[Tafsir] Kemuliaan bagi Golongan yang Bertakwa (1/2)
Oleh: KH Rokhmat S. Labib, M.E.I.
وَأُزۡلِفَتِ ٱلۡجَنَّةُ لِلۡمُتَّقِينَ غَيۡرَ بَعِيدٍ ٣١
“Dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa, pada tempat yang tidak jauh (daripada mereka).” [TMQ Qaf (50): 31]
Dalam ayat sebelum ini diberitakan mengenai keadaan Neraka Jahannam pada Hari Kiamat. Pada hari tersebut, Allah SWT bertanya kepada Neraka Jahannam sama ada neraka itu telah penuh, lalu dijawab: “Masih ada tambahan.” Kemudian diteruskan berita tentang syurga, iaitu bahawa syurga didekatkan kepada golongan yang bertakwa.
Tafsir Ayat:
وَأُزۡلِفَتِ ٱلۡجَنَّةُ لِلۡمُتَّقِينَ ٣١
“Didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa.”
Ayat ini masih membicarakan tentang Hari Kebangkitan dengan menyampaikan sebahagian peristiwa yang berlaku pada hari tersebut. Setelah menerangkan perbualan yang berlaku antara orang kafir dengan syaitan yang menjadi qarîn (pendamping) mereka pada Hari Kiamat, Allah SWT menerangkan pula keadaan golongan yang bertakwa.
Dalam ayat sebelum ini, Allah SWT memberitakan azab yang akan diterima oleh para penghuni neraka. Sebaliknya, ayat ini menyampaikan khabar tentang kenikmatan yang akan diterima oleh para penghuni syurga. Menurut Wahbah az-Zuhaili, hal ini selaras dengan kebiasaan al-Quran yang membandingkan perkara-perkara yang saling bertentangan atau berlawanan dengan menyebut sesuatu yang menjadi lawannya. Dengan demikian, diharapkan manusia menjadi waspada dan takut, serta memiliki keinginan dan harapan terhadap rahmat Allah. Maka dengan itu terhimpunlah gabungan antara tarhîb dan targhîb; antara rasa takut dan cemas dengan harapan serta keinginan yang kuat.[1]
Dalam ayat sebelum ini diberitakan bahawa syurga itu didekatkan kepada al-muttaqīn (golongan yang bertakwa). Mereka ialah kaum yang tunduk dan patuh kepada syariah dalam seluruh aspeknya, berlandaskan keimanan serta dorongan untuk memperoleh keredhaan dan pahala daripadaNya.
Ibnu Jarir at-Tabari berkata: “Syurga didekatkan kepada golongan yang bertakwa kepada Tuhan mereka. Mereka takut akan azab Allah dengan menunaikan seluruh kewajipanNya dan menjauhi segala laranganNya.”[2]
Dari sudut bahasa, perkataan «أزلف الشيءَ» membawa maksud «قرَّبه وقدَّمه», iaitu “mendekatkan dan memajukannya”. Makna ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَأَزۡلَفۡنَا ثَمَّ ٱلۡأٓخَرِينَ ٦٤
“Dan di sanalah Kami mendekatkan golongan yang lain.” [TMQ as-Syu‘ara’ (26): 64]
Maksudnya: « قرَّبناهم من البحر لأجل الإغراق » “Kami mendekatkan mereka ke laut untuk ditenggelamkan.”[3]
Makna yang sama juga terkandung dalam ayat ini. Menurut Qatadah, Abu Malik dan as-Suddi, ayat tersebut bermaksud: « أُدْنِيَتْ وَقُرِّبَتْ مِنَ الْمُتَّقِينَ » “Syurga didekatkan dan dihampirkan kepada golongan yang bertakwa.”[4]
Menurut al-Qurthubi, maksudnya ialah: « فربت مِنْهُمْ » “Syurga itu didekatkan kepada mereka.”[5]
Abu Bakar al-Jazairi berkata: « قربت الجنة لِلْمُتَّقِينَ » “Syurga didekatkan kepada golongan yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menjauhi syirik dan maksiat.”[6]
Penggunaan bentuk kata kerja lampau (fi‘l māḍī) pada perkataan «أُزْلِفَتْ» (telah didekatkan) bertujuan menunjukkan bahawa peristiwa tersebut benar-benar berlaku dan pasti akan berlaku.[7]
Khabar bahawa syurga didekatkan kepada golongan yang bertakwa turut disebut dalam ayat lain, iaitu:
وَأُزۡلِفَتِ ٱلۡجَنَّةُ لِلۡمُتَّقِينَ ٩٠
“Syurga didekatkan kepada golongan yang bertakwa.” [TMQ as-Syu‘ara’ (26): 90]
Juga dalam firmanNya:
وَإِذَا ٱلۡجَنَّةُ أُزۡلِفَتۡ ١٣
“Apabila syurga itu didekatkan.” [TMQ at-Takwir (81): 13]
Namun demikian, terdapat perbezaan pendapat tentang waktu berlakunya peristiwa tersebut. Ada yang berpendapat bahawa ia berlaku sebelum mereka memasuki syurga, iaitu ketika mereka masih berada di dunia. Golongan yang bertakwa itu telah pun didekatkan dengan syurga apabila dikatakan kepada mereka: “Jauhilah perbuatan maksiat!”
As-Syaukani turut menukilkan satu pendapat yang menyatakan bahawa ketika di dunia, hati mereka telah dihiasi dengan dorongan dan ancaman, sehingga hati mereka menjadi dekat (dengan syurga). [9]
Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa peristiwa itu berlaku pada Hari Kiamat, iaitu sejurus sebelum mereka dimasukkan ke dalam syurga. Syurga didekatkan ke tempat para penghuninya supaya mereka tidak perlu menempuh perjalanan yang jauh.[10]
Abdurrahman as-Sa‘di berkata: “Syurga itu didekatkan sehingga dapat disaksikan dan dilihat segala kenikmatan yang kekal, keindahan serta kesenangan yang terdapat di dalamnya.”[11]
Syeikh Mutawalli as-Sya‘rawi menukilkan penjelasan para ulama bahawa syurga didekatkan kepada mereka sebelum mereka memasukinya, sedangkan mereka masih berada dalam keadaan yang dahsyat, iaitu Hari Kiamat dan hisab. Syurga didekatkan kepada mereka agar mereka berasa tenteram dengannya dan supaya keadaan yang berat itu menjadi lebih ringan bagi mereka.[12]
Menurut Ibnu Asyur, syurga itu telah pun wujud sebelum kedatangan golongan yang bertakwa. Oleh itu, perkataan “didekatkan” di sini boleh membawa maksud bahawa mereka dibangkitkan di tempat hisab yang dekat dengan syurga sebagai suatu karāmah atau penghormatan kepada mereka, bagi meringankan beban mereka. Ia juga boleh bermaksud kemudahan mereka sampai ke syurga dengan cara yang tidak diketahui menurut kebiasaan penduduk dunia. [13] Menurut Muhammad al-Amin al-Harari, pendapat yang kedua adalah lebih tepat.[14]
Kemudian disebutkan:
غَيۡرَ بَعِيدٍ ٣١
“Pada tempat yang tidak jauh (daripada mereka).”
Maksudnya: «وَلَيْسَ بِبَعِيدٍ» (tidak jauh). Ertinya, syurga itu tidak jauh daripada mereka. Ungkapan ini merupakan ta’kīd (penegasan atau penguatan).[15]
Perkataan «غَيْرَ» dalam frasa «غَيْرَ بَعِيدٍ» di-nashab-kan sebagai zharf (keterangan). Menurut sebahagian ulama, ia merupakan zharf al-zamān (keterangan waktu). Dengan demikian, makna ghayru ba‘īd ialah “tidak lama lagi” atau “sebentar lagi”. Hari Kiamat disebut sebagai ghayru ba‘īd yang bermaksud « وَلَيْسَ بِبَعِيدٍ » “tidak jauh”, kerana ia pasti berlaku dan bukan sesuatu yang mustahil. Setiap perkara yang pasti berlaku adalah dekat waktunya.
Allah SWT juga berfirman:
وَأَنذِرۡهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡأٓزِفَةِ ١٨
“Dan berilah mereka peringatan tentang hari yang dekat (Hari Kiamat).”
[TMQ Ghafir (40): 18]
Hari Kiamat disebut sebagai “hari yang dekat” kerana: «كُلُّ مَا هُوَ آتٍ قَرِيبٌ» (setiap perkara yang pasti akan datang adalah dekat). Ini juga membawa makna at-tawkīd (penguatan dan penegasan).
Ada juga yang berpendapat bahawa frasa tersebut merupakan zharf al-makān (keterangan tempat), iaitu: tempat yang tidak jauh daripada mereka.[18] Maksudnya, jaraknya sangat dekat. Inilah yang dinyatakan oleh Imam az-Zamakhsyari: di tempat yang tidak jauh.[19]
Menurut al-Harari, frasa tersebut bermaksud tempat yang tidak jauh daripada mereka. Dengan itu, mereka dapat menyaksikan syurga tersebut dari tempat mereka berdiri (pada Hari Kiamat). Mereka juga dapat melihat apa yang ada di dalamnya sebelum mereka memasukinya, iaitu pelbagai bentuk keindahan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia. Lalu mereka bergembira kerana mereka digiring menuju syurga itu dan akan memperolehnya.[20]
Wahbah az-Zuhaili juga berkata: “Syurga didekatkan kepada golongan yang bertakwa dengan sedekat-dekatnya dan tidak jauh, atau berada di tempat yang tidak jauh, bahkan dapat dilihat oleh mereka. Mereka dapat menyaksikan syurga itu dari tempat mereka dan melihat apa sahaja yang ada di dalamnya, iaitu perkara-perkara yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, serta tidak pernah terlintas dalam hati dan fikiran manusia.”[21]
As-Syaukani juga mengemukakan satu tafsiran yang menyatakan bahawa maksud ayat ini ialah syurga itu berada di tempat yang tidak jauh daripada mereka. Dalam erti kata lain, mereka dapat menyaksikan syurga dari tempat mereka sendiri dan dapat melihat di dalamnya segala sesuatu yang belum pernah dilihat, belum pernah didengar dan belum pernah terlintas dalam fikiran manusia.[22]
Pendapat yang sama turut dikemukakan oleh ramai mufassir lain seperti al-Baidhawi, al-Khazin, al-Jazairi, Ibnu ‘Asyur dan lain-lain. Menurut mereka, makna «غَيْرَ بَعِيدٍ» ialah tempat syurga itu tidak jauh kerana mereka dapat melihatnya.[23]
Demikianlah. Golongan yang bertakwa memperoleh kemuliaan dan penghormatan di akhirat. Mereka dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan. Bahkan lebih daripada itu, syurga sendiri didekatkan kepada mereka. Maka sewajarnyalah kita merindukan syurga dengan mengukuhkan keimanan dan meningkatkan ketaatan. Itulah hakikat ketakwaan yang sempurna.
Wallāhu a‘lam bi al-ṣawāb.
Nota kaki:
- Al-Zuhaili, Tafsîr al-Munîr, 26 (Damsyiq: Dar al-Fikr al-Mu’asir, 1998), 307
- al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, 22, 363
- Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’âsirah, 2 (tt: ‘Alam al-Kutub, 2008), 991
- Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 40
- al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 19
- al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, 5, 148
- Abu al-Su’ud, Irsyâd al-‘Aql al-Salîm ilâ Mazâyâ al-Kitâb al-Karîm, 6 (Beirut: Dar Ihya` al-Turath al-‘Arabiyy, tt), 251; al-Alusi, Rûhal-Ma’ânî, 10 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993) , 99
- al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 19
- al-Syaukani, Fat-hal-Qadîr, 5, 92
- al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 19
- al-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahmân, 806
- al-Sya’rawi, al-Khawâthir, 17 (Kaherah: Matahabi’ Akhbar al-Yawm, 1997), 10607
- Ibnu Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr, 26 (Tunis: Dar al-Tunisiyyah, 1984), 319
- al-Harari, Hadâiq al-Rûhwa al-Rayhân, 27 (Beirut: Dar Thawq al-Najah, 2001), 469
- al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 17, 19
- Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7, 406
- al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, 15, 302
- al-Naisaburi, Gharâib al-Qur‘ân wa Raghâib al-Furqân, 6 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999), 177
- al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabiyy, 1984), 389
- al-Harari, Hadâiq al-Rûhwa al-Rayhân, 27, 469
- al-Zuhaili, al-Tafsîr al-Munîr, 26, 307
- al-Syaukani, Fat-hal-Qadîr, 5, 92
- al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, 5 (Beirut: Dar Ihya‘ al-Turath al-‘Arabiy, 1998), 143; al-Khazin,Lubâb al-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, 4, 189; Ibnu Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr, vol. 26, 319; al-Jazairi, Aysar al-Tafâsîr, vol. 5, 148
#Tafsir #AhliSyurga #Takwa #GolonganBertakwa