Pemungut Cukai Tidak Masuk Syurga
Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ»
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Pemungut pajak (cukai) tidak masuk syurga.” (HR Ahmad no. 17294, Abu Dawud no. 2937, ad-Darimi no. 1708, Ibnu Khuzaimah no. 2333, al-Hakim no. 1469, al-Baihaqi di Sunan al-Kubrâ 13175).
Ibnu Khuzaimah telah mensahihkan hadis ini. Imam al-Hakim mengatakan, “Ini adalah hadis sahih menurut syarat Muslim, tetapi keduanya (al-Bukhari dan Muslim) tidak men-takhrîj hadis tersebut.”
Imam Abu Dawud tidak mengulas hadis ini dalam Sunan-Nya. Itu mengisyaratkan bahawa beliau menilai hadis ini hasan.
Sebahagian menilai riwayat ini dha’îf, kerana perawinya Ibnu Ishaq seorang mudallis dan dia riwayatkan secara ‘an ‘anah daripada Yazid bin Abiy Habib daripada Abdurrahman bin Syimasah daripada ‘Ubqbah bin ‘Amir. Namun, terdapat seorang syâhid untuk riwayat ini, iaitu riwayat Ruwaifi’ bin Tsabit. Dengan demikian, riwayat ‘Uqbah bin ‘Amir ini sekurang-kurangnya adalah hasan li ghayrihi dan sah dijadikan hujah.
Ruwaifi’ bin Tsabit menuturkan: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
«إِنَّ صَاحِبَ الْمَكْسِ فِي النَّارِ»
”Sungguh, pemungut pajak (cukai) berada di neraka” (HR Ahmad no. 17001 dan ath-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabîr no. 4493).
Riwayat ini dianggap lemah kerana perawinya, Ibnu Lahi’ah, adalah syayyi‘u al-hifzhi (lemah hafalannya). Namun, ada syâhid berupa riwayat ‘Uqbah bin ‘Amir di atas, dan riwayat Buraidah, sehingga menjadi hasan li ghayrihi.
Hadis ini, meskipun dengan redaksi berita, disertai dengan celaan terhadap pelakunya. Dengan demikian, maksudnya adalah larangan dari memungut maks[in]. Sabda Nabi SAW, “Lâ yadkhulu al-jannah (tidak masuk syurga)” atau “fî an-nâri (di neraka),” merupakan qarînah atau indikasi ketegasan larangan itu. Oleh itu, memungut maks[in] hukumnya haram.
Hadis Buraidah menegaskan, memungut maks[in] adalah dosa besar. Buraidah menuturkan bahawa al-Ghamidiyah (seorang wanita dari suku al-Ghamidi) datang dalam keadaan sedang hamil. Dia mengaku telah berzina dan meminta untuk disucikan dengan melaksanakan rejam ke atasnya. Sesuai dengan perintah Rasulullah SAW, setelah menyusu anaknya, dia datang lagi dan Rasulullah SAW memerintahkan agar dia dihukum rejam. Ketika Khalid melemparkan batu kepadanya, darah memercik ke bajunya dan dia mengutuk, maka Rasulullah SAW bersabda:
«مَهْلًا يَا خَالِدُ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ تَابَهَا صَاحِبُ مَكْسٍ لَغُفِرَ لَهُ»
”Tenanglah, wahai Khalid. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya dia telah benar-benar bertaubat, sekiranya taubat (seperti) itu dilakukan oleh seorang pemungut cukai, nescaya dosa-dosanya akan diampuni” (HR Muslim no. 1695, Ahmad no. 22949, Abu Dawud no. 4442, ad-Darimi no. 2369, Ibnu Khuzaimah no. 2333, al-Hakim no. 1469 dan al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubrâ no. 16953).
Imam an-Nawawi dalam Syarhu Shahîh Muslim (11/203) menjelaskan, “Di dalamnya dinyatakan bahawa (memungut) maks[in] termasuk kemaksiatan paling tercela dan dosa besar. Hal ini kerana banyaknya tuntutan oleh orang ramai terhadap pelakunya, di dalamnya ada kezaliman, berulang-ulang dilakukan, berlaku pelanggaran hak asasi manusia, dan mengambil harta mereka tanpa haq dan membelanjakan harta itu dengan cara yang salah.”
Dengan demikian shâhibu maksin, dia melakukan dosa besar. Malah, taubatnya bersamaan dengan taubat daripada zina, menurut hadis ini.
Mengenai apa itu maks[un], terdapat beberapa penjelasan daripada para ulama. Imam al-Khaththabi dalam Ma’âlim as-Sunan Syarhu Sunan Abî Dâwud menjelaskan, “Shâhibu al-maksi adalah orang yang memungut satu per sepuluh harta kaum Muslim dan mengambil maksu daripada para pedagang apabila mereka melepasi dan melintasinya, dengan nama al-‘usyru, dan dia bukan as-sâ’iy yang mengambil sedekah (zakat). Asal al-maksu ialah an-naqshu (pengurangan).”
Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubrâ pada hadis no. 131176 menjelaskan, “Al-Maksu adalah an-nuqshân (pengurangan). Jika amil sedekah (zakat) mengurangkan hak orang miskin dan tidak memberikan hak sepenuhnya kepada mereka, maka dia dalam keadaan itu, adalah seorang shâhibu maksin, dan dikhuatiri dia akan menanggung dosa dan hukuman.”
Imam asy-Syaukani dalam Nayl al-Awthâr menjelaskan, “Shâhibu maksin ialah orang yang mengendalikan adh-dharâ’ib (pajak) yang diambil dari orang-orang tidak dengan haq (tidak benar). Beliau berkata dalam Al-Qâmûs: makasa fî al-bay’ yamkusu jika dia memungut harta. Al-maksu adalah an-naqshu (pengurangan) dan azh-zulmu (kezaliman)…”
Imam al-Munawi di dalam Faydh al-Qadîr mengatakan, shâhibu maksin adalah al-‘asysyâr, iaitu orang yang memungut dharîbah (pajak) daripada orang-orang.
Daripada semua ini, dapat disimpulkan bahawa al-maksu boleh berbentuk pengurangan hak kewangan daripada mereka yang berhak, iaitu memberi mereka kurang daripada yang sepatutnya; atau pungutan kewangan yang melanggar syarak, termasuk di dalamnya pajak dan cukai yang dipungut dengan menyalahi syarak.
Berkenaan pajak, Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam Al-Amwâl fî Dawlah al-Khilâfah (hlm. 122) menyatakan, “Cukai adalah harta yang Allah wajibkan ke atas umat Islam untuk membiayai keperluan dan barang yang difardhukan ke atas mereka dalam keadaan tidak ada harta di Baitul Mal umat Islam untuk membiayai keperluan tersebut.”
Imam al-Ghazali dalam Al-Mustashfâ 1/303 mendefinisikan, “Cukai (dharîbah) ialah apa (harta) yang dibebankan oleh Negara ke atas orang-orang kaya dengan apa yang dianggap mencukupi apabila Baitul Mal kosong dari harta.”
Seperti yang dijelaskan oleh al-‘Allamah asy-Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam An-Nizhâm al-Iqtishâdî fî al-Islâm, cukai yang boleh dipungut mengikut syarie adalah:
Pertama, hanya untuk membiayai keperluan yang syariah fardhukan ke atas semua umat Islam untuk membiayai keperluan tersebut. Selain daripada apa yang telah Allah fardhukan atas semua umat Islam untuk mereka biayai, maka tiada cukai boleh dikenakan.
Kedua, hanya dipungut apabila perbendaharaan Baitul Mal umat Islam (Perbendaharaan Negeri) kosong atau harta yang sedia ada tidak mencukupi. Ini seperti ditegaskan oleh Imam al-Ghazali di dalam Al-Mustashfa dan Imam al-Haramayn di Ghiyâts al-Umam.
Ketiga, hanya dipungut dalam jumlah yang diperlukan, tidak boleh lebih, dan sifatnya sementara, tidak tetap, dan tidak berterusan atau terus menerus.
Keempat, hanya dipungut ke atas orang Islam yang kaya, iaitu mempunyai lebihan harta melebihi keperluan harian biasa secara makruf. Cukai tersebut tidak boleh dikenakan ke atas orang bukan Islam.
Pelbagai pajak dan cukai yang ada dan dilaksanakan sekarang ini jelas menyalahi undang-undang syariah. Ini termasuk maks[in] yang mana pemungutnya (shâhibu maksin) melakukan dosa besar dan diancam dengan ancaman yang disebut dalam hadith di atas.
WalLâh a’lam wa ahkam.
Sumber: Alwaie
#cukai #pajak #sistemekonomiislam #politikekonomiislam #hadispilihan