[Politik Ekonomi Islam] Pelestarian Sistem Kapitalisme
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Usaha-usaha untuk mengekalkan kelangsungan sistem kapitalisme selepas keburukannya terserlah dapat dilihat dengan jelas melalui bentuk pengurusan ekonomi yang dijalankan. Buktinya dapat diperhatikan melalui kesepakatan dalam membina sistem ekonomi yang berasaskan peningkatan pendapatan negara, tetapi ditampal dengan konsep Keadilan Sosial atau disaluti elemen sosialisme.
Negara-negara yang telah berjaya ditundukkan oleh Amerika Syarikat melalui penguasaan modal, seperti Mesir, yang sering berbangga dan lantang mempropagandakan sosialisme di peringkat antarabangsa, sebenarnya turut menjadikan peningkatan pendapatan negara sebagai asas utama pengurusan ekonominya.
Hal ini menunjukkan bahawa ekonomi negara-negara tersebut masih dibina di atas asas sistem kapitalisme. Maka, isu yang sebenar bukanlah penolakan terhadap sistem kapitalisme, tetapi usaha untuk memperbaharui kaedah pelaksanaannya agar dapat diterapkan melalui strategi (uslub) baharu yang menyembunyikan wajah asal sistem tersebut. Keadaan ini sama seperti pengembangan taktik penjajahan.
Kebusukan sistem kapitalisme telah terbongkar, dan kerosakannya semakin nyata di hadapan negara-negara yang berada di bawah hegemoni Barat. Propaganda Rusia yang menyerang sistem kapitalisme juga memberi kesan besar sehingga ada kalangan penyokong kuat Barat mengakui bahawa, “Sudah tidak mungkin lagi menerapkan sistem kapitalisme secara sempurna kerana pelbagai bahaya ekonomi dan sosial yang menyelubunginya.”
Oleh sebab itu, pelestarian sistem kapitalisme dengan strategi baharu menjadi keperluan penting bagi memastikan sistem ini terus dilaksanakan dalam masyarakat tanpa disedari secara jelas. Maka, strategi baharu ini sebenarnya merupakan pengembangan daripada sistem kapitalisme itu sendiri.

Bagi mencapai tujuan ini, para pendukung sistem tersebut berusaha membentuk pandangan umum tentang perancangan dan pembangunan ekonomi, serta menyemai pandangan umum tentang Sosialisme dan Keadilan Sosial. Dengan cara ini, mereka berusaha menjamin kelangsungan sistem kapitalisme agar terus diterapkan dan kekal mendominasi negeri-negeri Islam melalui taktik baharu tersebut.
Namun, hakikatnya, strategi ini bukanlah sesuatu yang benar-benar baharu sebagaimana juga taktik neoimperialisme. Ia sebenarnya merupakan strategi lama yang pernah digunakan oleh Eropah ketika keburukan sistem kapitalismenya mula terserlah pada abad ke-19 dan hampir runtuh.
Ketika itu, strategi tersebut digunakan dan berjaya menangkis ancaman terhadap sistem kapitalisme sehingga membolehkannya terus bertahan di Eropah hingga ke hari ini. Kini, Eropah kembali menggunakan taktik yang sama di negara-negara yang berada di bawah pengaruhnya bagi memastikan sistem kapitalisme terus kekal walaupun berada di ambang keruntuhan.
Dengan demikian, strategi ini mungkin baharu bagi negara-negara tersebut, tetapi bukan hal baharu dari segi kemunculannya, kerana hakikatnya ia adalah strategi lama. Sejak awal abad ke-19, kebusukan sistem kapitalisme telah terserlah sepenuhnya dan muncullah pemikiran-pemikiran baharu yang mengancam untuk meruntuhkannya. Munculnya pemikiran baru ini adalah akibat daripada kezaliman yang dirasakan oleh masyarakat di Eropah dan Rusia yang ditimbulkan oleh sistem kapitalisme ini.
Kesilapan dalam sistem kapitalisme yang terlalu banyak telah melahirkan pemikiran-pemikiran sosialis yang akhirnya menjadi pandangan umum. Pada separuh pertama abad ke-19, pemikiran-pemikiran sosialisme ini berkembang dalam bentuk wacana intelektual, surat-menyurat dan karya penulisan. Walaupun telah wujud beberapa parti yang memperjuangkan pemikiran sosialis, namun parti-parti ini belum memainkan peranan yang cukup kuat untuk mempengaruhi masyarakat atau menggugat sistem pemerintahan dan sistem kehidupan yang sedia ada.
Pada separuh kedua abad ke-19, keadaan mula berubah apabila gerakan sosialisme berkembang menjadi sebuah gerakan politik. Kemudian pelbagai usaha dilakukan untuk menubuhkan parti-parti yang berjuang meraih kekuasaan bagi menerapkan sistem sosialisme. Parti-parti yang mengusung idea-idea sosialis ini secara nyata muncul di Rusia dan beberapa negara Eropah. Parti-parti sosialis ini kemudian menerbitkan pelbagai majalah, menganjurkan persidangan, melancarkan gerakan revolusi, serta menyebarkan propaganda tentang sosialisme. Akibatnya, idea-idea sosialisme hampir menguasai seluruh benua Eropah.
Keadaan ini menyebabkan sistem kapitalisme terancam dengan kehancuran, terutamanya akibat pengaruh Sosialisme Marxis. Golongan kapitalis kemudian tampil dengan gagasan baharu yang dikenali sebagai “Sosialisme Negara” (State Socialism) sebagai usaha mengalihkan perhatian masyarakat daripada sosialisme Marxis.
Selain itu, gagasan ini juga dijadikan strategi baharu untuk mengekalkan sistem kapitalisme dalam bentuk baharu agar kelangsungannya terjamin. Walau bagaimanapun, sosialisme Karl Marx akhirnya berjaya dan melahirkan negara Kesatuan Soviet (USSR), dan kejayaan ini memperhebatkan lagi ancaman terhadap sistem kapitalisme.
Sebaliknya, sosialisme negara (yang awalnya diperkenalkan untuk menentang sosialisme Marxis), kemudian dijadikan asas oleh pelbagai parti di kebanyakan negara Eropah. Namun, gagasan ini gagal mencapai kejayaan dan akhirnya runtuh. Selepas itu, muncul pula idea Keadilan Sosial yang mengambil bentuk pelbagai perkhidmatan sosial demi mempertahankan sistem kapitalisme.
Dengan dua idea ini, iaitu Sosialisme Negara dan Keadilan Sosial, Eropah berjaya mengekalkan sistem kapitalismenya serta mampu bertahan menghadapi ancaman sosialisme Marxis di Rusia. Eropah telah berhadapan dengan idea sosialisme sejak ia masih ia berupa sebuah parti pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, sehinggalah sosialisme menjadi ideologi rasmi sebuah negara (Kesatuan Soviet) selepas Perang Dunia Pertama hingga berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Kini, apabila kezaliman kapitalisme mula dirasai oleh masyarakat di negara-negara yang pernah berada di bawah kekuasan Eropah, negara-negara besar tampil memperkenalkan idea sosialisme, iaitu Sosialisme Negara dan Keadilan Sosial, disertai dengan propaganda perancangan dan pembangunan ekonomi. Semua ini merupakan strategi untuk mempertahankan sistem kapitalisme serta memastikan negara-negara yang berada di bawah pengaruh mereka tidak terlepas daripada cengkamannya.
Oleh itu, propaganda sosialisme, iaitu Sosialisme Negara, yang disebut oleh pemimpin Arab sebagai Sosialisme Arab, bersama propaganda keadilan sosial, serta slogan perancangan dan pembangunan ekonomi, semuanya merupakan propaganda terselindung (penyamaran). Tujuan sebenarnya ialah untuk mengekalkan sistem kapitalisme di negara-negara tersebut dengan memelihara asasnya, sambil menutupnya dengan konsep sosialisme, iaitu Sosialisme Negara dan Keadilan Sosial. Dengan cara ini, sistem kapitalisme terus diterapkan dan mengawal setiap interaksi kehidupan masyarakat Islam.
Inilah asas kepada propaganda perancangan dan pembangunan ekonomi, selain propaganda Sosialisme dan Keadilan Sosial, semuanya merupakan usaha untuk memanjangkan hayat penjajahan Barat serta mengekalkan sistem kapitalisme di negeri-negeri umat Islam.
Kerosakan pemikiran ini, sama ada pemikiran mengenai usaha untuk menjadikan peningkatan pendapatan negara (national income) sebagai asas sistem ekonomi, ataupun pemikiran Sosialisme, dan Keadilan Sosial akan menjadi jelas apabila dikaji secara mendalam. Lebih-lebih lagi kerana semua pemikiran ini adalah hasil rekayasa kuasa-kuasa besar Barat. Oleh itu, setiap pemikiran tersebut perlu dipaparkan dan diteliti satu persatu dan dijelaskan kesalahannya sebagai sebuah pemikiran ekonomi.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Kapitalisme