Trend ‘Upgrade’ Gaya Hidup Perangkap Dunia Hari Ini
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis Muslimah, Puan Shahirah Shafaruddin menyatakan, trend upgrade (naik taraf) gaya hidup boleh menjadi perangkap dunia hari ini.
“Dalam dunia yang serba pantas dan penuh godaan hari ini, kita sering terperangkap dalam trend upgrade gaya hidup. Kita diajar untuk mengejar barang, jenama dan status sehingga kejayaan seseorang di ukur melalui kereta mewah, rumah besar dan barang-barang berjenama,” ujarnya dalam program Open Circle, bertajuk Gaya Hidup: Perangkap Dunia Tidak Bernoktah, Ahad (7/12/2025).
Beliau menambah, trend ini juga menjadi perangkap kepada manusia yang dibentuk oleh sistem kapitalisme.
“Kita rasa kita bebas memilih dan mengikuti, tetapi sebenarnya pilihan kita sudah dibentuk oleh iklan, influencer dan algoritma yang dikuasai pemilik modal. Akhirnya, tanpa sedar kita lebih patuh kepada logik pasaran daripada perintahkan Allah SWT. Inilah kesan kapitalisme yang memupuk materialisme,” tambahnya.
Lanjutnya lagi, materialisme ini pula melahirkan satu cara pandang tentang kehidupan yang hanya tentang mengejar material semata-mata.
“Dalam masyarakat moden, cara berfikir kita dipengaruhi oleh budaya materialisme Barat yang menganggap dunia ini hanya tentang material yang boleh dipegang dan diukur. Sehingga lahir satu cara pandang bahawa kejayaan seseorang mesti diukur dengan harta dan kemewahan,” lanjutnya.
Beliau menjelaskan bahawa ada tiga kesan terhadap gaya hidup ini. Pertama, dari sudut kewangan atau tekanan ekonomi.
“Tabiat asyik tukar smartphone bila ada keluaran terbaharu, kereta atau barangan berjenama boleh membawa kepada hutang yang tinggi. Wang yang sepatutnya boleh di simpan untuk kecemasan atau pendidikan habis untuk bayaran ansuran hanya semata-mata untuk upgrade gaya hidup,” katanya.
Kedua, dari sudut emosi dan mental atau tekanan psikologi.
“Hidup yang dibina atas perbandingan dan pengiktirafan orang lain mudah melahirkan rasa cemburu, rendah hari dan stres. Setiap kali nampak orang lain lebih maju, kita rasa tercabar dan cuba bersaing, sehingga penat emosi dan menghilangkan rasa syukur,” jelasnya
Ketiga, dari sudut nilai dan identiti sehingga mengakibatkan tekanan status.
“Fokus yang berlebihan kepada pandangan orang luar menjadikan siapa kita di mata manusia lebih penting daripada pandangan di sisi Allah SWT. Sehingga nilai bersederhana, berjimat dan qana’ah semakin pudar. Akhirnya, normalisasi upgrade gaya hidup ini boleh menjauhkan kita daripada tujuan hidup sebenar,” tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa kehidupan dunia yang nampak seronok boleh melalaikan jika hati terpaut pada dunia. Allah SWT memberi peringatan dalam Surah Al-Hadid, ayat 20.
“.. dan ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” ujarnya.
Beliau menyimpulkan bahawa dunia ini perlu untuk kehidupan manusia, tetapi tidak boleh menjadi matlamat utama.
“Dunia sepatutnya jadi ladang untuk menanam amal soleh, bukan tempat kita tenggelam mengejar kemewahan. Nafsu manusia tidak pernah puas, maka perlu kita sentiasa ingat bahawa nilai sebenar hidup bukan pada sejauh mana kita ikut trend dan gaya hidup yang ada. Tetapi sejauh mana dunia ini digunakan untuk persiapkan diri menuju akhirat yang kekal,” simpulnya. []