Adakah Hadis yang Tertolak Secara Dirâyah Bererti Cacat Secara Riwâyah?
Soalan:
Adakah hadis yang tertolak secara dirâyah terpengaruh secara riwâyah. Dengan redaksi lain, jika terbukti bahawa suatu hadis tertentu tertolak secara dirâyah, adakah hal itu menyebabkan tajrîh (pencacatan) pada salah seorang perawinya, baik apakah perawi terakhir yang menukilkan khabar atau perawi pertama yang menyampaikan apa yang dia saksikan atau yang dia dengar?
Jawapan:
Sesungguhnya penerimaan khabar ahad tidak terjadi kecuali setelah syarat-syarat kesahihannya secara riwâyah dan dirâyah terpenuhi:
Pertama, terpenuhi syarat-syarat riwâyah. Ertinya, keberadaan sanad hadis tersebut sahih. Dengan kata lain, hadis tersebut dari awal hingga akhir sanad-nya terpenuhi syarat-syarat kesahihan para perawinya. Tegasnya: para perawi hadis itu adalah: Muslim, baligh, berakal, adil, shâdiq (jujur) dan dhâbith (akurat/tepat) atas apa yang dia dengar, hafal atas hadis itu sejak waktu dia terima sampai dia riwayatkan… dsb. Ini yang disebut bahawa hadis itu sahih secara riwâyah.
Kedua, terpenuhi syarat-syarat kesahihannya secara dirâyah, iaitu matan (isi) hadis itu tidak bertentangan dengan apa yang lebih kuat berupa ayat atau hadis mutawâtir atau masyhûr.
Ini bererti, jika di dalam sanad-nya ada kelemahan pada salah seorang perawinya atau kerana ke-majhûl-annya, dsb, maka hadis itu ditolak secara riwâyah.
Adapun jika para perawi sanad itu tidak bermasalah, melainkan hanya matan-nya sahaja yang bertentangan dengan apa yang lebih kuat, maka hadis itu ditolak secara dirâyah.
Oleh kerana itu, penolakan secara dirâyah tidak menunjukkan bahawa salah seorang perawinya itu dha’îf atau cacat, dsb. Seandainya di dalam salah satu sanad-nya ada perkara seperti hal itu, nescaya hadis tersebut ditolak secara riwâyah. Jika demikian, penolakannya secara dirâyah bermakna bahawa perawi sanad tersebut tidak bermasalah, tetapi matan-nya bertentangan dengan yang lebih kuat.
Di dalam Kitab Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyah (1/188) dinyatakan:
Jika datang hadis yang bertentangan dengan apa yang ada di dalam al-Quran yang qath’i maknanya, maka hadis terebut tertolak secara dirâyah, yakni dari sisi matan-nya, kerana maknanya bertentangan dengan al-Quran. Hal itu, misalnya, apa yang diriwayatkan dari Fatimah binti Qais bahawa dia berkata:
«طَلَّقَنِي زَوْجِي ثَلَاثاً عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ ﷺ فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ فَلَمْ يَجْعَلْ لِي سَكَناً وَلَا نَفَقَةً»
“Suamiku mentalak aku dengan talak tiga pada masa Rasulullah SAW. Lalu aku datang kepada Nabi SAW. dan baginda tidak menjadikan untuk aku tempat tinggal dan tidak pula nafkah.”
Hadis ini tertolak kerana bertentangan dengan al-Quran, iaitu bertentangan dengan firman Allah SWT:
أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ ٦
“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu;” (TMQ ath-Thalaq [65]: 6).
Hadis tersebut ditolak kerana bertentangan dengan al-Quran yang qath’i ats-tsubût qath’i ad-dalâlah.
Adapun jika hadis tersebut tidak bertentangan dengan al-Quran, ertinya hadis itu mengandungi sesuatu yang tidak dinyatakan oleh al-Quran atau merupakan tambahan daripada apa yang ada di dalam al-Quran, maka hadis tersebut diambil dan al-Quran juga diambil. Tidak dikatakan, kita mencukupkan dengan al-Quran dan apa yang dinyatakan di dalam al-Quran sahaja. Sebabnya, Allah SWT memerintahkan untuk mengambil keduanya sekaligus dan i’tiqâd (keyakinan) atas keduanya sekaligus wajib ada.
Dinyatakan pula di dalam Asy-Syakhshiyah al-Islâmiyah (3/90-91):
Syarat-syarat penerimaan khabar ahad: khabar ahad diterima jika memenuhi syarat-syaratnya secara riwâyah dan dirâyah. Adapun syarat-syarat penerimaan hadis secara riwâyah adalah keberadaan perawi hadis itu mestilah: Muslim, baligh, berakal, adil, jujur (shâdiq), akurat/tepat (dhâbith) terhadap apa yang dia dengar, ingat (hafal) dari waktu dia mendapatkan hadis sehingga waktu dia menyampaikan hadis itu. Para ‘ulamâ`u al-ushûl dan ulama mushthalah al-hadîts telah menjelaskan secara terperinci syarat-syarat riwâyat, dan menjelaskan sejarah para rijâl hadis dan perawi mereka, tiap-tiap perawi dan sifat-sifat apa sahaja yang terpenuhi padanya. Adapun syarat-syarat penerimaan khabar ahad secara dirâyah adalah keberadaan hadis itu tidak bertentangan dengan apa yang lebih kuat dari hadis tersebut berupa ayat, hadis mutawatir atau hadis masyhûr. Misalnya, apa yang diriwâyatkan dari Fatimah binti Qais bahawa dia berkata:
«طَلَّقَنِي زَوْجِي ثلاَثاً فَلَمْ يَجْعَلْ لِي رَسُولُ اللَّهِ ﷺ سُكْنَى وَلاَ نَفَقَةً»
“Suamiku mentalak aku dengan talak tiga (pada masa Rasulullah SAW.). (Lalu aku datang kepada baginda) dan baginda tidak menjadikan untuk aku tempat tinggal dan tidak pula nafkah” (HR Muslim).
Hadis ini tertolak kerana bertentangan dengan al-Quran iaitu bertentangan dengan firman Allah SWT:
أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ ٦
“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu;” (TMQ ath-Thalaq [65]: 6).
Oleh kerana itu hadis ini wajib ditolak dan tidak boleh diamalkan.
Semoga di dalam jawapan ini ada kecukupan. WalLâh a’lam wa ahkam.
[Dikutip daripada jawapan Siri Soal-Jawab Syaikh Atha‘ bin Khalil Abu ar-Rasytah bertarikh 30 Syawal 1443 H/30 Mei 2022 M]
Sumber:
https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/82339.html
https://www.facebook.com/photo/ %D8%9Ffbid=560762815611092&set= a.469598088060899
#hadis #fikih