum syarak berkaitan dengan jantina akhirnya akan ditinggalkan dan digantikan dengan kemaslahatan versi manusia. Misalnya, hukum warisan tidak lagi dibezakan untuk lelaki dan perempuan. Begitu juga kewajipan nafkah, batas aurat, dan cara berpakaian. Malah, perkahwinan boleh berlaku antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan! Bagaimana agama tidak rosak disebabkannya?
Kembali kepada Peraturan Islam
Ancaman kebebasan jantina semakin nyata. Masalahnya bukan lagi sekadar masalah individu yang boleh diselesaikan dengan membina ketakwaan. Ini kerana serangan ideologi ini yang giat berpotensi meruntuhkan ketakwaan seseorang. Akibatnya, usaha menanam ketakwaan perlu disertai kawalan masyarakat yang kukuh dan solid dalam menolak pelbagai kemaksiatan, termasuk idea genderless dan penyimpangan lain.
Begitu juga, genderless sering dikaitkan dengan perjuangan hak asasi manusia (terutamanya hak untuk mengekspresikan diri). Sedangkan dalam Islam, kebebasan ekspresi bukan bermakna tanpa had, sebaliknya dibatasi oleh nilai tauhid, syariat, dan akhlak.
Islam juga secara tegas menetapkan bahawa Allah menciptakan manusia dalam dua jenis alat kelamin, yakni lelaki dan perempuan. Hal ini tecermin dalam banyak ayat Al-Quran. Salah satunya firman-Nya dalam Surah An-Najm ayat 45,
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
“Dan bahawasanya Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan: lelaki dan perempuan.”
Islam juga memandang bahawa jantina adalah ketetapan fitrah (ciptaan Allah). Perbezaan antara lelaki dan perempuan bukanlah semata-mata dari segi biologi, sebaliknya mempunyai peranan sosial dan undang-undang tersendiri, contohnya dalam hal warisan, solat berjemaah, mahram, dan tanggungjawab keluarga.
Lebih daripada itu, perlu ada sistem hukuman yang tegas daripada negara untuk mencegah penyimpangan, sebagaimana dahulu Rasulullah ﷺ memisahkan kaum mukhannas. Inilah penyelesaian tuntas kerana negara merupakan benteng paling kukuh daripada segala jenis ancaman kemusnahan.
Cuma, mengharapkan penyelesaian daripada negara yang mengamalkan sistem demokrasi sekular-liberal ibarat burung hantu merindui bulan. Mengaku berdasarkan kepada Ketuhanan Yang Maha Esa, tetapi hakikatnya mengabaikan segala peraturannya.
Tiada penyelesaian lain untuk menghentikan perkara ini, kecuali kembali kepada peraturan yang tegas menolaknya, memberi hukuman kepada pesalahnya, dan menutup semua pintu masuknya. Semua ini hanya mampu dilakukan oleh negara yang melaksanakan syariat Islam secara utuh dan menyeluruh, iaitu negara dengan sistem Khilafah. Wallahualam.
[i] https://ykp.or.id/datainfo/materi/ufaqs/apa-itu-jantina
#isusemasa #isusosial #sosiologi #transgender #genderless #tiadajantina #saynotolgbt