Kewajipan Negara Menyediakan Perkhidmatan Kesihatan
Kesihatan dan perubatan termasuk kewajipan yang perlu disediakan oleh negara bagi rakyat. Ada dalil-dalil khusus tentang kewajipan tersebut, di antaranya hadis riwayat Muslim bahawa:
“Rasulullah SAW mengutus seorang tabib kepada Ubay bin Ka’b.”
Di sini Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin telah mengutus tabib kepada Ubay RA agar merawatnya.
Imam Muslim juga meriwayatkan:
“Sa’d tercedera pada hari Khandaq. Seorang lelaki dari Quraisy bernama Ibnu al-‘Ariqah memanahnya hingga terkena pembuluh darah besar pada siku bahagian dalamnya. Maka Rasulullah SAW pun mendirikan sebuah khemah untuknya di masjid agar Baginda dapat menjenguknya dari dekat.”
Ini menunjukkan bahawa khemah itu didirikan atas perintah Baginda SAW, dan khemah itu berada di masjid, iaitu di tempat umum. Maka boleh dikatakan bahawa khemah itu berfungsi sebagai hospital umum. Baginda SAW bersabda dalam riwayat lain: “Tempatkan dia di khemah Rufaidah” yang menjadi dalil bahawa Baginda menguruskan perkara tersebut sebagai ketua negara dan panglima tertinggi pasukan.
Dalam hadis itu juga terdapat isyarat bahawa ketua bagi hospital tersebut tidak mengambil upah daripada para pesakit tetapi berkhidmat secara sukarela kepada siapa pun dari kalangan kaum Muslim yang berada dalam keadaan tidak berdaya—iaitu kaum fakir daripada kaum Muslim.
Namun perubatan percuma ini juga bukanlah khusus bagi kaum fakir saja; sebab Sa’d, yang merupakan tokoh Bani ‘Abd al-Asyhal, bukanlah orang yang tidak berkemampuan, namun dia juga mendapatkan rawatan tanpa bayaran.
Kerana itulah negara wajib menyediakan perkhidmatan perubatan bagi seluruh rakyatnya, sama ada bagi yang miskin mahupun yang kaya.
Selain itu Imam Bukhari dan Imam Muslim juga meriwayatkan:
“Sekelompok orang dari (kabilah) ‘Ukl atau ‘Uraynah datang, lalu mereka merasa tidak sesuai dengan (iklim) Madinah. Maka Nabi SAW memerintahkan mereka agar (mendatangi) unta-unta zakat dan meminum air kencing serta susunya.”
Rasulullah SAW mengizinkan mereka meminum susu unta zakat, sedangkan unta-unta itu merupakan sebahagian daripada harta Baitul Mal. Dalam perkara ini terdapat dalil bahawa perubatan termasuk kemaslahatan kaum Muslim yang dibiayai daripada Baitul Mal.
Sumber: “Siyâsah ar-Ri’âyah ash-Shihhiyah fi Daulah al-Khilâfah”
#Kesihatan