Sikap Riya` Akan Membatalkan Sedekah
Firman Allah SWT (yang bermaksud) “Janganlah kamu merosakkan sedekahmu dengan mengungkit-ungkitnya dan menyakitinya”. [TMQ al-Baqarah (2): 264] menjelaskan bahawa sikap mengungkit-ungkit dan menyakiti penerima itu boleh membatalkan sedekah.
Jadi, pertama: Pahala itu bersyarat, iaitu tidak mengungkit-ungkit dan menyakiti penerima.
Kedua: Kata-kata yang baik lebih penting daripada sedekah yang disertai dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti.
Ketiga: Bahawa sikap mengungkit-ungkit dan menyakiti itu membatalkan sedekah, untuk menghilangkan kekeliruan dalam memahami ayat sebelumnya [TMQ al-Baqarah (2): 262], bahawa zakat atau infak dalam jihad itu mungkin sah (menggugurkan kewajipan) namun tanpa mendapatkan pahala.
Maka ayat ini menjelaskan dan menepis kemungkinan bahawa sedekah itu boleh sah walaupun disertai dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti. Ayat ini menegaskan bahawa dalam perkara sedemikian sedekah menjadi batal (tidak diterima).
Kemudian Allah SWT memberi contoh tentang orang yang sedekahkan harta mereka untuk dilihat oleh manusia (riya`), tanpa disertai ikhlas kerana Allah SWT dan Hari Akhirat. Sedekah ini diibaratkan seperti debu di atas batu licin yang ditimpa hujan lebat, yang menghanyutkan semua debu yang melekat padanya. Ini bermakna sedekah sedemikian tidak mempunyai nilai atau berat. Perkara itu tidak memberi manfaat kepada orang yang bersedekah dengan sebarang pahala daripada Allah SWT. Begitu juga, orang yang bersedekah dengan riya` tidak boleh mengambil kembali kekayaan mereka. Ini bermakna dia tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya sama ada di dunia atau di akhirat.
Itulah orang-orang munafik yang membatalkan infak dan sedekah melalui sikap riya` dan ketiadaan iman mereka kepada Allah SWT dan Hari Akhirat. Mereka kehilangan harta di dunia kerana harta itu telah terlepas daripada tangan mereka. Mereka juga kehilangannya di akhirat kerana menginfakkannya dengan sikap riya` dan munafik, sehingga mereka tidak mendapat pahala daripadanya.
Kemudian Allah SWT mengakhiri ayat tersebut dengan menyatakan bahawa orang-orang kafir tidak diberi petunjuk oleh Allah SWT. Sebaliknya, mereka berada dalam kesesatan yang nyata.
Sumber: “At-Taisir fi Ushul at-Tafsir” – Syeikh ‘Atha’ bin Khalil
#sedekah #riya #penyakithati