PENGUASA ADALAH PELAYAN RAKYATNYA
Firman Allah SWT:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ﴾ [آل عمران: ١٠٢]
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-sebenar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.” [TMQ Ali Imran (3): 102]
Saya berwasiat kepada diri saya sendiri dan kepada seluruh umat Islam agar sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah kita mati kecuali dalam keadaan Muslim.
Salah satu amanah terbesar dalam kehidupan manusia adalah kekuasaan. Ia boleh menjadi sarana kemaslahatan, namun boleh juga menjadi sumber kerosakan. Rasulullah ﷺ telah mengingatkan:
فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ
“Seorang amir (penguasa) yang mengurus manusia adalah pengurus rakyat dan dia akan dimintai pertanggungjawaban atas pengurusan mereka.” (Muttafaq ‘alayh).
Penguasa dalam pandangan Islam bukanlah raja yang berkuasa sesuka hati. Dia adalah pelayan umat yang menunaikan hak-hak mereka dengan penuh amanah dan sepenuh hati. Dia adalah rā‘in (penggembala) bagi rakyatnya. Dia wajib menjaga, melindungi dan menuntun rakyatnya menuju kebaikan.
Namun, realiti hari ini menunjukkan bahawa kekuasaan sama sekali jauh dari tuntunan Islam. Contohnya, projek-projek besar negara sering tidak berpihak kepada rakyat. Lihatlah, betapa banyak projek pembangunan yang ternyata hanya menjadi lubuk korupsi, mark up harga dan hutang ribawi yang membebani generasi. Seperti projek kereta api laju di Indonesia yang menelan kos tiga kali ganda. Akibatnya, rakyat terpaksa menanggung hutang ratusan trilion rupiah. Padahal hanya segelintir orang yang dapat menikmati fasilitinya.
Jika benar niatnya melayani rakyat, sudah tentu yang dibina adalah jenis pengangkutan murah dan berkualiti yang dapat digunakan oleh semua lapis masyarakat. Namun faktanya, yang dibina justeru projek-projek mega dan mewah yang hanya menguntungkan segelintir elit, dan merugikan negeri ini dengan jerat hutang ribawi yang mengalir kuat ke luar negeri.
Dalam Islam, penguasa wajib menjadi pelayan rakyat. Penguasa dalam Islam (Khalifah) adalah pelindung rakyat, bukan penghisap darah rakyat.
Dalam Syarḥ Sunan Abī Dāwūd dijelaskan bahawa kewajipan seorang pemimpin adalah menegakkan agama dan menjaga kemaslahatan umat, baik urusan dunia mahupun akhirat mereka. Maka dari itu, penguasa wajib menjamin keperluan dasar setiap rakyat: rumah, makanan, pakaian, kesihatan dan pendidikan. Penguasa juga wajib menciptakan peluang pekerjaan, memastikan pengagihan harta berjalan dengan adil, serta menegakkan hukum tanpa diskriminasi.
Dalam Islam, Negara tidak mencari keuntungan dari rakyatnya. Hospital, sektor pendidikan dan pengangkutan awam tidak boleh dikomersialkan. Semua perkhidmatan awam disediakan untuk kemaslahatan umat, bukan untuk menguntungkan poket individu pemerintah atau pihak tertentu. Dalam Islam, negara tidak boleh menggadaikan sumber daya alam milik rakyat kepada pihak swasta atau asing.
Allah Ta‘ālā memperingatkan dengan keras kepada para pemimpin yang mengkhianati rakyatnya:
وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Barang siapa yang melakukan khianat, nescaya pada Hari Kiamat dia akan datang membawa apa yang dikhianatinya itu.” [TMQ Āli ‘Imrān (3): 161].
Rasulullah ﷺ juga bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
“Tidaklah seorang hamba yang diberi amanah mengurus rakyat lalu dia mati dalam keadaan menipu (mengkhianati) rakyatnya, kecuali Allah mengharamkan syurga bagi dirinya.” (HR al-Bukhārī dan Muslim)
Na‘ūdzu billāh min dzālik. Inilah ancaman yang seharusnya menggerunkan hati setiap pemimpin.
Namun sayang, dalam sistem demokrasi yang berlandaskan nafsu dan kepentingan duniawi, kekuasaan sering dijadikan alat memperkaya diri. Korupsi, rasuah dan mark up harga (berjual beli dengan rakyat) menjadi perkara biasa. Oleh sebab itu kerosakan demi kerosakan terus berlaku. Rakyat tetap miskin. Harga barang terus naik. Keadilan makin jauh daripada kehidupan.
Sungguh, tidak ada jalan keluar bagi bangsa dan negeri ini, kecuali kembali pada Islam. Kembali pada sistem yang diredhai Allah SWT. Caranya dengan menegakkan syariah Islam secara kaffah dalam seluruh aspek kehidupan. Sudah tentu dalam sistem pemerintahan yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Marilah kita berdoa agar Allah menumbuhkan kesedaran di tengah umat ini, agar kita rindu pada keadilan Islam, dan berjuang menegakkan kembali sistem Islam yang pernah memuliakan peradaban manusia berabad-abad lamanya.
Marilah kita meneguhkan kembali kesedaran bahawa amanah kekuasaan adalah ujian besar di hadapan Allah. Penguasa yang menzalimi rakyatnya akan dimintai pertanggungjawaban di hadapan Penguasa langit dan bumi.
Rasulullah ﷺ bersabda:
لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرْفَعُ لَهُ بِقَدْرِ غَدْرِهِ، أَلَا وَلَا غَادِرَ أَعْظَمُ غَدْرًا مِنْ أَمِيرِ عَامَّةٍ
“Setiap pengkhianat akan membawa bendera pada Hari Kiamat sesuai kadar pengkhianatannya. Ketahuilah, tidak ada pengkhianat yang lebih besar daripada penguasa yang mengkhianati rakyatnya.” (HR Muslim).
Akhirnya, mari kita berdoa agar Allah SWT menjauhkan negeri ini daripada para pemimpin pengkhianat, daripada sistem yang menumbuhkan kezaliman, serta daripada politik yang menukar amanah dengan wang dan kekuasaan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada umat ini pemimpin yang adil, yang takut kepada-Nya, serta yang menegakkan hukum-hukum-Nya.
*Diterbitkan oleh Tim Media IDAROH [Ikatan Da’i Rohmatan lil ‘Aalamiin])
#PolitikIslam #PemimpinAdil #PemimpinAmanah #TegakKhilafah #TerapIslamKaffah