Para Rejim Durjana Anti Dakwah yang Berakhir Binasa
Oleh: Irfan Abu Naveed, M.Pd.I (Penyelidik Balaghah al-Quran & Hadis Nabawiyyah)
Rejim durjana merupakan malapetaka bagi kehidupan dunia dan akhirat umat manusia. Kita belajar daripada pentas Perang Dunia II. Nama-nama daripada Blok Paksi dan Blok Bersekutu seperti Adolf Hitler, Benito Mussolini, Joseph Stalin, Franklin D. Roosevelt, Winston Churchill, dan Maharaja Hirohito adalah deretan tokoh yang paling bertanggungjawab atas gugurnya puluhan juta nyawa. Bom atom Amerika yang memusnahkan Hiroshima dan Nagasaki serta meluluhkan begitu banyak jiwa adalah jejak kejahatan yang tidak mungkin disembunyikan.
Demikian juga malapetaka akibat rejim-rejim durjana zaman dahulu yang mewarnai lembaran sejarah kelam bangsa-bangsa. Antaranya adalah rejim kaum ‘Ad, rejim Namrudz dan rejim Firaun.
Rejim Kaum ‘Ad
Pada masa Nabi Hud AS, muncul kaum ‘Ad, yang fanatik secara membuta tuli mengikuti perintah rejim mereka yang derhaka. Allah berfirman:
وَتِلۡكَ عَادٞۖ جَحَدُواْ بَِٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ وَعَصَوۡاْ رُسُلَهُۥ وَٱتَّبَعُوٓاْ أَمۡرَ كُلِّ جَبَّارٍ عَنِيدٖ ٥٩ وَأُتۡبِعُواْ فِي هَٰذِهِ ٱلدُّنۡيَا لَعۡنَةٗ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ أَلَآ إِنَّ عَادٗا كَفَرُواْ رَبَّهُمۡۗ أَلَا بُعۡدٗا لِّعَادٖ قَوۡمِ هُودٖ ٦٠
“Dan itulah peristiwa kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya. Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat. Ketahuilah Sesungguhnya kaum Aad itu telah kufur (ingkar) kepada Tuhan mereka ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi Hud.” [TMQ Hud (11): 59-60]
Kaum ‘Ad menafikan kekuasaan Allah, berbuat jahat kepada para utusan Allah, tunduk patuh kepada rejim yang zalim, dan menyombongkan diri:
فَأَمَّا عَادٞ فَٱسۡتَكۡبَرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ وَقَالُواْ مَنۡ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةًۖ أَوَ لَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّ ٱللَّهَ ٱلَّذِي ٱلَّذِي خَلَقَهُمۡ هُوَ أَشَدُّ مِنۡهُمۡ قُوَّةٗۖ وَكَانُواْ بِئَايَٰتِنَا يَجۡحَدُونَ ١٥
“Siapakah yang lebih kuat dari kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).” [TMQ Fussilat (41): 15]
Menurut Syeikh Ali ash-Shabuni dalam Shafwat at-Tafâsîr, kaum ‘Ad dikenal sebagai kaum yang perkasa dan tiada tandingan manusia selepas mereka dari segi kekuatan fizikal dan usia mereka yang panjang. Mereka mendiami kawasan Iram (kawasan perbukitan pasir antara Oman dan Hadhramaut). Mereka adalah pemilik bangunan-bangunan tinggi, namun Allah membinasakan mereka dengan angin yang membawa azab pedih, yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah-Nya [lihat: QS al-Ahqaf (46): 24–25]. Perhatikan bagaimana kaum ‘Ad yang angkuh, dengan bangunan kukuh dari batu yang lazimnya dapat menahan angin, justeru dihancurkan oleh angin badai pembawa azab!
Rejim Namrudz
Nabi Ibrahim AS pada masa dahulu mendakwahi seorang penguasa diktator yang mengaku dirinya sebagai tuhan. Allah SWT berfirman:
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِي حَآجَّ إِبۡرَٰهِيْمَ فِي رَبِّهِۦٓ أَنۡ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ إِذۡ قَالَ إِبۡرَٰهِيْمُ رَبِّيَ ٱلَّذِي يُحۡيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۠ أُحۡيِي وَأُمِيتُۖ قَالَ إِبۡرَٰهِيْمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأۡتِي بِٱلشَّمۡسِ مِنَ ٱلۡمَشۡرِقِ فَأۡتِ بِهَا مِنَ ٱلۡمَغۡرِبِ ففَبُهِتَٱلَّذِي كَفَرَۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ٢٥٨
“Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.
Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” [TMQ al-Baqarah (2): 258]
Al-Hafiz Ibn Kathir dalam Qashash al-Anbiyâ’ menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim AS menyeru serta berhujah dengan seorang penguasa yang mendakwa dirinya memiliki rububiyyah (aspek ketuhanan). Dia adalah Namrudz bin Kan‘an, penguasa Babilon yang bengis dan kejam. Dia memerintah selama 400 tahun. Namanya disebut oleh Imam Mujahid dan selainnya dalam atsar sebagai salah seorang daripada empat penguasa dunia (iaitu yang paling luas kekuasaannya). Dua daripadanya beriman, iaitu: (1) Zulqarnain (2) Sulaiman AS. Dua lagi adalah kafir, iaitu: (1) Namrudz (2) Bakhtanshar
Apakah yang terjadi kepada rejim sombong ini? Al-Hafiz Ibn Kathir dalam Qashash al-Anbiyâ’ menjelaskan bahawa Allah hanya mengutus satu daripada sekian banyak makhluk-Nya: seekor nyamuk kecil yang masuk ke dalam lubang hidungnya, lalu tinggal selama 400 tahun. Nyamuk itu menyebabkan kesakitan yang amat perit sehingga setiap hari dia memukul kepalanya dengan besi, hingga akhirnya mati dengan keadaan yang hina, wal ‘iyâdzu billâh.
Bahkan seluruh tenteranya yang berhimpun menjelang terbit matahari turut menerima nasib sama. Allah mengirimkan kawanan nyamuk sehingga mereka tidak sempat melihat matahari pada pagi itu.
Nyamuk-nyamuk tersebut memakan daging dan menghisap darah mereka hingga tidak tersisa melainkan tulang belulang. Lihatlah bagaimana raja sombong ini ditumbangkan Allah hanya dengan seekor nyamuk!
Rejim Firaun dan Para Pembesarnya
Firaun memiliki “pasak-pasak”, sebagai kiasan terhadap banyaknya bala tentera. Dia digelar al-junûd. Dia memiliki pasukan ahli sihir, bangunan-bangunan megah sebagai simbol kekayaan duniawi dan disokong oleh Hamman.
وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢
“Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.” [TMQ al-Fajr (89): 10-12]
Bahkan dia disifati oleh al-Quran sebagai role model bagi para pemimpin yang menyeru pada Neraka Jahanam, iaitu pada pelanggaran akidah dan syariah Islam yang menjerumuskan pelakunya pada Neraka Jahanam.
وَجَعَلۡنَٰهُمۡ أَئِمَّةٗ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلنَّارِۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ لَا يُنصَرُونَ ٤١ وَأَتۡبَعۡنَٰهُمۡ فِي هَٰذِهِ ٱلدُّنۡيَا لَعۡنَةٗۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ هُم مِّنَ ٱلۡمَقۡبُوحِينَ ٤٢
“Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.” [TMQ al-Qasas (28): 41-42]
Sepatutnya kita bercermin dari kisah Fir’aun dan Bani Isra’il yang binasa:
وَإِذۡ فَرَقۡنَا بِكُمُ ٱلۡبَحۡرَ فَأَنجَيۡنَٰكُمۡ وَأَغۡرَقۡنَآ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ ٥٠
“Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.” [TMQ al-Baqarah (2): 50]
Dia mengaku sebagai tuhan dua kali, bahkan tuhan yang paling tinggi. Lalu Allah menghinakan dia. Dia ditenggelamkan ke dasar lautan yang paling rendah dari permukaan bumi. Kisah mereka menjadi pelajaran bagi Bani Isra’il dan umat sepanjang masa:
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبۡرَةٗ لِّمَن يَخۡشَىٰٓ ٢٦
“Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).” [TMQ an-Nâzi’ât (79): 26]
Bukankah kisah kebinasaan rejim-rejimzalim ini cukup menjadi pelajaran? Janganlah kita condong kepada kaum yang zalim hingga menyebabkan kita disentuh api neraka, wal ’iyâdzu bilLâh, Allah berfirman:
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” [TMQ Hud (11): 113]
WalLâhu a’lam
#rejimdurjana #nafsiyah