PENTINGNYA PERUBAHAN BERIDEOLOGI KE ARAH PENEGAKAN SISTEM ISLAM SECARA KAFFAH
Oleh: Ustaz Arief b Iskandar
Bahang demonstrasi, aksi protes jalanan, bahkan revolusi sosial-politik sering dianggap sebagai jalan perubahan. Banyak orang menaruh harapan yang besar jika menjatuhkan penguasa atau mengganti pemimpin tertentu, kehidupan akan berubah menjadi lebih baik.
Namun, fakta menunjukkan sebaliknya. Banyak negeri yang melalui revolusi atau pergantian rejim berulang kali. Namun, rakyatnya tetap berada dalam kesengsaraan, kemiskinan, ketidakadilan dan penjajahan gaya baru.
Hal itu terjadi kerana akar persoalan tidak hanya terletak pada peribadi penguasa atau para pegawainya, melainkan juga pada sistem yang mendasari pengaturan kehidupan bernegara. Selagi sistem yang digunakan adalah demokrasi-sekular—yakni sistem yang memisahkan agama (Islam) daripada kehidupan—maka hasilnya tetap sama: penderitaan rakyat dan jauhnya umat daripada redha Allah SWT.
Dalam Islam, tujuan perubahan bukan sekadar menumbangkan rejim, melainkan menegakkan kembali aturan Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan (kaffah). Tanpa perubahan ideologi menuju Islam kaffah, demonstrasi dan revolusi hanyalah tenaga yang akan habis dengan sia-sia
Kegagalan Solusi Parsial
Banyak aktivis revolusi menyangka bahawa dengan menukar presiden/perdana menteri, menteri atau anggota parlimen akan mengubah nasib bangsa. Padahal dalam sistem demokrasi, siapapun yang memimpin tetap terikat pada perundangan demokrasi-sekular: hukum buatan manusia, kepentingan oligarki dan tekanan pihak asing.
Kenyataan ini terbukti di banyak negeri Muslim contohnya Mesir. Mesir pernah mengalami revolusi 2011 yang menumbangkan Husni Mubarak. Namun, setelah itu, negeri tersebut tetap diatur sistem sekular. Bahkan rejimnya semakin keras dalam menekan Islam dan rakyatnya.
Di Indonesia sendiri, reformasi 1998 menumbangkan rejim Soeharto. Namun, adakah kehidupan rakyatnya kini lebih sejahtera? Tidak. Jurang sosial yang semakin besar. Rasuah semakin berleluasa. Sumberdaya alam tetap dikuasai oleh pihak asing. Moral bangsa makin rosak. Semua itu bukti bahawa perubahan sebahagian (menukar rejim) tidak pernah menyelesaikan akar persoalan.
Akar Masalah: Sistem Demokrasi-Sekular
Akar masalah yang sebenarnya adalah sistem demokrasi-sekular itu sendiri. Demokrasi menjadikan kedaulatan (hak membuat hukum) berada di tangan manusia. Bukan di tangan Allah SWT. Hukum dan berbagai aturan dibuat berdasarkan hawa nafsu manusia. Bukan berdasarkan wahyu Allah SWT.
Padahal Allah SWT telah menegaskan:
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ
“Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah.” [TMQ Yusuf (12): 40].
Dalam sistem demokrasi, agama dipinggirkan. Agama hanya menjadi urusan peribadi atau ritual semata. Sebaliknya, urusan politik, ekonomi, pendidikan, perundangan, sosial, budaya dan lain-lain urusan diatur dengan aturan manusia. Inilah yang disebut dengan sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan).
Selama sistem ini dipertahankan, siapapun yang duduk di kerusi kekuasaan akan tetap menempuh jalan yang sama: menjauhkan umat daripada syariah, menjerat rakyat dengan cukai dan hutang, membuka pintu seluasnya bagi penjajahan asing dan gagal menyejahterakan rakyat. Itulah antara lain, yang terjadi di negeri ini.
Kaedah Perubahan Rasulullah ﷺ
Islam tidak hanya memandang perlunya perubahan, tetapi juga menunjukkan kaedah perubahan yang benar. Rasulullah ﷺ diutus di tengah masyarakat jahiliyah Mekah yang penuh kerosakan. Baginda tidak menempuh jalan revolusi berdarah atau sekadar demonstrasi.
Baginda menempuh dakwah berideologi dengan tiga tahapan:
(1) Tatsqiif (Pembinaan): Membina para sahabat dengan pemikiran Islam hingga mereka memiliki keperibadian Islam yang kukuh.
(2) Tafa‘ul ma‘a al-Ummah (Berinteraksi dengan umat): Menyampaikan dakwah kepada masyarakat, meluruskan pemikiran rosak, dan mencabar sistem jahiliyah.
(3) Thalab an-Nushrah (Mencari pertolongan politik): Rasulullah ﷺ meminta dukungan kekuatan politik daripada kabilah-kabilah Arab–setelah sebelumnya baginda menawarkan Islam kepada mereka–hingga akhirnya baginda mendapat dukungan daripada Aus dan Khazraj di Madinah.
Dengan cara damai inilah akhirnya Rasulullah ﷺ berjaya menegakkan kekuasaan Islam atau sistem pemerintahan Islam pertama di Madinah, iaitu Daulah Islamiyah. Sejak itu, hukum-hukum Allah SWT ditegakkan, syariah Islam diterapkan secara kaffah (menyeluruh) dan umat Islam dipersatukan di bawah satu kepemimpinan politik.
Dalil-dalil Syarie tentang Kewajipan Menegakkan Sistem Pemerintahan Islam
Allah SWT memerintahkan kaum Muslim untuk berhukum hanya dengan hukum-hukum-Nya:
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka.” [TMQ al-Maidah (5): 49].
Allah SWT juga berfirman:
فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ
“Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.” [TMQ al-Maidah (5): 48].
Rasulullah ﷺ juga bersabda:
الإمام جنة يقاتل من ورائه ويتقى به
“Imam (Khalifah) itu laksana perisai, di belakangnya kaum Muslim berperang dan dengannya mereka berlindung.” (HR al-Bukhari-Muslim).
Ijmak sahabat juga menunjukkan kewajipan adanya seorang Khalifah. Setelah Rasulullah ﷺ wafat, para Sahabat segera mengangkat Abu Bakar RA sebagai Khalifah. Mereka bahkan mendahulukan urusan ini dibandingkan dengan pemakaman jenazah Rasulullah ﷺ. Ini menjadi bukti bahawa keberadaan seorang pemimpin yang menerapkan syariah adalah kewajipan syarie.
Imam an-Nawawi rahimahulLaah menegaskan:
أجمعوا على أنه يجب على المسلمين نصب خليفة
Para ulama telah berijmak bahawa wajib atas kaum Muslimin mengangkat seorang Khalifah (an-Nawawi, Syarh Shahiih Muslim, 12/205).
Imam al-Mawardi rahimahulLaah juga berkata:
الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا
“Imamah (Khilafah) itu ditetapkan untuk menggantikan kenabian dalam menjaga agama dan mengatur urusan dunia.” (al-Mawardi, Al-Ahkaam as-Sulthaaniyyah, hlm. 15).
Kewajipan Perubahan Berideologi
Dengan demikian, jelas bahawa perubahan sejati hendaklah diarahkan pada tegaknya sistem Islam secara kaffah. Demonstrasi dan revolusi memang mampu menumbangkan rejim. Namun, jika tidak diikuti perubahan ideologi menuju penerapan syariah dalam institusi pemerintahan Islam yang menegakkan syariah Islam secara kaffah, maka hasilnya akan sia-sia.
Perubahan yang benar adalah perubahan sebagaimana kaedah yang ditunjukkan Rasulullah ﷺ. Itulah dakwah berideologi yang membangun kesedaran umat hingga umat menyerahkan kekuasaan untuk menegakkan hukum Allah SWT.
Penutup
Hidup bukan hanya tentang kebebasan berbicara atau berdemo. Hidup adalah untuk meraih kesejahteraan di dunia dan kebahagiaan hakiki di akhirat dengan redha Allah SWT. Itu hanya akan berlaku jika kita kembali pada Islam kaffah.
Apalah gunanya jika kita berteriak di jalanan, sementara hukum-hukum Allah tidak ditegakkan? Apalah gunanya mengganti rejim demi rejim, sementara demokrasi-sekular–yang menjadi biang segala persoalan–tetap menjadi dasarnya?
Sudah saatnya umat Islam menempuh jalan yang benar: meninggalkan sistem rosak demokrasi dan berjuang untuk menegakkan kembali syariah Islam dalam institusi pemerintahan Islam (Daulah Islam) sebagaimana yang dicontohkan Rasulullah ﷺ. Inilah satu-satunya jalan agar demonstrasi dan revolusi benar-benar bermakna: mengantarkan pada tegaknya Islam kaffah di muka bumi.
WalLaahu a’lam.
#demonstrasi #revolusi #dakwahIslamKaffah #TegakKhilafah