[Politik Ekonomi Islam] Perubahan Strategi Penjajahan
Penulis: Abdurrahman Al Maliki
Berkaitan dengan perubahan strategi (uslub) penjajahan, ketika Perang Dunia Kedua hampir berakhir, para pemerhati politik antarabangsa menyedari bahawa sistem penjajahan tidak lagi dapat bertahan. Hal ini kerana serangan yang dilancarkan oleh Rusia terhadap sistem tersebut telah melemahkannya.
Apabila pihak Sekutu mencapai kemenangan dalam Perang Dunia Kedua, antara agenda Rusia ialah meneruskan serangan terhadap sistem kapitalisme dan penjajahan Barat. Rusia juga menggerakkan bangsa-bangsa yang dijajah untuk bangkit melakukan revolusi, di samping mencetuskan pelbagai kesulitan kepada negara-negara Barat.
Disebabkan keadaan ini, Amerika Syarikat mula berfikir bahawa tiada cara lain untuk mengekalkan pengaruh penjajahannya melainkan dengan mengubah strateginya (uslub). Begitu juga, tiada jalan lain untuk merebut kembali wilayah jajahan daripada sisa-sisa negara yang pernah dijajah selain melalui strategi baharu.
Berhubung perkara ini, John Foster Dulles, Menteri Luar Negeri Amerika Syarikat ketika itu, menulis dalam bukunya War and Peace (Perang dan Damai), di bawah tajuk “Evolusi Penjajahan Barat sebagai Alternatif kepada Revolusi Ganas”. Beliau menyatakan bahawa keadaan penjajahan Barat sentiasa dianggap oleh para pemimpin Kesatuan Soviet sebagai “titik lemah utama” (tumit Achelles) yang boleh dijadikan sasaran serangan bagi melumpuhkan kekuatan Barat.”
Beliau menambah lagi, “Menjelang berakhirnya Perang Dunia Kedua, satu-satunya isu politik yang benar-benar mendapat perhatian serius ialah isu wilayah jajahan. Sekiranya negara-negara Barat berusaha mengekalkan penjajahan mereka dalam bentuk yang sedia ada, pemberontakan bersenjata pasti akan tercetus, dan Barat pasti akan mengalami kekalahan. Oleh itu, satu-satunya strategi yang berpotensi berjaya ialah memberikan kemerdekaan secara aman dan bermaruah kepada kira-kira 700 juta manusia yang berada di bawah kekuasaan mereka.”
Setelah itu, Amerika Syarikat menggunapakai taktik baharu ini untuk memperluas penjajahan moden (neoimperialisme). Mereka mula menerapkannya dengan mengikat negara-negara yang baru merdeka dengan melalui pelbagai bentuk pinjaman dan bantuan kewangan.
Pada peringkat awal, taktik baharu penjajahan ini kelihatan samar kepada kebanyakan orang. Hal ini kerana ia diselubungi dengan “topeng” pembebasan daripada cengkaman penjajahan dan disamarkan dengan “pakaian” berupa bantuan ekonomi untuk membangunkan negara-negara yang baru merdeka. Semua ini tidak disedari oleh ramai pihak, kecuali oleh para penganalisis politik antarabangsa.
Namun kini, setelah berlakunya gelombang kemerdekaan di benua Afrika, khususnya selepas peristiwa di Congo, bentuk penjajahan baharu ini semakin jelas. Amerika Syarikat telah menukar strategi penjajahannya daripada dominasi secara ketenteraan dterhadap bangsa-bangsa yang lemah untuk dieksploitasi kepada bentuk penguasaan baharu, iaitu memberikan kemerdekaan secara formal (namun palsu) kepada negara-negara tersebut, sambil mengekalkan hegemoni melalui pelbagai bentuk pinjaman dan bantuan kewangan.
Tidak lagi menjadi rahsia bagi sesiapa bahawa idea memberikan kemerdekaan kepada bangsa-bangsa yang dijajah serta menyalurkan pinjaman kepada mereka hanyalah satu taktik baharu penjajahan. Demikian juga, sudah jelas bahawa Amerika Syarikat sedang menyaingi negara-negara penjajah lain seperti Britain, Perancis, Belgium, Belanda, dan Portugal untuk merampas wilayah jajahan mereka. Caranya ialah dengan menawarkan kemerdekaan dan bantuan kewangan kepada wilayah-wilayah tersebut.
Beberapa peristiwa politik yang berlaku di Congo dan Angola, tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang Britain di Afrika seperti di Rhodesia, serta peristiwa Pembebasan Irian Barat yang membawa kepada penyatuannya dengan Indonesia, semuanya jelas membuktikan dorongan kuat Amerika Syarikat untuk melaksanakan bentuk penjajahan baharu, iaitu memberikan kemerdekaan kepada negara-negara tersebut tetapi mengikatnya dengan hutang.
Negara yang enggan menerima pinjaman daripada Amerika Syarikat akan dikenakan tekanan dan kekacauan yang sengaja ditimbulkan oleh Amerika sehingga akhirnya negara tersebut tunduk dan terpaksa menerima pinjaman daripadanya (atau melalui institusi kewangan antarabangsa yang dikuasainya seperti Tabung Kewangan Antarabangsa IMF dan Bank Dunia, lazimnya atas alasan pemulihan ekonomi). Tujuannya adalah ialah untuk mengikat negara-negara tersebut melalui hutang dan bantuan kewangan.
Hal ini sebagaimana yang berlaku di Indonesia, iaitu ketika negara itu mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, ia pada awalnya menolak pinjaman daripada Amerika. Namun, Amerika kemudian mencetuskan pemberontakan dan kekacauan dalam negara tersebut sehingga akhirnya, pada tahun 1958, Indonesia terpaksa tunduk dan terikat dengan Amerika melalui pinjaman serta bantuan kewangan.
Agar negara-negara yang baru merdeka bersedia menerima pinjaman dan ikatan ekonomi dengan Amerika Syarikat, pelbagai alasan serta justifikasi telah diciptakan. Antara strateginya ialah membina pendapat umum tentang keperluan kepada perancangan dan pembangunan ekonomi di negara-negara yang dahulunya dijajah atau berada di bawah pengaruh Barat.

Matlamatnya ialah untuk menimbulkan dorongan dalam kalangan rakyat di negara-negara tersebut supaya mereka sendiri menuntut pelaksanaan rancangan pembangunan ekonomi yang akhirnya membawa kepada pengambilan dana asing, terutamanya daripada Amerika Syarikat. Melalui cara inilah Amerika dapat memaksakan hegemoni dan pengaruhnya serta mengeksploitasi negara-negara tersebut di bawah nama pembangunan.
Oleh itu, propaganda tentang perancangan dan pembangunan ekonomi sebenarnya merupakan satu propaganda yang menipu dan sarat dengan muslihat. Tujuan tersembunyinya adalah membuka laluan kepada kemasukan modal asing yang berperanan menggantikan kekuatan ketenteraan dalam memaksakan dominasi (penjajahan) ke atas negara-negara Islam.
Namun perlu diketahui bahawa penjelasan ini hanya berkaitan dengan propaganda penjajahan tersebut. Ia bukan berkaitan dengan usaha meningkatkan kekayaan sesebuah negara. Hal ini kerana merangka dasar ekonomi untuk membangunkan kekayaan negara dan memenuhi keperluan material rakyat adalah suatu keperluan yang jelas, penting, dan tidak boleh diabaikan.
Dasar ekonomi seperti ini tidak memerlukan propaganda yang menyeluruh, kerana ia sepatutnya ditentukan oleh keperluan sebenar negara, bukan diarahkan oleh musuh-musuh umat Islam. Sebagai contoh, dasar pendidikan perlu digubal untuk meningkatkan taraf ilmu pengetahuan rakyat; dasar pertahanan untuk memperkukuh keupayaan ketenteraan; dasar luar bagi memperluas pengaruh negara dalam arena antarabangsa dan mengarahkannya ke hala tuju tertentu, serta dasar-dasar lain.
Sebaliknya, apabila propaganda pembangunan ekonomi itu dipaksakan dan datang kepada kita dengan arahan daripada luar, dan dilaksanakan mengikut pelan yang telah dirancang dengan teliti oleh kuasa penjajah, maka hal ini jelas menunjukkan bahawa propaganda tersebut sebenarnya bertujuan memaksakan pengaruh dan dominasi penjajahan ke atas negara-negara Islam.
Inilah bentuk penjajahan tersembunyi di sebalik apa yang sering digembar-gemburkan sebagai “pendapat umum tentang perancangan dan pembangunan ekonomi.”
Sumber: Abdurrahman Al Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam