[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Sosialisme Sejati [Bahagian 1/2]
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Sosialisme sejati, iaitu sosialisme kapitalis dan sosialisme pertanian lahir daripada suatu pemikiran yang bersifat konkrit dan definitif. Sosialisme sejati boleh dianuti serta dipertahankan oleh individu mahupun kumpulan, namun pelaksanaannya tidak mungkin direalisasikan tanpa menggunakan kekerasan dan paksaan. Hal ini demikian kerana sosialisme bertentangan dengan fitrah manusia serta mengehadkan aktiviti manusia.
Sosialisme pertanian tidak wujud di negara-negara Islam, maka tidak perlu membuang tenaga untuk menolaknya. Memadai difahami bahawa sistem ini rosak kerana memperlahankan pengeluaran pertanian akibat penafian hak milik tanah yang bertentangan dengan fitrah manusia. Keinginan untuk memiliki sesuatu merupakan salah satu manifestasi naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’). Oleh itu, seseorang tidak akan terdorong untuk melibatkan diri dalam pengeluaran pertanian sekiranya dia dilarang memiliki hasil pengeluarannya. Hakikat ini sahaja sudah cukup untuk menunjukkan kerosakan sistem tersebut.
Sosialisme kapitalis pula berpendapat bahawa pemilikan individu terhadap alat-alat pengeluaran seperti tanah, kilang, dan lombong perlu dihapuskan. Ini bermaksud sistem tersebut melarang pemilikan terhadap barang yang boleh menghasilkan barang lain. Seseorang tidak dibenarkan memiliki rumah untuk disewakan, tetapi boleh memilikinya untuk didiami sendiri. Dia juga tidak boleh memiliki tanah bagi tujuan pertanian komersial, tetapi dibenarkan memiliki tanah untuk menanam hasil bagi kegunaan sendiri. Begitu juga, dia tidak dibenarkan memiliki kilang bagi tujuan pengeluaran.
Sistem ini melarang individu memiliki sebarang alat pengeluaran, namun masih membenarkan pemilikan harta untuk kegunaan peribadi. Ini bermaksud penghapusan pemilikan individu hanya berlaku secara separa, iaitu terhad kepada harta yang bersifat produktif. Inilah ringkasan sosialisme kapitalis, dan ia jelas merupakan doktrin yang salah.
Ini kerana penghapusan pemilikan terhadap harta yang secara semulajadi sebenarnya tidak memerlukan campur tangan, iaitu dengan menghadkan pemilikan. Dalam ertikata lain, membenarkan pemilikan terhadap jenis harta tertentu, tetapi melarang pemilikan jenis harta yang lain. Sekatan sebegini semestinya menyekat keaktifan manusia, membazirkan tenaga serta mengurangkan produktiviti.
Apabila seseorang dihalang daripada memiliki lebih daripada kadar yang telah ditetapkan, maka dia akan terhenti pada batas tertentu dan kehilangan dorongan untuk terus berusaha. Masyarakat turut kehilangan manfaat daripada hasil usaha ahli-ahli masyarakat. Keadaan sedemikian pasti membawa kepada kemunduran hasil pengeluaran, sebagaimana yang pernah berlaku dalam sektor pertanian di Rusia.
Sosialisme Karl Marx pula dibina atas teori materialisme, iaitu pandangan yang menegaskan bahawa kehidupan, manusia, dan alam semesta hanyalah benda (materi) yang berevolusi secara sendiri mengikut hukum-hukum alam. Menurut teori ini, tidak ada Pencipta dan tidak ada makhluk ciptaan, yang wujud hanyalah proses evolusi dan perubahan dalam benda itu sendiri.
Lenin pernah menulis tentang konsep materialisme terhadap pandangan yang dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani purba, Heraclitus (540–480 SM), yang berkata: “Dunia ini satu, tidak diciptakan oleh mana-mana tuhan atau manusia. Ia telah ada, sedang ada, dan akan kekal sebagai nyalaan api yang hidup selama-lamanya, yang menyala dan padam menurut hukum tertentu.”
Lalu Lenin berkomentar: “Alangkah hebatnya penjelasan ini tentang prinsip-prinsip dialektik materialisme.”
Frederick Engels (1820–1895) turut menyatakan: “Konsep materialisme terhadap dunia bermaksud memahami alam semula jadi sebagaimana adanya, tanpa sebarang tambahan yang bersifat asing atau luar daripada hakikatnya.”
Sementara Marx pula menyatakan: “Benda (materi) inilah yang menjadi hakikat kepada segala perubahan yang berlaku.”
Menurut Marx, tertegaknya suatu sistem baharu dalam masyarakat berlaku secara sempurna hasil daripada berfungsinya hukum-hukum ekonomi serta evolusi masyarakat tanpa memerlukan campur tangan daripada pembuat undang-undang, atau reformis. Teorinya dapat diringkaskan bahawa sistem masyarakat pada sesuatu zaman adalah hasil langsung daripada keadaan ekonominya.
Bagi Marx, segala perubahan atau pergolakan yang menimpa sesuatu sistem masyarakat berpunca daripada satu sebab, iaitu perjuangan antara kelas-kelas sosial (class struggle) untuk memperbaiki keadaan material masing-masing. Sejarah memberitahu kita bahawa perjuangan ini sentiasa berakhir dengan pola yang sama: kemenangan berpihak kepada golongan majoriti yang miskin dan tertindas, ke atas golongan kaya yang jumlahnya lebih sedikit. Inilah yang disebut oleh Marx sebagai teori evolusi sosial.
Menurutnya lagi, teori ini akan akan diterapkan pada masa hadapan sebagaimana ia pernah diterapkan pada masa lalu. Dalam abad-abad terdahulu, perjuangan ini wujud antara golongan majikan dan hamba, kemudian antara golongan bangsawan dan rakyat biasa, dan seterusnya antara golongan bangsawan dan petani. Setiap kali, perjuangan itu berakhir dengan kemenangan golongan tertindas yang ramai bilangannya ke atas golongan penindas yang sedikit jumlahnya. Namun setelah mencapai kemenangan, golongan tertindas itu akhirnya berubah menjadi golongan penindas yang baharu dan bersifat konservatif.
Sejak berlakunya Revolusi Perancis, perjuangan kelas ini berubah bentuk menjadi pertentangan antara golongan pertengahan (borjuasi) dan golongan pekerja. Golongan borjuasi telah menjadi penguasa dalam kegiatan ekonomi serta pemilik modal, lalu berubah menjadi golongan yang bersifat konservatif. Berhadapan dengan mereka ialah golongan pekerja yang tidak memiliki sebarang modal, tetapi jumlahnya jauh lebih ramai. Maka timbullah konflik kepentingan antara kedua-dua golongan ini.
Akibat daripada konflik kepentingan ini, menurut Marx, berlakulah perjuangan antara kelas-kelas sosial sehingga sistem ekonomi kapitalis runtuh, dan di atas runtuhannya itu berdirilah sistem sosialisme sebagai gantinya. Inilah ringkasan ajaran sosialisme Marxis. Tidak diragukan lagi, ia adalah pemikiran yang salah.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.