BENCANA ALAM: AKIBAT KERAKUSAN DAN DASAR YANG HANYA MENGEJAR KEUNTUNGAN
Oleh : Ustaz Arief B Iskandar
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada seluruh umat Islam agar sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Ketakwaan yang bukan sahaja terasa dalam ruang ibadah, tetapi turut terserlah dalam medan kehidupan di setiap penjuru. Ketakwaan yang membimbing manusia mengurus alam mengikut aturan-Nya yang suci. Ketakwaan yang menahan tangan daripada merosakkan bumi. Ketakwaan yang menggerakkan akal untuk memelihara dan menjaga segala amanah Ilahi.
Saat ini Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat kembali dilanda banjir besar. Air melimpah. Tanah runtuh. Hutan rebah bersama pohon-pohon yang dahulu teguh menjaga lembah.
Banyak pihak yang mengatakan bahawa bencana ini berpunca daripada cuaca ekstrem. Namun jika kita membuka mata hati dan akal, bukankah ada sesuatu yang lebih mendalam daripada sekadar ribut dan lebatnya hujan?
Al-Quran telah mengingatkan kita:
*﴿ ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ ﴾*
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.” [TMQ Ar-Ruum (30): 41]
Kerosakan itu kini sangat nyata. Ia bukan sekadar fenomena alam biasa. Inilah hasil daripada kerakusan dan ketamakan. Penebangan hutan dilakukan secara semborono. Bukan untuk memenuhi keperluan rakyat, tetapi semata-mata demi mengejar keuntungan. Sungai hilang penjaganya. Tanah hilang akarnya. Gunung hilang nafasnya. Lalu kita hairan apabila banjir besar datang menerjah secara tiba-tiba?
Di sebalik tragedi ini ada sebuah sistem yang menjadi puncanya. Itulah sistem kapitalisme-sekular yang telah lama dijadikan pedoman. Sistem inilah yang menjadikan keuntungan sebagai satu-satunya kompas moral dan peradaban. Sistem inilah yang membiarkan para kapitalis menebang hutan rimba tanpa memikirkan masa depan. Sistem inilah yang menjadikan undang-undang mudah dilentur demi pelaburan. Sistem inilah yang meletakkan manusia sebagai pemilik bumi, bukan sebagai khalifah yang menjaga dan merawat bumi dengan sepenuh hati.
Bukankah semua ini bertentangan dengan firman Allah:
*﴿ وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا ﴾*
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya” [TMQ Al-A’raaf (7): 56]
Setiap musibah tentu membawa hikmah. Kita diperintahkan untuk bersabar dan redha. Namun tidak cukup dengan sabar dan redha sahaja. Sesungguhnya Islam tidak mengajar sikap pasrah membuta tuli. Islam mengajarkan muhasabah yang jelas dan tindakan memperbaiki keadaan.
Islam mengajarkan usaha untuk mengubah dasar-dasar yang salah dan telah mengakibatkan banyak mangsa terkorban.
Pemerintah memiliki kewajipan syarie untuk memperbetulkan dasar-dasar yang merosakkan alam. Pemerintah wajib menghentikan konsesi perlombongan dan kelulusan penebangan hutan yang terbukti memusnahkan alam sekitar. Pemerintah juga mesti menghukum para pelaku kerosakan yang telah mengkhianati amanah bumi. Tanpa tindakan itu, bencana akan terus datang dalam rupa yang berbeza dan silih berganti.
Rasulullah ﷺ bersabda:
«كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ»
“Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawapan atas apa yang dia pimpin.” (HR. Muslim)
Bagaimana mungkin seorang pemimpin dianggap menunaikan amanah jika keselamatan rakyatnya dikorbankan semata-mata demi kepentingan segelintir pemburu keuntungan?
Bangsa ini tidak akan keluar daripada lingkaran bencana ekologi selagi sistem yang digunakan bukan sistem Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bencana akan terus berlaku selagi bumi diperlakukan sebagai alat memburu keuntungan, bukan sebagai amanah yang mesti dipelihara dan dilestarikan. Musibah akan terus datang selagi hutan dianggap aset ekonomi, bukan titipan Ilahi.
Penyelesaiannya bukan sekadar pembaikan teknikal atau penanaman semula hutan yang telah digondol, tetapi kembali kepada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW; kembali kepada syariah Allah yang mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk pengelolaan bumi.
Islam telah menyediakan satu sistem yang indah. Islam menetapkan bahawa tanah dan hutan adalah milik umum, tidak boleh dimiliki oleh korporat; kekayaan alam mesti diuruskan oleh negara untuk kesejahteraan rakyat, bukan untuk segelintir konglomerat; dan pelaku kerosakan alam wajib dihukum dengan tegas kerana ia adalah bentuk pengkhianatan terhadap amanah bumi.
Pada era Kekhilafahan Islam dahulu, Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz pernah membatalkan keizinan eksploitasi lombong ketika mengetahui rakyat dan alam menjadi mangsa. Beliau berkata, “Tidak ada keuntungan yang halal jika ia lahir daripada kezaliman.”
Inilah negara yang dibina atas dasar ketakwaan, bukan atas dasar transaksi untuk meraih keuntungan.
Oleh itu, marilah kita kembali kepada aturan Allah SWT. Marilah kita menyokong usaha penerapan syariah Islam secara kaffah dalam seluruh aspek kehidupan. Agar kehidupan kembali teratur; agar alam kembali bersahabat; agar manusia kembali menjadi penjaga yang amanah.
Oleh itu, bencana bukan sekadar fenomena alam biasa. Bencana adalah peringatan agar manusia kembali kepada Allah SWT. Maka dari itu, jangan hanya menangis ketika banjir melanda, kemudian lupa apabila matahari kembali bersinar. Jadikan musibah ini sebagai momentum untuk bermuhasabah dan pendorong untuk berubah. Berubah menuju kehidupan yang diberkati dan meraih keredhaan Allah.
Seluruh rakyat Indonesia khususnya dan seluruh umat Islam umumnya memerlukan keberanian untuk kembali kepada sistem Allah SWT. Sistem yang pernah membuat umat Islam berdiri megah selama berabad-abad. Sistem yang menjadikan pemimpin sebagai pengurus urusan rakyat, bukan pemburu keuntungan. Sistem yang memandang alam sebagai amanah yang wajib dipelihara, bukan dijadikan barang dagangan.
Jika syariah Islam ditegakkan dengan sempurna, insya-Allah, bukan sahaja kerosakan alam dapat dicegah, malah kerosakan akal, moral, politik dan ekonomi juga dapat dipulihkan. Umat Islam akan kembali bersatu di bawah satu kepimpinan yang adil, kuat dan amanah.
Sumber: http://t.me/ariefbiskandar/3167
#musibahbanjir #IndonesiaBanjir #muhasabahbanjir