Sharf dan Transaksi Emas, Perak dan Wang
Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
الْوَرِقُ بِالذَّهَبِ رِبًا، إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ رِبًا، إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ رِبًا، إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ رِبًا، إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ
“Pertukaran dirham dengan emas mengandungi riba kecuali dilakukan secara tunai dan kontan (serta merta). Pertukaran gandum dengan gandum mengandungi riba kecuali secara tunai dan kontan. Pertukaran jelai (barli) dengan jelai (barli) mengandungi riba kecuali secara tunai dan kontan. Pertukaran kurma dengan kurma mengandungi riba kecuali secara tunai dan kontan. [HR Muslim no. 1586, Ahmad no. 162 dan 314, Abu Dawud no. 3348, atTirmidzi no. 1243, an-Nasai no. 4558 dan Ibnu Hibban no. 5013].
Hadis ini diriwayatkan dari jalur Malik bin Aws bin al-Hadatsan. Ia berkata: Aku datang dan aku katakan, “Siapa yang mensharf dirham?” Thalhah bin Ubaidillah—dan dia ada di samping Umar bin al-Khattab—berkata, “Bawa kepada kami emasmu, kemudian berikan kepada kami. Jika pembantu kami datang, kami beri kamu dirhammu.” Lalu Umar bin al Khattab berkata, “Tidak boleh. Demi Allah, kamu berikan dirhamnya atau kamu kembalikan kepada dia emasnya. Ini kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda… (matan hadis tersebut).”
Abu al-Minhal menuturkan: Rakan kongsiku menjual dirham sampai musim haji. Lalu dia datang memberitahu aku. Aku katakan, “Perkara ini tidak boleh.” Dia berkata, “aku menjualnya di pasar dan tidak ada seorang pun mengingkari aku.” Lalu aku mendatangi al-Bara’ bin ‘Azib dan aku tanyakan, dia berkata: Nabi SAW datang ke Madinah saat kami menjual dengan penjualan ini. Baginda bersabda:
مَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ فَلَا بَأْسَ بِهِ، وَمَا كَانَ نَسِيئَةً فَهُوَ رِبًا
”Apa yang tunai maka tidak mengapa, sedangkan yang bertempoh maka itu adalah riba” [HR Muslim no. 1589 dan an-Nasai no. 4575].
Ubadah bin as-Samit menuturkan bahawa Rasul SAW bersabda:
الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ، مِثْلًا بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَدًا بِيَدٍ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ
”Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, jelai(barli) dengan jelai(barli), kurma dengan kurma dan garam dengan garam, (mesti) seumpama, sama dan tunai. Jika berbeza jenis-jenis ini, maka juallah sesuka kalian jika tunai” [HR Muslim no. 1587, Ahmad no. 22727, Ibnu Hibban no. 5018 dan ad-Daraquthni no. 2876].
Hadis-hadis ini menyatakan jual-beli enam jenis barang ribawi iaitu: emas, perak, kurma, gandum, jelai dan garam. Semuanya mesti sama, seumpama jika sama jenis, dan mesti tunai jika berbeza jenis. Jika tidak, maka riba, iaitu riba fadhl jika saling berlebih antara sejenis; dan menjadi riba nasi’ah jika tidak serah terima tunai, iaitu ada tempoh penyerahan salah satunya.
Hanya sahaja, dari ketentuan serah terima tunai itu dikecualikan jual beli secara kredit untuk makanan (kurma, gandum, jelai dan garam), termasuk jika harganya berupa emas, perak atau wang. Aisyah RA menuturkan:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اشْتَرَى مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا إِلَى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ
”Nabi SAW pernah membeli makanan dari orang Yahudi dengan tempoh dan baginda mencagarkan perisai baginda [HR al-Bukhari no. 2509, Muslim no. 1603, Ahmad no. 25274 dan Ibnu Majah no. 2436].
Juga ada pengkhususan untuk jual-beli as-Salâm atau as-Salâf, yang harganya dibayarkan tunai, sementara barangnya (kurma, gandum, jelai dan garam) diserahkan setelah tempoh tertentu. Abdurrahman bin Abza dan Abdullah bin Abiy Aufa menuturkan:
كُنَّا نُصِيبُ الْمَغَانِمَ مَعَ رَسُولِ اللهِ - صلى الله عليه وسلم - فَكَانَ يَأْتِينَا أَنْبَاطٌ مِنْ أَنْبَاطِ الشَّأْمِ فَنُسْلِفُهُمْ فِى الْحِنْطَةِ وَالشَّعِيرِ وَالزَّبِيبِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى
”Kami mendapat ghanimah bersama Rasulullah SAW, lalu datang kepada kami pedagang dari Syam. Kemudian kami melakukan salaf kepada mereka pada gandum, jelai dan kismis sampai tempoh yang jelas” [HR al-Bukhari no. 2254 dan Aburrazaq no. 14077].
Juga ada pengkhususan jual beli al-istishnâ‘ dalam hadis-hadis tentang itu.
Dengan demikian ketentuan hadis di atas, bahawa jual-beli (pertukaran) mesti tunai dan kontan (serta merta), dan jika tidak, maka riba, dikhususkan kepada jual beli emas, dinar, perak atau dirham, baik sejenis atau berlainan jenis. Ini juga berlaku kepada wang. Pertukaran di antara emas, dinar, perak, dirham, dan wang sejenis atau berlainan jenis secara fikih diistilahkan dengan assharf.
Terkait ash-sharf ini Al-‘Allamah al-Qadhi Taqiyuddin an-Nabhani di dalam An-Nizhâm al-Iqtishâdî menjelaskan, “Ash-Sharf adalah pertukaran harta dengan harta berupa emas dan perak; ada kalanya sesama jenis secara semisal dan ada kalanya berbeza jenis baik, secara seumpama atau saling berlebih. Ash-Sharf berlaku kepada wang sebagaimana berlaku pada emas dan perak. Ini disebabkan oleh, pada wang berlaku sifat emas dan perak dengan penilaiannya sebagai wang. Itu bukan pengqiyasan terhadap emas dan perak, melainkan termasuk salah satu jenisnya kerana penyandarannya kepada keduanya dalam penilaian kewangan.”
Ash-Sharf itu mesti tunai . Jika ada tempoh maka riba. Hal itu dinyatakan dalam hadis al-Bara’ bin ‘Azib [ وَمَا كَانَ نَسِيئَةً فَهُوَ رِبًا ] (apa yang tempoh maka riba)”. Jadi untuk keabsahan ash-sharf itu syaratnya adalah secara tunai dan kontan (serta merta). Ini sesuai dengan sabda Rasul SAW: [ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ ] atau [ إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ ].
Imam Ibnu Baththal (w. 449 H) di dalam Syarhu Shahîh al-Bukhârî li Ibni Baththâl menjelaskan, “Makna [ هَاءَ وَهَاءَ ] dalam kalam orang Arab adalah [ خُذْ وَأَعْطِ ] (ambil dan berikan), iaitu tidak boleh jual beli sesuatu dari gandum, jelai, kurma dengan jenisnya kecuali tunai [ يَدًا بِيَدٍ ]. Pengarang al-‘Ayn (Khalil bin Ahmad) menyatakan, itu adalah kata yang digunakan ketika serah terima ( اَلْمُنَاوَلَةُ ).”
Imam an-Nawawi (w. 676 H) di dalam Syarhu Shahîh Muslim menjelaskan lafaz [ هَاءَ وَهَاءَ ], “maknanya adalah ambil ini dan temannya (pihak kedua) mengatakan yang seumpamanya”. Beliau juga menyatakan, “Ulama mengatakan, maknanya adalah [ اَلتَّقَابُضُ ] (serah terima). Di dalamnya ada pensyaratan at-taqâbudh (serah terima) dalam jual-beli barang ribawi dengan barang ribawi jika sama dalam ‘illat riba, baik sama jenisnya seperti emas dengan emas atau berbeza seperti emas dengan perak. Nabi SAW memperingatkan di dalam hadis ini dengan yang berbeza jenis atas yang sama jenis. Ashhâb Malik berdalil dengan ini bahawa disyaratkan serah terima pasca akad sehingga andai dia menundanya dari akad dan serah terima di majlis maka tidak sah menurut mereka. Mazhab kami, keabsahan serah terima di majlis meski pun tertunda dari akad satu hari atau beberapa hari selama keduanya tidak berpisah. Itu juga dikatakan oleh Abu Hanifah dan yang lainnya. Di dalam hadis ini tidak ada hujah untuk Ashhâb Malik”.
Al-Allamah al-Qadhi Taqiyuddin an-Nabhani menyatakan di dalam An-Nizhâm al-Iqtishâdî, “Disyaratkan kedua pihak yang melakukan ash-sharf untuk saling menerima di majlis. Apabila sahaja keduanya pergi sebelum serah terima, maka tidak ada jual beli di antara keduanya. Ini kerana, ash-sharf adalah jual beli harga, yang satu dengan yang lain, dan serah terima (al-qabdhu) di dalam majlis adalah syarat keabsahannya.”
Dalilnya adalah hadis Malik bin Aus, Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Abi Awfa, Ubadah bin ash-Shamit di atas. Al-‘Allamah al-Qadhi Taqiyuddin an-Nabhani juga menyatakan, “Oleh kerana itu mesti ada serah terima di majlis. Jika keduanya berpisah sebelum serah terima maka batallah ash-sharf tersebut kerana tidak terpenuhi syaratnya. Jika dia menerima sebahagiannya lalu berpisah maka batallah pada apa yang tidak diserahkan dan pampasannya, namun sah pada apa yang diserahkan dan pampasannya. Ini kerana boleh ada pemisahan transaksi (tafrîqu ash-shafqah). Andai orang men-sharf yang lain satu dinar dengan sepuluh dirham dan bersama itu hanya ada lima dirham, keduanya tidak boleh berpisah sebelum serah terima sepuluh dirham seluruhnya. Jika diserahkan lima dirham dan keduanya berpisah maka batalah ash-sharf pada setengah dinar dan sah pada lima dirham (setengah dinar) yang diterima kerana boleh ada pemisahan transaksi dalam jual beli tersebut.”
Jadi hadis-hadis di atas adalah khusus dengan ash-sharf. Barang-barang ribawi ini tidak boleh dijual pada keadaan ash-sharf (fî hâlati ash-sharfi), contoh jual beli emas dengan perak, kecuali tunai dengan tunai (hâlan wa yadan biyadin). Adapun jual belinya secara tidak tunai pada keadaan bukan ash-sharf (fî hâlati ghayri ash-sharfi) maka boleh. Orang boleh menjual emasnya secara tidak tunai. Demikian juga gandumnya, peraknya, dsb, iaitu semua barang ribawi. Semuanya boleh dia jual secara tidak tunai dan secara tunai pada bukan keadaan ash-sharf. Adapun pada keadaan ash-sharf seperti emas dengan perak, atau dengan wang, maka tidak boleh kecuali tunai dan tidak boleh tidak tunai.
Maka dari sebab itu, terkait emas dan perak dapat dirangkum tata cara penjualannya:
Pertama, jika pada keadaan ash-sharf, iaitu emas, perak, wang, diperjualbelikan satu sama lain, maka jika sejenis mesti sama dan jika berbeza boleh saling berlebih, dan dalam semua itu mesti tunai terjadi serah terima di majlis akad. Jika tidak , maka riba dan batil.
Kedua, jual beli emas, perak, wang dengan empat barang ribawi (kurma, gandum, jelai dan garam) boleh secara tidak tunai dalam skema jual beli as-salam yang mana emas, perak, wang diserahkan tunai sedangkan kurma, gandum, jelai atau garam diserahkan setelah tempoh yang jelas. Boleh juga dalam skema jual beli secara kredit, yang mana emas, perak atau wang, iaitu harga, diserahkan setelah tempoh yang jelas, baik jual beli secara kredit itu disertai cagaran atau tidak disertai cagaran.
Ketiga, penjualan emas, perak, atau wang dengan selain enam barang ribawi (selain emas, perak, wang, kurma, gandum, jelai, garam) boleh secara tunai atau secara tidak tunai. Contohnya, emas dijual dengan beras, kain, permata, dll, secara tidak tunai maka boleh.
Wallâhu a’lam wa ahkam.
Sumber: Alwaie
#HadisPilihan #Riba #Muamalah #TransaksiEmas #Sharf #JualBeliEmas