Darah Darfur, Nafas Kapitalisme: Ketika Dunia Membisu, Khilafah Diperlukan
Oleh: Nabila Zidane
Lebih daripada dua ribu nyawa dilaporkan terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai di bandar Al-Fashir, Darfur, Sudan. Tragedi ini didedahkan melalui laporan muslimahnews.net (3 November 2025) bertajuk “Di Sebalik Pembunuhan Dua Ribu Orang di Darfur, Sudan, Ada Amerika!”
Artikel tersebut memetik kenyataan jurucakap bagi sebuah gerakan dakwah ideologi antarabangsa di wilayah Sudan yang menegaskan bahawa terdapat campur tangan Amerika di sebalik kekejaman Rapid Support Forces (RSF).
Dunia sekali lagi menyaksikan darah umat Islam tumpah di tanah sendiri, sementara para penjaga hak asasi manusia antarabangsa kekal membisu seperti kebiasaannya.
Darah yang tumpah di Darfur bukan sekadar tragedi tempatan. Ia merupakan noda yang menampar wajah kemanusiaan sejagat. Bandar El-Fashir kini bukan lagi tempat kehidupan, tetapi menjadi muzium kehancuran.
Rumah-rumah dibakar, wanita diperkosa, kanak-kanak dibunuh tanpa belas kasihan. Mereka yang terselamat hanya mampu menatap langit dengan doa yang tidak pernah dijawab dunia. Dunia sibuk bermesyuarat, media sibuk mencari sudut liputan dan negara-negara besar sibuk menimbang untung rugi politik mereka.
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” [TMQ Ibrahim (14): 42]
Tragedi Darfur merupakan cerminan dunia yang telah kehilangan nurani kerana bertuhankan material. Di sebalik pembunuhan beramai-ramai ini, tersembunyi bau geopolitik dan kepentingan ekonomi yang busuk. Amerika Syarikat dan sekutunya telah lama mengintai Sudan, bukan kerana simpati terhadap rakyatnya, tetapi kerana kekayaan mineral serta kedudukannya yang strategik di Afrika Timur, berhampiran Laut Merah. Maka, peperangan dipelihara, konflik disemai, dan pasukan bersenjata dibiarkan membantai asalkan kepentingan kapitalis tidak tergugat.
Kapitalisme adalah sistem yang hidup daripada darah manusia. Ia bernafas melalui konflik. Ketika bom meletup, kilang senjata bersorak gembira. Ketika Darfur terbakar, saham syarikat ketenteraan di Wall Street melambung naik. Kapitalisme tidak mengenal belas kasihan, ia hanya mengenal keuntungan.
Seperti yang ditegaskan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam Nizhamul Islam, “Sistem kapitalis menjadikan manfaat sebagai ukuran, hingga maruah manusia ditukar dengan keuntungan material.”
Benarlah demikian, di bawah sistem yang bertuhankan manfaat, nilai kemanusiaan mati. Pembunuhan beramai-ramai sekadar menjadi statistik. Anak-anak yatim hanya tercatat sebagai angka dalam laporan PBB. Dunia seolah-olah neutral, sedangkan sikap neutral dalam kezaliman adalah bentuk kejahatan baru.
Institusi antarabangsa seperti PBB, Kesatuan Afrika, malah para pemimpin negara-negara Islam sendiri hanya berdiam diri. Mereka berlindung di sebalik istilah “proses diplomatik” dan “kedaulatan negara,” sedangkan hakikatnya mereka hanyalah pengecut politik yang tidak berani menentang tirani global.
Syeikh Abu Rustah pernah menulis, “Selama dunia ini dipimpin oleh sistem kufur, maka darah umat Islam tidak akan pernah aman.”
Inilah wajah sebenar dunia sekular. Mereka melaungkan hak asasi manusia (HAM), namun memejam mata ketika peluru menembusi dada umat Islam. Mereka berbicara tentang perdamaian, tetapi hidup daripada keuntungan perang. Mereka mengutuk genosid, namun menjadi penyumbang dana kepada penjajah. Ketika Gaza dibom, mereka berkata “Israel berhak mempertahankan diri.” Ketika Darfur dibantai, mereka berkata “itu konflik dalaman Sudan.” Dunia kini lumpuh secara moral di bawah bayangan kapitalisme.
Sedangkan Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk bersikap neutral terhadap kezaliman. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemahnya iman.” (HR. Muslim)
Mengubah kemungkaran adalah kewajipan politik, bukan sekadar amal kebajikan sosial. Dalam Islam, darah manusia adalah sesuatu yang suci, dan tanggungjawab untuk melindunginya terletak di bahu seorang pemimpin iaitu Khalifah. Di bawah sistem Khilafah, tumpahnya darah seorang Muslim di hujung dunia akan menggoncang takhta pemerintahan di pusat kekuasaan.
Khalifah al-Mu’tashim dahulu pernah mengerahkan pasukan besar hanya kerana seorang wanita Muslimah dihina oleh bangsa Romawi. Tetapi hari ini, dua ribu nyawa dibantai tanpa tindakan, sementara para pemimpin dunia Islam sibuk berpidato dan bermegah dengan pakaian rasmi di pentas persidangan antarabangsa.
Inilah sebabnya dunia memerlukan sebuah sistem, bukan sekadar simpati. Dunia memerlukan kepimpinan yang menilai darah manusia lebih bernilai daripada dolar dan lombong emas.
Dunia Memerlukan Khilafah
Khilafah bukanlah sebuah utopia, ia merupakan perisai bagi umat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai; di belakangnya kaum Muslim berperang dan kepadanya mereka berlindung.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Di bawah naungan Khilafah, tidak akan ada ruang bagi ketenteraan yang memperdagangkan nyawa rakyat demi projek geopolitik. Tiada lagi kuasa asing yang mampu menentukan hala tuju politik di Afrika atau Asia demi keuntungan segelintir elit global.
Khilafah akan menjadi pelindung bagi Darfur, Gaza, Syria, Yaman dan seluruh negeri yang kini merintih di bawah bendera palsu demokrasi dan kapitalisme. Hakikatnya, Darfur bukan sekadar kisah tentang Sudan, ia adalah gambaran seluruh dunia Islam yang telah kehilangan perisainya. Apabila sistem Islam dicabut, maruah, nyawa dan harta umat menjadi permainan di tangan penjajah moden.
Maka, penyelesaian bukanlah di meja rundingan PBB, bukan pada sekatan ekonomi, dan bukan juga pada bantuan derma. Jalan keluar hanya satu iaitu mengembalikan kepimpinan Islam yang menyeluruh (kaffah).
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang Berkuasa…” [TMQ. An-Nuur (24): 55]
Darfur adalah luka umat. Namun dari luka itu sepatutnya lahir tekad baru untuk menyatukan kekuatan umat di bawah panji tauhid. Selagi dunia masih tunduk kepada kapitalisme, darah manusia akan terus dijadikan komoditi. Dan selagi umat Islam belum memiliki perisainya, tragedi akan terus berulang dari Gaza, ke Syria, hingga ke Darfur.
Ya Allah, jadikanlah kami sebahagian daripada kebangkitan itu, kebangkitan perisai umat yang akan melindungi darah, maruah dan masa depan Islam.
#SudanCrisis #KrisisSudan #SudanPerlukanKhilafah #TegakKhilafah #KhilafahSolusiTuntas